Esei
Nordin Ahmad dalam Kepelbagaian
Menjadi pelakon tidaklah semata-mata mengikut arahan dan menuruti jeritan kata action. Seorang pelakon mempunyai banyak kerja yang perlu dilunaskan sebelum menampilkan diri sebagai karakter yang diperlukan. Ia perlu memberi keyakinan dari sudut fizikal dan psikologi. Malah jika diteliti dengan lebih lanjut dalam konteks Malaysia dan dunia Melayu, seseorang pelakon, khususnya hero perlu tampil mewakili sosiobudaya masyarakatnya. Kearifan seseorang pelakon itu terletak kepada kefahaman mendalamnya terhadap karakter yang diwakili dan persekitaran karakter berkenaan.
Dalam era perfileman Melayu klasik misalnya, karakter yang dibawakan oleh seseorang hero itu tebal dengan perwakilan psikologi lelaki Melayu. Salah seorang pelakon penting yang wajar diberikan tumpuan dalam perbincangan mengenai hero Melayu ialah Nordin Ahmad. Beliau memiliki kedalaman dalam penghayatan terhadap karakter serta mempunyai kefahaman tinggi dalam merungkai dan memaparkan kekusutan psikologi yang sedang diperangi oleh lelaki Melayu. Kemampuan Nordin ini dapat dilihat dalam lima filem pentingnya, Semerah Padi (1956), Hang Jebat (1961), Sri Mersing (1961), Dang Anom (1962) dan Chuchu Datok Merah (1963).
Semerah Padi menyerlahkan Nordin sebagai karakter yang mengungkap makna pengorbanan, pasrah dan reda, Hang Jebat pula berjaya meneroka elemen amuk dan membangkitkan keberkesanan antihero dalam sinema Melayu. Nordin dalam Sri Mersing berkeupayaan mendalami erti rajuk dan pujuk, Dang Anom pula menyaksikan beliau tampil dengan karakter yang tandus dalam perasaan apabila kekasihnya diambil Sultan. Manakala dalam Chuchu Datok Merah Nordin menampilkan lakonan lebih kompleks apabila sekali lagi meneroka pengalaman antihero, mencampakkan diri dalam krisis maskuliniti dan menonjolkan kefahaman tentang sifat sombong.
Karakter Taruna dalam Semerah Padi menuntut Nordin Ahmad untuk menyerlahkan kekuatannya terhadap perasaan serba salah dan di persimpangan yang dihadapi watak berkenaan. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk Nordin tampil sebagai seorang panglima penting di negeri Semerah Padi dan dalam masa sama, kelihatan lemah dan mengalah kepada perselingkuhan yang berlaku antara sahabat baiknya, Aduka dan tunangannya, Dara. Dalam satu keadaan dapat dilihat bahawa Taruna dan Aduka mempunyai hubungan unik dan bukan seperti sahabat baik biasa. Langkah cermat Taruna ketika berdepan dengan Aduka apabila sudah mengetahui perselingkuhan yang berlaku, begitu mengesankan. Nordin berjaya menampilkan emosi secukupnya dan lebih penting ia dibuat dengan tenang dan tidak berlebih-lebihan. Taruna di dalam filem ini ditampilkan sebagai lelaki yang lebih menghargai persahabatan berbanding cinta kepada wanita dan ia jelas satu watak unik yang sukar untuk dijelmakan kerana ia sangat berbeza dengan keadaan normal di mana kebiasaannya lelaki sudah pasti akan mengutamakan cinta, tambahan pula kepada wanita secantik Dara. Sikap mempertahankan Aduka ini dijelmakan dengan kuat oleh Nordin melalui dialog, “kalau hanya Dara, aku sanggup berikan kerana aku sayangkan kau lebih dari Dara, Aduka!” dan “biar busuk daging kumamah, asalkan kau terhindar cemar.” Ia juga antara bromance terawal dalam sinema Melayu. Taruna di tangan Nordin Ahmad menjadi misterius dan menimbulkan banyak persoalan kerana karakternya perit serta banyak berperang degan perasaan yang dipendamnya sendiri.
Hang Jebat pula melihatkan kontradiksi nyata berbanding Taruna. Melalui Hang Jebat, kita diberikan seorang perwira nakal, bermulut lancang, berani, gagah dan berhati mulia. Hang Jebat di tangan Nordin Ahmad, sangat berbeza dan berada pada kedudukan tersendiri, jika dibandingkan dengan Hang Jebat di tangan Ahmad Mahmood dalam filem Hang Tuah (1956) arahan Phani Majumdar. Malah tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa Hang Jebat telah melebarkan jalan untuk karakter antihero dalam sinema Melayu. Hang Jebat yang dibawa Nordin Ahmad mempunyai dinamik lakonan yang luar biasa di mana kita dapat melihat beberapa peringkat hubungan yang dipikul Jebat itu. Kita melihat bagaimana reaksi Jebat ketika berdepan dengan pemerintah, dengan keluarga dan dengan kekasih. Ia memerlukan kepelbagaian aras lakonan dan Nordin cemerlang dalam tanggungjawab itu.
