Syair panjang Si Bohemia!

Oleh Zan Zaini

10 November, 2018
249 Views

She keeps Moet et Chandon,In her pretty cabinet
‘Let them eat cake’ she says, Just like Marie Antoinette

Queen! Gergasi besar dalam arena muzik antarabangsa yang tak perlu diperkenalkan lagi. Satu-satunya kumpulan yang menggunakan lagu rasmi ‘God Save The Queen’ sebagai penutup konsert mereka. Bukan saja tidak dimurkai baginda ratu, malahan Brian May dijemput mengalunkan petikan gitar untuk lagu rasmi negara Great Britain ini di atas bumbung Istana Buckingham sempena sambutan jubli emas pemerintahan baginda Ratu Elizabeth pada tahun 2002 yang lalu.

Belajar di kolej yang sama, Freddie yang mengambil jurusan seni menggantikan penyanyi asal kumpulan Smile yang juga dianggotai oleh Brian May, pelajar astro-fizik dari kolej Imperial London & Roger Taylor, pelajar kolej pergigian, yang kemudiannya dilengkapkan dengan kemasukan John Deacon, seorang pelajar kejuruteraan eletrik sebagai pemain bass. Selain bertanggungjawab menukar nama kumpulan kepada Queen, Freddie juga bertanggungjawab mereka bentuk logo kumpulan tersebut yang dipanggil Queen Crest yang dihasilkan dari gabungan logo-logo binatang yang terdapat pada zodiak setiap ahli kumpulan.

Dengan deretan hit seperti Killer Queen, Tie Your Mother Down, Fat Bottomed Girls, Seven Seas Of Rhye, Friends Will Be Friends dan banyak lagi, Bohemian Rhapsody menjadi salah satu lagu yang ikonik dan diangkat sebagai antara 500 lagu terbaik sepanjang zaman oleh majalah muzik paling berpengaruh di dunia, Rolling Stones. Tiada siapa tahu maksud sebenar lagu tersebut malahan Freddie sendiri sebagai pencipta lagu dan lirik juga tidak pernah menceritakan makna lagu itu dan disokong oleh Brian May sendiri. Dengan panjang lagu yang mencecah 6 minit – melebihi kebiasaan panjang lagu pada ketika itu (dan juga sekarang!) sudah tentu ia mendatangkan perbualan yang bukan sedikit tentang lagu tersebut. Ada yang melabelkannya sebagai ‘mengada-ngada’, “’menunjuk-nunjuk’ dan tak kurang juga yang mengatakan lagu ini sebagai ‘karut’. Lagu ini juga pada awalnya mendapat tentangan daripada pihak pengurusan syarikat rakaman sendiri yang mengatakan lagu tersebut sebagai ‘terlalu panjang dan tidak sesuai untuk radio’ namun dengan kelicikan Freddie dan ahli kumpulan tersebut yang membawa ‘singles’ tersebut ke Capitol Radio, lagu tersebut menjadi ‘fenomena’ dek kerana deejay yang memutarkan lagu tersebut hingga berbelas kali dalam sehari; adakalanya hingga 30 kali!

Mengenali kumpulan Queen, kita akan dapat menyelami satu perjalanan muzik yang berbeza-beza dari satu album ke satu album yang lain. Terkenal kerana tidak suka melakukan benda yang sama dalam setiap rilisan album, mereka juga suka bereksperimen dalam setiap terbitan mereka demi untuk menghasilkan sesuatu yang lain namun dapat memuaskan nafsu dan halwa telinga peminat mereka. Dengan barisan 14 buah album + 1 album ‘posthumous’ (dilengkapkan & diterbitkan selepas kematian Freddie Mercury), kalian tidak akan mendengar 2 lagu yang seakan Bohemian Rhapsody atau Killer Queen mahupun We Are The Champion. Queen juga terkenal suka menggunakan bahasa asing selain bahasa inggeris dalam lirik lagu mereka. Dengarkan lagu Teo Toriatte (Let Us Cling Together) (Jepun), Las Parabas De Amor (Sepanyol), Mustafa Ibrahim (Persian) & semestinya Bohemian Rhapsody (Arab).

“Roger, there’s only room in this band for one hysterical queen!” Queen itu Freddie dan Freddie itu Queen! Satu dunia tahu Freddie meninggalkan kita semua pada pada 24 Novermber 1991 kerana penyakit Bronchopneumonia iaitu sejenis komplikasi yang berpunca dari AIDS. Terkenal dengan perhubungannya dengan kekasih wanita (dan juga lelaki!) yang dipercayai menjadi punca beliau disahkan HIV positif pada tahun 1987. Walaupun tertulis di majalah-majalah dan tabloid akan kegiatan Freddie yang menjalani hidup sebagai ‘rockstar’ dengan jayanya, hakikat sebenar seperti yang selalu diceritakan oleh orang yang rapat dengan beliau, Freddie seorang yang pemalu dan kebiasaannya lebih suka duduk di rumah dan menghabiskan masa bersama kucing-kucing peliharaannya. Imej ‘flamboyant’ yang selalu ditonjolkan beliau ketika di atas pentas ternyata berlawanan dengan sifat Freddie yang sebenar.

