Istana Berdarah (1965): Filem Hussain Haniff Yang Hilang

Oleh Mohd Danial Abd Aziz

24 October, 2018
169 Views

“Istana Berdarah merupakan filem Hussain Haniff yang teragung.” – Bahyah Mahmood

Begitulah komen wartawan hiburan Bahyah Mahmood terhadap filem Istana Berdarah arahan Hussain Haniff. Menurut beliau lagi, Hussain telah berjaya menghasilkan satu karya yang hebat serta gambaran yang sangat baik.

Filem Istana Berdarah merupakan filem kesembilan arahan Hussain Haniff. Di studio Cathay-Keris, Hussain mempunyai rakan-rakan sepasukan teknikal yang sekepala dengannya. Mereka inilah yang mampu melayan kerenah Hussain yang sangat cerewet dan panas baran itu dalam kerja-kerja pembikinan filem.

Menurut Yunos Alwi yang pernah menjadi pembantu jurukamera dalam kebanyakan filem-filem Hussain Haniff, hidup seharian individu yang bernama Hussain Haniff ini hanya tertumpu kepada filem, filem dan filem. Beliau sangat obses terhadap filem. Jika tidak terikat dengan jadual penggambaran, beliau gemar mengajak rakan-rakannya menonton filem-filem Hollywood dan Jepun.

Hussain Haniff dikhabarkan sangat menggilai Akira Kurosawa. Ini terbukti kerana terdapat banyak syot-syot filem Hussain seakan-akan menyerupai Kurosawa. Hussain juga terdedah dengan pergerakan kamera dari filem-filem arahan Kurosawa. Untuk filem Istana Berdarah, Hussain Haniff mengadaptasi karya agung William Shakespeare – “Macbeth” melalui karya Akira Kurosawa iaitu Throne of Blood (1957).

Selain menonton filem, Hussain mempelajari teknik-teknik membikin filem dengan membuat perbincangan dengan rakan-rakannya tentang filem-filem yang mereka tonton. Sikap Hussain Haniff yang gemar memberontak itu dizahirkan ke dalam filem-filemnya yang penuh dengan unsur-unsur darah, kekejaman dan sadisme

Istana Berdarah mula ditayangkan pada 3 Februari 1965. Agak menyedihkan, filem yang dianggap sebagai arahannya yang teragung ini dipercayai telah pupus. Inilah satu-satunya filem Hussain Haniff yang tidak dapat kita tonton pada masa kini.

BARISAN PELAKON

Salleh Melan – Mahfuz
Fatimah Ahmad – Wan Kendali
Ahmad Sabri – Mahadi
Suraya Harun – Puteri Suriani
Ahmad Osman – Petaling
Umi Kalthum
Ahmad Nisfu
Yem
Siti Tanjong Perak
Aini Jasmin

RINGKASAN CERITA

Mengisahkan tentang dua pahlawan iaitu Mahfuz dan Mahadi yang terselamat ketika kapal mereka diserang lanun. Mereka berdua terdampar di sebuah pantai dan kemudiannya bertemu dengan seorang penilik nasib.

Penilik nasib itu memberitahu mereka bahawa Mahfuz akan menjadi seorang yang berkuasa di negeri berkenaan. Mahadi pula akan mendapat zuriat yang terdiri dalam kalangan diraja dari zaman ke zaman walaupun dirinya hanya seorang rakyat biasa.

Mahfuz dan Mahadi kemudiannya berkahwin dengan pasangan masing-masing. Mahfuz berkahwin dengan Wan Kendali dan Mahadi berkahwin dan mendapat seorang anak lelaki bernama Petaling.

Isteri Mahfuz, Wan Kendali seorang yang gilakan pangkat. Kerana sangat percayakan tilikan si penilik nasib maka dia telah merancang untuk membunuh Sultan di negeri itu supaya Mahfuz dapat berkuasa.

Rancangan itu diketahui oleh Mahadi yang dapat mengesyakinya dari awal. Untuk memastikan rancangan keji itu tidak dihalang, Wan Kendali telah menggunakan tipu helah untuk membunuh Mahadi, dan seterusnya Sultan dan Datuk Bendahara.

Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Mahadi telah berpesan kepada anaknya Petaling membawa puteri baginda Sultan, Puteri Suriani untuk mendapatkan perlindungan.

