Terus ke kandungan
KAKISINEMA

Majalah sinema berbahasa Melayu

Esei

Nasir Jani Bapa Perfileman Rock Malaysia: Manifestasi Rock dalam Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta ‘87

Nasir Jani secara personalitinya merupakan seorang rockers. Lihat sahaja penampilannya ketika muda, sangat rugged dengan rambut panjang penuh gaya dan kadangkala berkaca mata hitam dengan jeans dan baju yang menonjolkan imej rock yang ada padanya.

Namun beliau bukan rock hanya pada pakaian dan penampilan. Seperti yang selalu diulanginya, rock wujud dengan pengisian dan sikap serta mengandungi elemen melawan dan memberontak (Nasir Jani 2020). Hal ini membentuk Nasir Jani secara peribadi dan beliau sehingga kini lantang melawan isu-isu penting berkaitan keadilan dan kebajikan kepada seniman, khususnya isu cetak rompak.

Nasir juga terlibat secara langsung dalam industri muzik rock Malaysia yang berkembang pesat pada sekitar tahun 1980an dan 1990an. Beliau terlibat dalam penghasilan lirik lagu beberapa kumpulan dan penyanyi rock terkenal termasuk Wings, Rahim Maarof dan Bloodshed. Malah beliau juga pernah menjadi pengarah kepada video muzik Lagu Cenderawasih yang didendangkan oleh kumpulan Kris.

Untuk itu apabila Nasir Jani berpeluang mengarahkan filem, beliau memilih subjek yang sangat dekat dan bersifat peribadi kepadanya. Subjek berkenaan sudah tentu berlingkar dengan muzik rock dan budaya baru anak muda serta disulam dengan kritikan-kritikan politik dan sosial terhadap kedudukan semasa negara. Malah bentuk filemnya juga menggambarkan sikap rockers yang ada pada Nasir Jani – melawan, garang dan raw. Dua filemnya, Kembara Seniman Jalanan (1986) dan Rozana Cinta ’87 (1987) melanggar konvensyen biasa perfileman tempatan sebelum itu.

Nasir Jani menjadi sebahagian daripada pembikin filem yang menggerakkan Malaysian New Wave Cinema bersama nama-nama penting lain termasuk Rahim Razali, Shuhaimi Baba, Adman Salleh, U-Wei HajiSaari dan Mahadi J. Murat. Sarjana sinema tempatan terkemuka, Hassan Muthalib (2013:115) menyifatkan kelompok pembikin filem ini mempunyai pendedahan yang lebih luas dan lengkap mengenai world cinema di samping memiliki pengetahuan mendalam terhadap bangsa dan kebudayaan sendiri.

Dalam kedudukan ini, Nasir Jani berjaya menggabungkan pengetahuan filem, kearifan tentang budaya semasa dan pengalamannya dalam muzik rock bagi menghasilkan dua filem yang sangat signifikan untuk meneroka kefahaman mengenai pergolakan sosial dan jiwa anak muda dekad 1980an.

Rock dalam filem-filem Nasir bukan hanya tempelan lagu-lagu dan penampilan khas penyanyi dan kumpulan rock, sebaliknya beliau dengan cermat dan tepat membawa pengisian melawan dan memberontak. Malah Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta ’87 juga berjaya sebagai perakam zaman untuk kita meneliti dan memahami perkembangan masyarakat.

Dalam Kembara Seniman Jalanan misalnya kita dapat melihat bagaimana gerai burger telah dibangunkan sebagai pusat yang menemu dan mengukuhkan hubungan peribadi sesama rockers. Malah ia juga menjadi simbol penting kepada sikap positif Nasir Jani terhadap anak-anak muda yang terlibat dengan rock, di mana mereka dipaparkan sentiasa cekal dan berusaha menguatkan kedudukan ekonomi sendiri. Mereka berniaga dan mencari wang. Ia jelas sebagai refleksi Nasir Jani terhadap anak muda Melayu bandar terhadap perkembangan Dasar Ekonomi Baru yang sedang memuncak.