Hakikat yang tak boleh dipisahkan bila bercerita mengenai hubungan cinta empunya nama asal, Farroukh Bulsara, ialah dengan kekasih yang juga bekas tunang beliau, Mary Austin yang (pada pandangan saya) hampir mencapai epik percintaan Samson & Delailah atau Uda & Dara. Cinta mereka yang akhirnya gagal menyatukan mereka walaupun banyak lagu yang ditulis Freddie khusus untuk cinta hati matinya ini. Paling mengesankan? Sudah tentu lagu ‘stadium anthem’ Love Of My Life yang didedikasikan khas buat bekas tunangnya itu. Adakah bukan cinta namanya bila hampir separuh harta peninggalan Freddie Mercury diwasiatkan kepada Mary Austin termasuklah royalti rakaman album (kecuali 4 album terakhir yang diberikan kepada ahli kumpulan Queen) & rumah agam 20 bilik beserta ‘grand piano’ yang digunakan ketika merakam lagu Bohemian Rhapsody. Semuanya atas alasan ‘sepatutnya mengikut aturan normal, mereka sudahpun berkahwin dan mempunyai anak, dan Freddie memang menyediakan rumah itu untuk mereka’. Walaupun tahun-tahun akhir hayatnya Freddie dijaga oleh ‘kekasihnya’ pada waktu itu, Jim Hutton, namun Mary tetap berada di satu sudut paling istimewa dalam hatinya. Hinggakan abu mayat Freddie yang dibakar mengikut upacara ‘Zoroastrian’ aka Majusi (agama anutan ibu dan bapanya) juga disemadikan oleh Mary atas wasiat Freddie sendiri dan hanya beliau saja yang tahu lokasi tepat di mana Freddie disemadikan. Memetik temuramah Mary dengan Daily Mail pada tahun 2013, “I never betray him in his lifetime, and I’ll never betray him now”.

Antara persembahan pentas yang paling diingati oleh Queen mestilah ketika konsert Live Aid pada tahun 1985. Konsert amal yang dianjurkan untuk mengutip dana bagi membantu mangsa kebuluran di Ethiopia yang diusahakan oleh satu susuk berpengaruh dalam dunia muzik, Bob Geldof menjadi antara persembahan Queen paling bertenaga dan paling diingati oleh peminat di seluruh dunia. Siapa boleh lupakan tepukan serentak secara ‘unison’ hampir 100,000 penonton di stadium Wembley mengikut aksi dalam klip video Radio Ga Ga yang diterbitkan kurang setahun sebelum konsert bersejarah ini? Queen juga terkenal sebagai pelopor ‘stadium rock’ di mana mereka pernah memegang rekod dunia penonton berbayar teramai (131,000 penonton) ketika konsert mereka di Sao Paolo dalam rangka jelajah ke Amerika Latin pada tahun 1981.

Terlalu banyak artikel, terlalu banyak buku dan majalah malahan filem dokumentari yang boleh didapati sekarang yang menceritakan tentang sejarah dan legasi Queen sejak awal penubuhannya hingga kini. Namun apa yang penting ialah pengalaman peribadi mendengar dan menghayati karya-karya yang pernah dihasilkan yang telahpun diiktiraf antara yang terbaik pernah dihasilkan dalam sejarah peradaban manusia. Baik Freddie mahupun Queen, keempat-empat mereka berjaya meninggalkan legasi yang akan terus dikenang selama-lamanya walaupun memetik lirik nukilan (Dr) Brian May dalam album A Kind Of Magic, “Who wants to live forever!”

You may be interested

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody
Ulasan Filem
73 views
Ulasan Filem
73 views

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody

Kakisinema - 17 November, 2018

Bohemian Rhapsody; filem biopic kumpulan rock legenda Queen dicanang dengan tagline; The only thing more extraordinary than their music is…

Trailer Bukan Filem!
Pendidikan
152 views
Pendidikan
152 views

Trailer Bukan Filem!

Daniyal Kadir - 11 November, 2018

Baru-baru ini trailer filem Polis Evo 2 telah muncul di laman sosial dan ia merupakan perkara biasa sebagai sebahagian daripada…

Senarai Pencalonan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2018
Acara
224 views
Acara
224 views

Senarai Pencalonan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2018

Kakisinema - 25 October, 2018

Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur telah mengeluarkan senarai pendek pencalonan untuk Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2018. Penerima anugerah berkenaan…