Setelah mendapat kuasa, kehidupan Mahfuz dan Wan Kendali masih tidak tenteram kerana roh Mahadi seringkali mengganggu kehidupan mereka. Wan Kendali yang telah berdosa kerana melakukan pembunuhan seringkali terganggu fikirannya. Tangannya sentiasa mengalirkan darah walaupun dicuci berkali-kali.

Mahfuz pergi bertanyakan kepada penilik nasib tentang hal itu dan beliau diberitahu bahawa tiada seorang lelaki pun yang mampu untuk membunuh Mahfuz dan Wan Kendali.

Setelah membuat rancangan rapi, Petaling bersama-sama Puteri Suriani menyerang Mahfuz dan Wan Kendali. Ketika bertarung, Petaling mendapati bahawa dirinya sukar untuk membunuh Mahfuz. Namun akhirnya Mahfuz mati ditikam oleh Puteri Suriani.

Wan Kendali cuba melarikan diri, namun dirinya diserang sekumpulan ular berbisa yang mengejar dan membelitnya. Akhirnya, Wan Kendali mati dalam keadaan yang sangat mengerikan dengan matanya terbeliak dan lidahnya terjelir panjang akibat terjatuh ke dalam gaung dan perutnya tertikam oleh batu.

FAKTA MENGENAI FILEM ISTANA BERDARAH

1. Filem kesembilan arahan Hussain Haniff.

2. Mula ditayangkan pada 3 Februari 1965 (Tayangan hari raya pertama).

3. Merupakan adaptasi daripada karya agung William Shakespeare – “Macbeth”.

4. Satu-satunya filem arahan Hussain Haniff yang hilang atau pupus.

5. Watak Puteri Suriani pada awalnya diberi kepada Mona Zaiton, namun di saat akhir ia diserahkan kepada Suraya Harun.

6. Pegawai Penerangan Cathay-Keris, Hamzah Hussin telah menjemput sasterawan-sasterawan tempatan untuk menonton preview filem ini.

7. Wakil syarikat Cinerama, Mr. Minsky yang menonton tayangan khas bersama Tom Hodge, Hussain Haniff, Fatimah Ahmad dan pelakon-pelakon lain telah menyatakan kekagumannya dengan kualiti filem ini.

8. Wartawan hiburan Bahyah Mahmood (BAM) juga berpendapat bahawa filem ini merupakan filem Hussain Haniff yang teragung.

9. Pengarah terkenal dari Jepun, Akira Kurosawa juga pernah mengadaptasi karya “Macbeth” ini melalui filemnya, Throne of Blood pada 1957.

10. Hussain Haniff sanggup memanjat pokok dan membawa perahu unit penggambarannya ke tengah laut Selat Melaka untuk mengambil syot kapal karam yang tidak menampakkan daratan.

Sumber:

1. Mastika Filem bil. 29 (November 1964)
2. Berita Harian, 19 Disember 1964
3. Memoir Hamzah Hussin: Dari Keris Film ke Studio Merdeka
4. Hamzah Hussin: Sekitar Pemikiran Seni Untuk Seni
5. Artikel “Hussein Haniff dalam kelasnya tersendiri” oleh Nasir Jani
6. Daftar Filem Melayu 1933-1993

Mohd Danial Abd Aziz merupakan seorang penggemar filem-filem Melayu hitam putih, lebih-lebih lagi terbitan studio Cathay-Keris. Sangat meminati filem-filem arahan Hussain Haniff dan M. Amin. Pernah menulis di portal The Patriots dan grup Facebook Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik (KFMMK).

You may be interested

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody
Ulasan Filem
73 views
Ulasan Filem
73 views

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody

Kakisinema - 17 November, 2018

Bohemian Rhapsody; filem biopic kumpulan rock legenda Queen dicanang dengan tagline; The only thing more extraordinary than their music is…

Trailer Bukan Filem!
Pendidikan
152 views
Pendidikan
152 views

Trailer Bukan Filem!

Daniyal Kadir - 11 November, 2018

Baru-baru ini trailer filem Polis Evo 2 telah muncul di laman sosial dan ia merupakan perkara biasa sebagai sebahagian daripada…

Syair panjang Si Bohemia!
Pendidikan
249 views
Pendidikan
249 views

Syair panjang Si Bohemia!

Kakisinema - 10 November, 2018

She keeps Moet et Chandon,In her pretty cabinet 'Let them eat cake' she says, Just like Marie Antoinette Queen! Gergasi…