Secara realitinya berasaskan kepada pemerhatian peribadi, gerai burger biasanya menjadi tempat anak-anak muda rockers berkumpul, bermain muzik dan menikmati gelora hidup. Nasir Jani memahami keadaan ini dan memaparkan kepada kita bagaimana Brader Joe menghulurkan setiakawannya kepada Bujang dan kemudian saban malam gerai burger ini menjadi tempat mereka bersama-sama Osman Tikus menghabiskan waktu. Malah di waktu siang pula, Bujang dan Osman Tikus akan bermain muzik di gerai berkenaan.

Jika di dalam Kembara Seniman Jalanan, gerai burger ditonjolkan sebagai elemen kegiatan ekonomi yang dikaitkan dengan rockers, Rozana Cinta ’87 pula menampilkan perniagaan percetakan kemeja-t milik sekumpulan anak muda yang sedang berjinak-jinak menubuhkan kumpulan rock. Lebih menarik perhatian, Nasir meneroka Pasar Seni sebagai ruang besar yang menghimpunkan anak-anak muda. Dalam beberapa babak sebelumnya mereka dipaparkan sedang mencari arah dan sering membincangkan tentang konsep idea dalam hidup. Ia merupakan percubaan menarik Nasir dalam memaparkan tentang sikap anak muda untuk mencuba apa sahaja yang boleh untuk meneruskan kehidupan.

Rockers memerlukan port untuk berkembang, bersetia kawan, mencetuskan pemikiran baru, mencipta lagu dan bergerak ke depan. Dalam kedua-dua filem ini, Nasir Jani merungkai makna port itu dengan jelas. Sebuah gerai burger dan sebuah ruang kecil mencetak dan menjual kemeja-t secara kendiri. Melalui kedua-dua ruang yang dibangunkan ini, Nasir Jani menjelmakan harapan terhadap anak-anak rockers dengan kecenderungan untuk kita percaya bahawa mereka mempunyai cita-cita besar, sentiasa berdikari dan bangun dengan semangat tinggi.

Rock dalam kedua-dua filem Nasir Jani ini memaparkan kejujuran pada budaya dan ia bukanlah diada-adakan semata-mata tuntutan kreatif, sebaliknya Nasir menjelmakan pengalaman dan pemerhatian peribadinya terhadap zaman berkenaan. Ini dapat dilihat apabila Nasir berkeupayaan membentuk elemen muzikal tersendiri untuk kedua-duanya dengan rock menjadi naratif utama.

Kita lihat di dalam Kembara Seniman Jalanan, watak Bujang/Jebat itu walaupun pada asasnya merupakan karakter penyanyi folk, tetapi Nasir menerapkan pengertian rock yang dipegangnya ke dalam karakter berkenaan, memberontak, melawan dan mempunyai attitude tersendiri. Lantas kita melihat Bujang/Jebat tampil dengan penampilan fizikal seorang rockers termasuk dari segi gaya rambut, pakaian dan pemilihan kasut.

Malah emosi Bujang/Jebat juga adalah berakar kepada rockers. Ini dapat dilihat kepada pemikirannya yang mahu mengubah bentuk muzik tanah air kepada sesuatu yang lebih padat dengan pengisian dan mempunyai bunyi yang berbeza. Bujang/Jebat menyifatkan muzik pada ketika itu bersifat khayal dengan fantasi cinta murahan dan ia memerlukan suntikan baru.

Kita dapat memahami bahawa sebenarnya Nasir Jani telah menyalurkan diri dan jiwanya sendiri ke dalam karakter Bujang/Jebat dan ini menjadi ruang buat Nasir meluahkan segala kemarahannya yang terpendam terhadap kecelakaan cetak rompak yang melanggar industri muzik pada masa berkenaan.