Hang Jebat di tangan Nordin Ahmad telah membuatkan kita mengenali legenda Melayu ini dengan lebih rapat kerana karakternya dijelaskan dengan teliti oleh Nordin. Malah ia juga membenarkan apa yang dikaji oleh tokoh falsafah tempatan, Kassim Ahmad mengenai keperwiraan Jebat. Dalam filem ini, Jebat mempunyai kekasih bernama Dang Baru dan ketika bersama-sama kekasihnya, Jebat yang kita kenali sebagai perwira gagah di gelanggang pertarungan, berubah kepada seorang lelaki sejati yang menjadi harapan wanita. Sifat maskuliniti yang menjadi pelindung itu terbentuk dengan semula jadi dan ia menampilkan Jebat sebagai wira sebenar kerana Nordin mendalami keperwiraan itu dari segenap segi termasuk dari sudut hubungan peribadi dan hubungan masyarakat. Begitu juga halnya dengan peristiwa Jebat mengamuk yang ditangani secara cermat oleh Nordin. Kita memahami bahawa amuk dalam masyarakat Melayu bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya ia terbentuk melalui pemendaman perasaan dan terbina secara beransur-ansur sehingga amuk menjadi kemuncak segala dendam dan kemarahan. Amuk adalah konstruk psikologi dan ia berkesan sebagai membuka mata. Nordin menampilkan Jebat dengan teliti melalui keseimbangan lakonan fizikal dan emosi, lantas membentuk keseronokan baharu meraikan antihero orang Melayu.
Dalam Sri Mersing pula karakter Damak yang dimainkan Nordin Ahmad berbeza daripada dua filem terdahulu yang telah dibincangkan. Damak bukanlah pahlawan terkenal seperti Taruna atau Hang Jebat, sebaliknya hanya seorang pendatang dari negeri Pahang yang datang ke Mersing untuk menetap di sana. Damak berdepan pandangan serong penduduk setempat kerana dirinya seorang pendatang dan dianggap tidak setaraf dengan penduduk asal. Dalam filem ini, Nordin meneroka elemen rajuk dan pujuk dalam masyarakat Melayu serta merungkai karakter pendatang dengan baik dan meyakinkan. Lebih memburukkan keadaan apabila Damak bermadu kasih dengan anak pemimpin kampung, Pak Malau yang dikenali sebagai Sri Mersing. Percintaan ini menghumban masalah besar kepada Damak sehingga selepas beberapa kali menjadi mangsa fitnah dan perbuatan jahat, Awang Sulong, pemuda yang turut menaruh hati terhadap Sri. Damak akhirnya memutuskan untuk merajuk dan meninggalkan Mersing untuk kembali ke tempat asal, walaupun Pak Malau cuba memujuk, namun segala-galanya tidak bererti lagi.
Rajuk seperti juga amuk merupakan kontruk psikologi masyarakat Melayu. Kedua-duanya terhasil daripada pemendaman perasaan dan apabila ia tidak dapat dikawal lagi, maka kedua-duanya boleh meletus. Jika letusan pemendaman perasaan itu berada di dada pahlawan seperti Hang Jebat, maka hasilnya ialah amuk. Namun kerana letusan itu berada di dada pendatang yang ditindas, tidak mempunyai kekuatan dan sering menganggap dirinya lemah, maka hasilnya ialah rajuk. Melalui rajuk, Damak menyatakan perasaan dan protesnya dan ia satu bentuk penegasan tentang prinsip-prinsip yang dipegang dirinya. Sarjana filem tanah air, Norman Yusoff menyatakan bahawa rajuk Damak ini boleh dibaca dalam dua keadaan, pertama ia merupakan ketetapan prinsip moral dan integriti yang dipegangnya, kedua ia sebagai ekspresi terhadap kegoyahan emosi dan semangat seorang lelaki. Norman menyimpulkan bahawa Damak adalah hero yang melankolik dan dipenuhi duka.
Karakter Damak rumit untuk ditangani kerana dia hero yang kalah dan sering diperkecil. Dia bukan hero yang dapat difahami seperti mana kebiasaan, sebaliknya dia hero terpencil, terbeban dan terbelenggu dengan nama pendatang. Damak tidak berminat untuk mengubah apa-apa, sebaliknya hanya berundur apabila tidak mampu lagi mengendong perasaan. Hal ini terjelma dalam pantun terkenal dalam filem ini. “Kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang saya mengkuang layu. Dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang saya musafir lalu.” Rajuk Damak adalah rajuk yang mendalam dan menimbulkan kegelisahan kerana ia sesuatu yang tidak berpenghujung dan meninggalkan kesan besar terhadap dirinya dan juga orang yang cuba memujuk, namun gagal seperti Pak Malau.
