Senarai Pencalonan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2018

25 October, 2018
224 Views

Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur telah mengeluarkan senarai pendek pencalonan untuk Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2018. Penerima anugerah berkenaan mengikut kategori masing-masing akan dimaklumkan pada awal bulan November 2018. Setakat ini, mereka mendapati terdapat sekurang-kurangnya 61 filem yang melalui skim wajib tayang dan telah ditayangkan pada bulan September 2017 hingga Ogos 2018. Semuanya melalui pertimbangan dan penelitian khusus.

Senarai pencalonan, seperti yang berikut:

Senarai Calon Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2018

PENGARAH TERBAIK

Tan Seng Kiat untuk Shuttle Life 
Dain Said untuk Dukun
Kabir Bhatia untuk Pulang 
Nam Ron untuk Crossroads: One Two Jaga 
Al Jafree Md Yusop untuk Mencari Rahmat 

PELAKON LELAKI TERBAIK

Jalil Hamid untuk Bisik pada Langit 
Remy Ishak untuk Pulang
Rosdeen Suboh untuk Crossroads: One Two Jaga 
Nam Ron untuk Mencari Rahmat
Ameerul Affendi untuk Mencari Rahmat

PELAKON WANITA TERBAIK

Kara Hui untuk Mrs. K
Umie Aida untuk Dukun
Puteri Aishah untuk Pulang
Sangeeta Krishnasamy untuk Vedigundu Passange
Nadia Aqilah untuk Mencari Rahmat

SINEMATOGRAFI TERBAIK

Teoh Gay Hian dan Ho Yuhang untuk Mrs. K 
Chen Ko Chin untuk Shuttle Life
Khalid Zakaria untuk Tombiruo: Penunggu Rimba
Zambree Haras untuk Pulang
Helmi Yusof untuk Crossroads: One Two Jaga

LAKON LAYAR TERBAIK

Maizura Ederis dan Sofia J. Rhyland untuk Bisik pada Langit
Tan Seng Kiat dan Chris Leong Siew Hong untuk Shuttle Life
Huzir Sulaiman untuk Dukun
Ayam Fared, Pitt Haniff, Nam Ron, Amri Rohayat dan Muhammad Syafiq untuk Crossroads: One Two Jaga 
Al Jafree Md Yusop untuk Mencari Rahmat

PELAKON PEMBANTU LELAKI TERBAIK

Bohari Ibrahim untuk Jibam 
Faizal Hussein untuk Dukun
Rab Khalid untuk Hantu Kak Limah
Ario Bayu untuk Crossroads: One Two Jaga
Azman Hassan 
untuk Crossroads: One Two Jaga

PELAKON PEMBANTU WANITA TERBAIK

Ummi Nazeera untuk Bisik pada Langit
Sylvia Chang untuk Shuttle Life
Angel Chan 
untuk Shuttle Life
Farah Ahmad untuk Jibam
Adibah Noor untuk Mencari Rahmat

FILEM TERBAIK

Shuttle Life (Roland Lee, Jin Ong, Kent Chan, Cheah Yee Lai dan Angelin Ong sebagai penerbit. Melvin Ang, C.S. Lim, Jerene Ong, Khim Kiat Ong dan David Wei sebagai penerbit eksekutif)

Dukun (Dominique Hee sebagai penerbit dan penerbit eksekutif)

Pulang (Irene Mariena Mohamad sebagai penerbit. Tengku Iesta Tengku Alaudin dan Nor Shahila Harun Shah sebagai penerbit eksekutif)

Crossroads: One Two Jaga (Rozi Izma Abdul Karim dan Bront Palarae sebagai penerbit. Rahmat Adam, Ario Bayu, Naeim Ghalili, Joanne Goh, Abd Samad Hassan, Razaisyam Rashid dan Helmi Yusof sebagai penerbit eksekutif)

Mencari Rahmat (Zuli Ismail dan Rahmat Adam sebagai penerbit. Madnor Kassim, Siti Marzuliana Marzuki dan Sazrul Yacub sebagai penerbit eksekutif)

Salah seorang ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur, Fadli al-Akiti telah menyediakan nota tambahan berkenaan pencalonan bagi tahun 2018. Nota berkenaan adalah seperti berikut:

Tahun 2018 seakan-akan menjadi suatu ambang pembuka yang menjanjikan untuk usaha dan kerja perfileman kita. Perubahan kerajaan, yang membawa semangat Malaysia Baharu seakan-akan mula mencari jalan untuk benar-benar meneliti permasalahan institusi dan penambahbaikan yang diperlukan, walaupun betapa lambat ia merangkak atau betapa tertanya-tanya dengan penglobian politik orang-orang industri tertentu. Tahun ini sahaja, sudah ada beberapa filem pecah panggung yang memberangsangkan, daripada beberapa filem yang tidak pernah dibayangkan berjaya.

Dukun, yang ditayangkan sebelum Pilihan Raya Umum merupakan antara filem baik tahun ini yang berjaya memecah panggung dan mengubah persepsi (bahawa ada filem generik yang lari daripada formula popular untuk penonton umum) masyarakat dan pemerhati filem, membuka rancak pecah panggung seterusnya oleh beberapa filem, yang terus-menerus berlaku, dan diharapkan berlaku secara berterusan. Dukun membawa banyak kesegaran tempatan dalam genre penyiasatan, ngeri dan drama, yang diselaputi juga dengan beberapa lapisan dalaman tentang pergolakan sosial, seksual dan politik, yang jarang-jarang dapat dilihat berlaku dalam sesebuah filem tempatan. Malah, filem ini mendapat pujian tinggi di negara jiran Indonesia yang mula muak dengan ramuan dan mantera santet yang sama dalam filem-filem perbomohan mereka.

