Bicara Rahmat Al Jafree

21 October, 2018
156 Views

Al Jafree Md Yusop memulakan karier sebagai penulis lakonlayar. Dia menulis lakon layar filem Paloh dan skrip untuk P. Ramlee The Musical. Mula mengarah telefilem Senandong Malam pada 2008 bersama Dain Said dan Melur vs Rajawali pada 2014. Mencari Rahmat ialah filem pertama arahannya.

Bagaimana saudara melihat Mencari Rahmat berbeza daripada filem-filem tempatan yang ada sebelum ini?

Mencari Rahmat ialah adaptasi daripada karya drama pentas The Importance of Being Earnest oleh Oscar Wilde. Saya mendapat inspirasi selepas menonton filem 12 Angry Men oleh Sidney Lumet, Who’s Afraid of Virginia Woolf oleh Mike Nichols dan Puisi Tak Terkuburkan oleh Garin Nugroho. Ia menggunakan hanya dua buah rumah sebagai lokasi dan dipenuhi oleh dialog sepanjang cerita. Saya tak pasti sama ada ia pernah dilakukan di sini sebelum ini tapi ini usaha saya mencabar keupayaan saya sebagai seorang pencerita.

Boleh saudara jelaskan proses panjang yang dilalui dalam menghasilkan Mencari Rahmat?

Saya mula menulis skripnya pada tahun 1991 dan siap sepenuhnya pada tahun 2001 di mana ia telah dipentaskan di Actors Studio, Dataran Merdeka pada tahun yang sama. Skrip itu kemudiannya diperam selama 16 tahun kerana mungkin tiada pihak yang berminat untuk membiayai projek yang berisiko tinggi seperti ini. Hanya apabila saya mengumumkan keinginan saya untuk mengadaptasikannya ke filem di laman Facebook saya, ia mula berhasil. Pengarah Fotografi saya merangkap Penerbit Eksekutif, Madnor Kassim menyuarakan hasrat untuk menerbitkannya dan bermulalah perjalanan Mencari Rahmat sebagai sebuah filem menjadi kenyataan.

Proses penulisan yang panjang itu adalah kerana cabaran bagi menterjemahkan ‘wit’ dan ‘roh’ karya agung Oscar Wilde ini ke Bahasa Melayu. Ia telah melalui proses ‘trial and error’ yang panjang dan berulang kali sehingga saya betul-betul puas hati dengan apa yang telah dihasilkan.

Bagaimana saudara melihat perkembangan filem-filem romantik-komedi di Malaysia?

Filem romantik-komedi atau rom-com adalah genre yang susah sebenarnya. Kalau kita lihat kebanyakan atau hampir semua filem romantik-komedi dari Amerika menggunakan New York sebagai latarnya. Filem-filem seperti When Harry Met Sally arahan Rob Reiner, Breakfast at Tiffany’s arahan Blake Edwards, Annie Hall arahan Woody Allen dan banyak lagi menggunakan Kota Raya New York atau Manhattan sebagai latarnya. Ini adalah kerana New York telah dikenal pasti dan telah melalui proses yang lama bagi gambaran sebagai sebuah Kota Raya yang romantik.

Di sini belum ada lagi proses atau kajian bagaimana untuk menggambarkan Kuala Lumpur sebagai kota yang romantis. Kadang-kadang mungkin kita kena terima hakikat yang mungkin KL bukan sebuah Kota Raya yang romantik. Mungkin Penang atau Ipoh lebih romantik seperti tiada filem romantik-komedi di Amerika yang menggunakan Detroit atau Dallas sebagai latar bagi sebuah filem romantik-komedi. Lokasi dan latar memainkan perasan yang sangat penting dalam betapa efektifnya penceritaan sebuah filem. Ini sesuatu yang tidak boleh diabaikan oleh pembikin filem.

Apakah hal-hal yang mempengaruhi saudara sepanjang membikin Mencari Rahmat? Mungkin juga boleh dijelaskan orang-orang atau karya-karya yang mempengaruhi saudara?

Seperti yang saya telah nyatakan di atas, karya-karya yang dihasilkan oleh pengarah-pengarah yang berasal dari dunia teater seperti Elia Kazan, Sidney Lumet, Mike Nichols, Teguh Karya mempengaruhi saya untuk mengarahkan Mencari Rahmat. Mencari Rahmat ialah cabaran bagi bercerita dengan efektif tanpa unsur-unsur tambahan seperti aksi, CGI dan banyak lagi elemen tambahan yang selalu digunakan sekarang dalam proses membikin filem. Kerana seperti apa yang pernah ditekankan oleh pengarah-pengarah filem seperti Roberto Rosellini, Jean Renoir dan Francois Truffaut ialah setinggi mana atau sofistikatednya teknologi pembikinan filem, akhirnya elemen yang paling penting sekali ialah penceritaan. Mencari Rahmat ialah cabaran bagi saya dan rakan-rakan saya dalam bidang penceritaan tanpa melupakan akan hakikat yang filem juga ialah satu bentuk hiburan.

Pada pandangan saudara apakah yang dimaksudkan dengan skrip yang baik untuk sesebuah filem?

Penulis lakon layar hebat, William Goldman pernah mengatakan skrip ialah struktur dan konflik. Pemahaman terhadap struktur penceritaan adalah aspek yang akan membezakan antara skrip yang baik atau disebaliknya. Selagi seorang penulis lakon layar dan juga pengarah belum menguasai struktur penceritaan maka dia masih belum bersedia untuk membikin sebuah filem. Perkara yang sama juga pernah ditekankan oleh Akira Kurosawa di dalam bukunya ‘Something Like An Autobiography’.

You may be interested

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody
Ulasan Filem
76 views
Ulasan Filem
76 views

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody

Kakisinema - 17 November, 2018

Bohemian Rhapsody; filem biopic kumpulan rock legenda Queen dicanang dengan tagline; The only thing more extraordinary than their music is…

Trailer Bukan Filem!
Pendidikan
152 views
Pendidikan
152 views

Trailer Bukan Filem!

Daniyal Kadir - 11 November, 2018

Baru-baru ini trailer filem Polis Evo 2 telah muncul di laman sosial dan ia merupakan perkara biasa sebagai sebahagian daripada…

Syair panjang Si Bohemia!
Pendidikan
249 views
Pendidikan
249 views

Syair panjang Si Bohemia!

Kakisinema - 10 November, 2018

She keeps Moet et Chandon,In her pretty cabinet 'Let them eat cake' she says, Just like Marie Antoinette Queen! Gergasi…