Bagi memberikan pengertian tentang bagaimana rock adalah berbeza dengan muzik pop yang wujud pada zaman berkenaan, Nasir mewujudkan elemen kontrakdisi yang dipaparkan melalui lagu Rupa Tanpa Wajah dan Jiwa-Jiwa Luka. Babak ini bukan sahaja memahamkan kita tentang kerja jahat lanun cetak rompak menciplak lagu karyawan, tetapi turut membangkitkan kepada kita tentang makna perbezaan dan cita rasa yang selalu dilaung-laungkan Bujang/Jebat. Nasir memberikan kita pertembungan untuk kita memikirkan dan memilih yang mana lebih baik dan yang mana mengecewakan.

Walaupun Rozana Cinta ’87 kelihatan lebih lembut berbanding Kembara Seniman Jalanan, namun Nasir cekap dalam menjalankan tanggungjawabnya merakam rock di dalam filem ini. Rozana Cinta ’87 mengungkap cita-cita sekumpulan anak muda yang sedang melalui gelora hidup dan mereka memikirkan bahawa menubuhkan kumpulan rock boleh mengubah masa depan masing-masing. Cetusan idea mereka ini didorong ketika menonton klip video dan mendengar lagu Rozana dendangan kumpulan Search. Nasir memaparkan kelompok anak muda di dalam Rozana Cinta ’87 sebagai rapuh dan tercari-cari arah dan mereka bermain muzik tanpa mempunyai matlamat jelas. Kemahuan mereka dengan muzik berpaut kepada nilai sentimental tanpa ada pegangan sebagai seorang pemuzik rock sebenar.

Dalam Rozana Cinta ’87 kita dipaparkan babak merakam lagu kegemaran yang berkemundang di radio dan walaupun ini merupakan perincian yang kecil, namun ia menjadi antara perkara utama yang berlaku di zaman rock. Di mana anak-anak muda akan setia menunggu di corong-corong radio dan bersedia menekan butang rakam apabila lagu-lagu rock kegemaran mereka diputarkan. Pita rakaman ini kemudiannya dijadikan koleksi simpanan peribadi untuk mengulang dengar lagu-lagu rock yang disukai tadi.

Nasir turut mengamati rock sebagai muzik yang dekat dengan marhaen dan ia adalah untuk semua golongan. Ini dapat dilihat dalam Kembara Seniman Jalanan di mana Nasir memulakan rock sebagai muzik di jalanan. Di sini Nasir mencetuskan kefahaman tentang budaya busking yang agak asing kepada penonton pada ketika itu. Kemudian Nasir sekali lagi mewujudkan pertentangan nyata antara rock dan muzik popular lain melalui pemaparan pada babak pelancaran album Bujang/Jebat yang diadakan di tepi jalan dan ruang terbuka, berbanding pelancaran album Fariz yang diadakan di hotel besar bertaraf lima bintang. Begitu juga dalam Rozana Cinta ’87 apabila rock menjadi muzik yang dinikmati anak-anak muda yang sedang bergelut dengan kehidupan, berbanding anak-anak muda yang hidup senang, lebih dekat dengan muzik pop dan tarian moden. Ini menjadi ruang penting kepada kita memahami perasaan Nasir terhadap rock dan bagaimana beliau membentuk rock menjadi muzik marhaen di dalam filem.

Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta ’87 turut responsif terhadap isu rambut panjang yang cuba meremehkan kepentingan muzik rock pada ketika itu. Nasir memaparkan ada pihak yang tidak senang dengan imej rabak dan bersahaja yang dibawakan kumpulan dan penyanyi rock pada waktu berkenaan. Misalnya Encik Johan yang menyebut bahawa Bujang/Jebat seperti Tarzan dan kemudian memperlekehkan penampilan berkenaan sebagai tidak layak untuk bergelar penyanyi. Malah lebih tajam daripada itu, Nasir membincangkan tentang rambut panjang sebagai maruah individu dalam Rozana Cinta ’87.

“Itu sebab aku simpan rambut panjang, tak mahu orang pegang kepala aku.”