Shuttle Life ialah filem tahun lepas yang meneruskan tradisi pembikin baharu kita dalam menyelami kaedah neorealisme, malah filem ini merupakan antara filem neorealisme yang cemerlang pernah dibikin oleh para pembikin kita. Filem ini berjaya menusuk dalam dan dalam tentang permasalahan jurang kelas dan kemelaratan sosial, yang juga mempunyai implikasi-implikasi politik yang menyakitkan. Filem ini begitu terpancar baik kerana keutuhan para pembikinnya untuk menolak sentimentaliti dan mengawal gerakan naratif filem, dari awal hingga akhir daripada cetusan melodrama, tetapi “tangkapan” realiti yang membuak seadanya, putih dan hitamnya, yang secara prasedar juga menimbulkan puisinya yang tersendiri.

Pulang ialah filem tradisi air mata kita yang juga cemerlang, cemerlang dari segi keseimbangan para pembikinnya dalam penyusunan dan garapan cerita, watak-watak, dan keefektiviti teknik dan teknologi diadun bersama dalam sebuah drama. Pulang, yang merupakan suatu kebiasaan genre menjadi sedikit hibrid dengan garapan aksi, babak perang, garapan studio dan aksi kapal, ia menjadi mendebarkan, menghiburkan, penuh emosi dan cukup serba-serbi sebagai sebuah filem tradisi air mata yang meneruskan beberapa persoalan perbincangan nilai, budaya dan sikap manusia tempatannya.

Crossroads: One Two Jaga atau hanya One Two Jaga di Malaysia, merupakan antara filem paling berani dan paling hebat dalam mencucuh isu masyarakat, politik dan nilai budaya. Filem cemerlang ini telah membuka banyak persoalan dan wacana, bukan sahaja dalam apa yang boleh dan tidak boleh dihidangkan dalam filem kita; juga wacana-wacana hidup tentang masalah sosial yang selama ini bergelumang dalam negara kita. Filem ini sungguh berani dengan menayangkan hal itu, dengan ruang lingkup yang jauh lebih besar, sarwajagat dan manusiawi.

Mencari Rahmat, sebuah filem yang amat mengejutkan para ahli majlis, kerana atas kesederhanaan bentuknya dan penayangannya, ia telah berjaya memaut hati kebanyakan ahli majlis ini untuk memilihnya sebagai antara filem terbaik kita tahun ini. Filem ini diadaptasi dengan bergaya sekali oleh pengarahnya daripada skrip pentas Oscar Wilde, The Importance of Being Earnest. Mungkin adaptasi ini kelihatan “janggal” jika hanya dibaca pada muka teks, tetapi percayalah, pengarah dan kesemua pelakunya telah berjaya meyakini kami akan keberhasilan sebuah komedi terbaik kita tahun ini, yang penuh satira dan momokannya terhadap orang-orang yang ditampilkannya, menjadi sebuah drama yang anti-drama televisyen, yang menyentak budaya penontonan televisyen dan wayang kita pada teras jiwanya. Filem sederhana tetapi hebat ini juga merupakan satu semboyan jelas agar institusi kita mula memikirkan suatu cara agar filem-filem berproduksi bebas atau hiliran, yang kos belanjanya mungkin tidak cukup untuk membawanya ke tauke panggung biasa agar dapat dihadirkan sebuah panggung khusus, sebuah art-house cinema, di lokasi-lokasi strategik dan utama, yang dapat menampung filem-filem belanja kecil berjiwa besar sebegini untuk tontonan lebih ramai lagi penonton kita, yang mula menunjukkan minatnya pada wayang yang berisi dan berbeza daripada kebiasaan.

Terdapat juga beberapa filem yang mencapai merit atas percubaan dan kekuatan garapannya, yang juga dipuji oleh kami, tetapi tidak terdaya mencapai senarai akhirnya atas proses pilihan dan penjurian. Untuk itu, kami ucapkan tahniah juga terima kasih atas kesungguhan para pembikin ini memberikan pancawarna pada layar putih kita. Semoga tahun-tahun hadapan kecemerlangan ini dapat dipertingkatkan lagi dengan profesional, tangkas dan bakat, agar cerita-cerita kita terus menjadi perkongsian peradaban yang disegani.

You may be interested

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody
Ulasan Filem
73 views
Ulasan Filem
73 views

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody

Kakisinema - 17 November, 2018

Bohemian Rhapsody; filem biopic kumpulan rock legenda Queen dicanang dengan tagline; The only thing more extraordinary than their music is…

Trailer Bukan Filem!
Pendidikan
152 views
Pendidikan
152 views

Trailer Bukan Filem!

Daniyal Kadir - 11 November, 2018

Baru-baru ini trailer filem Polis Evo 2 telah muncul di laman sosial dan ia merupakan perkara biasa sebagai sebahagian daripada…

Syair panjang Si Bohemia!
Pendidikan
248 views
Pendidikan
248 views

Syair panjang Si Bohemia!

Kakisinema - 10 November, 2018

She keeps Moet et Chandon,In her pretty cabinet 'Let them eat cake' she says, Just like Marie Antoinette Queen! Gergasi…