MIKE FLANAGAN MENGHANTUI KELUARGA CRAIN DAN KITA DALAM THE HAUNTING OF HILL HOUSE

Oleh Amer Zaman

20 October, 2018
142 Views

Saya lupa siapa yang katakan bahawa hantu adalah masa lepas yang tak selesai. Tapi apa yang saya ingat, selepas mendengar (atau membaca) kata-kata ini, saya fikir itu adalah penjelasan yang paling tepat dan mudah tentang hantu

Beberapa tahun sudah, saya ke pawagam seorang diri untuk menonton filem Oculus (2013) – saya tak tahu filemnya tentang apa, yang saya tahu itu filem horror – namun saya keluar panggung dengan rasa penuh tanda tanya tentang apa itu ketakutan – dan persoalan itu datang daripada Mike Flanagan. Saya kemudian menjadi peminatnya sehingalah siri terbarunya – The Haunting Of Hill House mula ditayangkan di Netflix.

The Haunting of Hill House ini patutnya biasa-biasa saja. Kisah sebuah keluarga yang dihantui rumah berhantu. Ada banyak filem begini. Tapi ingat, ia adalah adaptasi daripada novel Shirley Jackson, yang  ditulis pada tahun 1959 dan novel ini bertahan hingga ke hari ini untuk dikenali. Malah novelis Stephen King menyatakan ini novel horror penting abad ke-20. Maka sudah pasti ia adalah ‘sesuatu’ dan saya silap sebab katakan ia biasa-biasa tadi.

Untuk itu, apa jadi apabila Mike Flanagan buat adaptasi novel Shirley Jackson ini? Adakah sebaik novelnya ? Saya tak tahu. Saya tak baca novel itu, tapi saya tonton The Haunting of Hill House di Netflix selama lebih 10 jam (sudah tentu bukan sekaligus) dan ia menakjubkan. Ia telah menolak aras siri horror lebih atas dan meninggalkan beberapa siri horror lain dengan membawa persoalan, apakah yang menakutkan sebenarnya? Hantu? Kegelapan? Kehilangan? Rahsia yang terpendam?

Kalau kita telusuri karya Mike Flanagan, kita akan faham dua perkara tentang dia. Pertama dia suka dengan psychological thriller dan kedua dia suka bermain dengan masa dan ruang (time and space). Walaupun dia bikin filem francais macam Ouija : Origin of Evil pun, cap mohor ini kuat. Malah filem Gerald’s Game (2017) yang 70 peratus babaknya di atas katil pun boleh jadi moving dengan dua elemen ini. Penggunaan konsep masa dan ruang dalam sinema ini sebenarnya amat tricky jika digunakan oleh pengarah Amerika, kerana ia boleh jadi surreal atau absurd, tetapi Flanagan dapat menguasai ini – dan ia jelas dalam filem-filemnya terutama Oculus (2013)

Berbalik ke siri 10 episod Hill House – ia bermula dengan sebuah keluarga di rumah agam dan anak kecil memberitahu diganggu hantu. Dan kemudian bapanya memberitahu yang hantu hanyalah percikan mimpi ke dunia realiti. Ia adalah babak flashback. Babak seterusnya kita mula kenal dengan watak anak sulung keluarga yang berada di rumah tersebut yang kini sudah dewasa- Steven Crain atau Steve. Steve merupakan novelis yang terkenal kerana menulis novel horror berjudul The Haunting of Hill House- kisah dia bersama-sama empat beradiknya yang lain – Shirley, Theo, Luke dan Nell ketika berada di rumah agam yang mak dan bapa dia, Olivia dan Hugh beli sebab nak jual semula lepas baik pulih. Walaupun tulis novel horror, Steve tak percaya hantu macam mana yang kita percaya.  Dia anggap hantu adalah memori, mimpi, rahsia, kesedihan, kemarahan dan rasa bersalah.  Dua pernyataan tentang hantu inilah pernyataan yang kuat bahawa siri ini adalah tentang hantu yang lebih menakutkan daripada hantu.

Apabila saya cakap menakutkan, ia bukanlah takut macam kita tonton siri Siccin atau Saw. Dan dia lain daripada seram James Wan, folk-horror atau post-horror. Hill House ada kualiti macam filem Hereditary tapi lebih sinematik dan sinematik di sini ialah keupayaan Mike Flanagan memanipulasikan ruang dan masa, di mana dua elemen ini semacam eksklusif untuk sinema. Kisah Hill House berulang-alik dari masa sekarang dengan  masa silam dan ia tak canggung langsung. Dan ada ketikanya masa bukanlah urutan satu dua dan tiga atau seperti domino yang jatuh dan menjatuhkan domino seterusnya. Masa ibarat hujan yang turun bertaburan. (kata-kata ini bukan saya reka, tapi saya petik dalam siri ini) Di sini kita sedar bahawa penulisan untuk siri ini bukan sahaja amat cermat malah mengagumkan dan akan membuatkan kita percaya yang karya seperti ini cuma boleh dibawa oleh Flanagan saja.

Ada beberapa moment yang saya kira akan melekat lama dalam kepala saya sepanjang siri ini. Pertama adalah babak akhir episod lima. Ia betul-betul memberi makna baru terhadap hantu yang selalu kita nampak. Dan kekaguman saya ini disambung pula dengan episod enam. Dalam episod ini, semua watak berada dalam satu ruang tetapi dengan permainan emosi yang berdimensi sambil  membawa kita dari masa kini ke masa lalu dengan satu long take. Episod ini saya kira jantung atau perut kepada siri ini. Saya rasa tak perlulah bercerita pasal lakonan dalam siri ini sebab saya sendiri terkejut bila watak  pembantu seperti Mr Dudley yang berdialog panjang cuma sekali di tengah siri ini boleh membuatkan saya empati dengan dia dan isterinya sekaligus sehingga penamat.

The Haunting of Hill House mungkin bukanlah siri paling seram pernah ditayangkan. Mungkin ada yang lain.  Saya tak boleh yakin sangat tentang ini. Tapi saya kira siri ini boleh menghantui diri kita untuk beberapa hari. Sebab ia bukanlah tentang betapa horrornya hantu atau tentang betapa efisiennya jump-scare tetapi ia tentang horrornya  sebuah kenangan masa lalu dan horrornya rasa kehilangan, kesedihan serta kesunyian.

Amer Zaman dulu pernah menjadi blogger dan pembikin filem pendek. Kemudian hilang.

You may be interested

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody
Ulasan Filem
77 views
Ulasan Filem
77 views

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody

Kakisinema - 17 November, 2018

Bohemian Rhapsody; filem biopic kumpulan rock legenda Queen dicanang dengan tagline; The only thing more extraordinary than their music is…

Trailer Bukan Filem!
Pendidikan
152 views
Pendidikan
152 views

Trailer Bukan Filem!

Daniyal Kadir - 11 November, 2018

Baru-baru ini trailer filem Polis Evo 2 telah muncul di laman sosial dan ia merupakan perkara biasa sebagai sebahagian daripada…

Syair panjang Si Bohemia!
Pendidikan
250 views
Pendidikan
250 views

Syair panjang Si Bohemia!

Kakisinema - 10 November, 2018

She keeps Moet et Chandon,In her pretty cabinet 'Let them eat cake' she says, Just like Marie Antoinette Queen! Gergasi…