Melalui Dang Anom pula, Nordin Ahmad diberikan watak Malang dan secara literalnya watak berkenaan sememangnya Malang. Dang Anom, kekasihnya dilarikan Sultan ketika Malang pergi berperang untuk negerinya sendiri. Setibanya di istana, satu keraian diadakan untuk menyambut kemenangan Malang dan angkatan tenteranya. Namun Malang terkejut apabila Dang Anom berada di sisi Sultan. Babak ketika keraian berkenaan dibentuk dengan cukup unik kerana ia tidak melibatkan apa-apa dialog, sebaliknya diiringi dengan muzik latar dan tarian.
Melalui babak ini, Malang bertentang mata dengan Dang Anom dan Nordin Ahmad menampikan tenaganya dengan permainan wajah dan mata yang berkesan. Kesengsaraan, kepedihan dan dendam Malang dialirkan secara tepat oleh Nordin sehingga babak berkenaan berlangsung cukup tegang serta cemas. Percintaan Malang dan Dang Anom tergendala disebabkan keberahian Sultan terhadap wanita yang dicintainya itu. Babak ini menyebabkan kita mengabaikan lagu dan tarian, sebaliknya pertentangan perasaan Malang dan Dang Anom mencuri tumpuan seluruhnya. Babak ini memberikan kita keupayaan memahami psikologi watak dan bagaimana dan mengapa Malang dan Dang Anom boleh menjadi mangsa kepada nafsu pemerintah. Ia kembali mengingatkan kita kepada babak pembukaan filem ini yang melihatkan bagaimana Dang Anom dan Malang di atas perahu dan kita sebagai penonton dapat merasai bagaimana pasangan ini seperti sedang diperhatikan.
Selain Hang Jebat, kemunculan Nordin Ahmad sebagai Awang Janggut dalam Chuchu Datok Merah telah meninggalkan kesan mendalam terhadap dunia lakonan tanah air. Ketika diajak berbual mengenai filem ini, pengarah terkenal U-Wei HajiSaari pasti akan mengaitkan watak Awang Janggut dengan nilai kesombongan yang mahal. U-Wei menepis pandangan bahawa Awang Janggut adalah watak lelaki pemalas. Awang Janggut merupakan seorang lelaki yang tegar dengan nilai maskuliniti, memelihara ego dan berbangga dengan darah keturunannya, walaupun pada hakikatnya hidup sebenar Awang Janggut tidaklah sehebat seperti cerita tentang datuknya, Datok Merah.
Seperti Hang Jebat, Awang Janggut sudah menjadi ikonik, bukan sahaja kerana lakonan, tetapi kerana sifat dan imej yang disampaikan melalui watak ini. Curut yang tak lekang di bibir, ayam jantan sentiasa bersama walaupun ke mana-mana. Ini cerminan kelakian paling ulung dari segi imej, ia melambangkan bahawa Awang Janggut adalah maskulin Melayu yang tulen. Kejantanannya sukar dicabar dan beliau menang dalam setiap pertarungan ayam sabung. Ayam yang dipikulnya adalah lambang kelakiannya. Malah Awang juga tidak mudah terpesona dengan godaan perempuan, sehingga nilai maskulinitinya merosot dan berkrisis sehingga membawa kepada kehancuran sifat dan imej kelakian tadi. Awang Janggut di tangan Nordin Ahmad bergerak dalam dinamisme yang unik apabila muncul sebagai karakter yang membina kelakian dan di hujung kisah muncul sebagai karakter yang menghancurkan kelakian. Awang Janggut merupakan manifestasi perjalanan sebuah kelakian dan ia menjadi petanda besar bagaimana Nordin Ahmad adalah hero sejati paling penting dalam sejarah perfileman Melayu.
Kepelbagaian warna Nordin Ahmad dalam kelima-lima filem ini menjadi rujukan penting bagaimana seorang pelakon memahami, menjiwai dan merasai sendiri karakternya. Pengalaman menonton Nordin Ahmad adalah pengalaman terbaik melihat lelaki Melayu di layar Perak. Setiap filemnya itu, benar-benar menyelam masuk jauh ke dalam permasalahan dan psikologi lelaki Melayu. Walaupun kelima-lima filem ini melihatkan Nordin Ahmad menjadi hero yang gugur, mengalah dan tewas, namun hakikat paling nyata, beliau sentiasa menang di mata kita semua.