Nasir juga membangkitkan kegemilangan rock di dalam kedua-dua filem ini melalui penggunaan poster penyanyi dan kumpulan rock tempatan. Misalnya di dalam Kembara Seniman Jalanan ketika bujang pertama kali menjejakkan kaki di Kuala Lumpur, beliau telah melihat poster Ramli Sarip, Bob Marley dan kemudiannya seorang penyanyi pop, Dato’ Shake. Sementara itu, di dinding bilik Din dalam filem Rozana Cinta ’87 terpampang poster Ramli Sarip dan kumpulan Search. Nasir melihatkan kepada kita bahawa Ramli Sarip menjadi figura penting dalam gerakan rock tempatan dan ia memberikan pengaruh besar terhadap anak-anak muda yang mahu menjadi sebahagian daripada perjalanan rock di negara ini.

Manifestasi rock dalam Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta ’87 juga muncul melalui cameo penyanyi dan kumpulan rock terkenal seperti Search, Sweet Charity, Blues Gang dan Lefthanded. Malah kemunculan istimewa ini dilihat memberikan kesan terhadap filem ini secara keseluruhannya, khasnya penglibatan Blues Gang dan Search dalam konsert membanteras cetak rompak yang menjadi kemuncak kepada filem Kembara Seniman Jalanan.

Kekuatan Nasir Jani dalam membentuk rock dalam filem adalah keupayaannya membina babak konsert rock yang disebutkan tadi. Nasir berjaya menyatukan isu yang diperjuangkannya, cetak rompak di dalam sebuah konsert berskala besar yang diadakan di sebuah tapak yang menjadi keagungan rock suatu ketika dahulu, Panggung Anniversary di tengah kota Kuala Lumpur. Babak konsert ini amat penting kerana rock tidak ada maknanya tanpa konsert seperti yang ditampilkan Nasir. Dalam babak ini Nasir berjaya merakam dengan baik gelagat penonton, belakang pentas, aksi hebat pemuzik, latar pentas dan pencahayaan yang biasa ditonjolkan dalam sesebuah persembahan rock. Dalam babak ini, Nasir sekali lagi menjadi perakam zaman, membawa kita pada bila-bila masa melawat suasana sebuah konsert rock.

Lebih manis untuk dikenang, ini merupakan babak konsert rock pertama yang pernah ditampilkan dalam sinema Malaysia, malah tidak keterlaluan untuk kita katakan Nasir Jani merupakan peneroka awal genre muzikal rock bagi filem tempatan.

Nasir membawa rock ke dalam filem bukan kerana pada ketika itu muzik ini sedang rancak diterima dan mendapat sambutan hangat di corong radio, sebaliknya Nasir mengutip pengalaman hidupnya yang terdekat, membina kembali setiap memori kolektifnya dan menghasilkan dua filem yang mempunyai kepentingan kebudayaan dan ingatan buat sejarah perfileman Malaysia.

Seperti diungkapkan Mamat Khalid (2020), hanya pengarah filem berjiwa rock boleh membikin filem yang rock. Nasir hanya berkongsi keintimannya dengan muzik rock bersama-sama kita semua dan pundak Nasir Jani sentiasa lapang untuk mendukung hasrat pembikin filem yang mahu mencuba filem berperisa raw, melawan dan memberontak.

RUJUKAN

Hassan Abd Muthalib. 2013. Malaysian Cinema in a Bottle: A Century (and a Bit More) of Wayang. Petaling Jaya: Merpati Jingga.

Kembara Seniman Jalanan. 1986. Filem cereka. Kuala Lumpur: Z.S.A Film Productions.

Mamat Khalid. 2020. Rock dan perfileman Malaysia, Kuala Kangsar. Temu bual, 15 Ogos.

Nasir Jani. 2020. Rock dalam filem-filem Nasir Jani, Kuala Lumpur. Temu bual, 30 Ogos.

Rozana Cinta ‘87. 1987. Filem cereka. Kuala Lumpur: Amir Communications.

KAKISINEMA