KEANGGUNAN SINEMA PUITIS DALAM DUKUN (2018)

Oleh Za'im Yusoff

17 October, 2018
164 Views

Bagi mengaitkan antara seni puisi dengan seni sinema, kita seyogia kembali kepada pelopor-pelopor dalam kedua-dua bidang.

Robert Frost, penyair terkenal Amerika memperihalkan seni puisi itu lahir bagi merungkaikan kecelaruan penyampaian maksud (lost in translation). Ini bermakna puisi mempermudah maksud yang payah.

Manakala Roman Polanski, sutradara Perancis pula memperihalkan seni senima sebagai “sinema sepatutnya membuatkan kita terlupa bahawa kita sedang duduk di dalam pawagam”. Ini bermaksud kesan sinema tidak berakhir di pawagam bahkan dibawa pulang ke dalam kehidupan.

Darihal itu, apabila sinema semisal Dukun mempermudah wacana yang sukar sambil mengesani masyarakat secara emosi mahupun intelektual, tidakkah boleh disimpulkan bahawa kemuncak senima itu pada kepuitisannya dan kemuncak puisi pula pada tahap kemampuannya diterjemahkan dengan baik di layar perak?

Penyair mapan, Zaen Kasturi dalam Kata Pengarang, Kata Pembaca anjuran PENA pernah menegaskan bahawa di akhir, puisi adalah tentang kata-kata. Kata-kata yang dimaksudkan Zaen sudah semestinya melangkaui alat-alat majaz semisal simile dan metafora. Ini adalah kerana kemampuan karya sinema untuk menterjemahkan metanaratif pastinya berkehendakkan alat majaz yang lebih besar seperti alegori. Alegori ialah pengkisahan melalui sekumpulan watak dan sekelompok peristiwa bagi memudahkan penyampaian idea naratif dan wacana yang pada asalnya kompleks.

Contohnya, dalam puisi yang baik seperti puisi panjang Sungai Sejarah karya SN Muhammad Haji Salleh, kita dapat menemukan pelbagai tafsiran makna. Menurut Mana Sikana, Sungai Sejarah adalah tentang makna hayat perjalanan sungai itu sendiri, selain makna kehidupan manusia dan juga makna perkembangan sesebuah tamadun. Malah, puisi ini juga memperihalkan perkembangan intelektual SN Muhammad sendiri dalam kepenyairannya. Inilah keindahan multitafsiran yang dicakupi dari aspek ketaksaan (ambiguity).

Dalam sebuah sinema, kita akan menemukan dua jenis bahasa iaitu bahasa verbal dan bahasa visual. Bahasa verbal secara mudahnya berkaitan dengan perkataan seperti percakapan yang dicerakinkan kepada dialog, monolog dan senandika.

Manakala, bahasa visual pula adalah sejenis bahasa bukan verbal yang melibatkan imej. Malah visual menjadi asas kepada kelahiran sinema pada tahun 1895 apabila adik-beradik Lumière di Paris menayangkan 10 filem pendek untuk tontonan awam. Filem-filem awal seperti ini semuanya berwarna hitam putih, panjang di bawah seminit dan tidak mempunyai bunyi.

Jika diteliti, mana-mana puisi yang baik juga mengandungi kedua-dua bahasa ini. Bahasa verbal puisi adalah diksi-diksi perkataan terpilih dalam susunan terpilih. Manakala, bahasa visual puisi pula terletak pada imejan yang dimaknakan melalui simile, metafora, metonimi bahkan alegori. Di sini, Dukun memberikan kita kedua-dua pengalaman sinematik dan puitik yang bukan sahaja berkesan bahkan baik.

Dari sudut bahasa verbal, Huzir Sulaiman selaku penulis lakon layar Dukun begitu anggun memperagakan suara Diana lakonan Umie Aida dan suara Daud lakonan Allahyarham Ramli Hassan melalui bahasa figuratif yang begitu berseni.

Apabila Diana melontarkan, “Keinginan untuk bersetubuh sama dengan keinginan untuk membunuh”, kita bukan sekadar menikmati asonansi huruf U mahupun ironi sebagai piranti stilistiknya, bahkan dialog puitis ini membuka wacana Sigmund Freud tentang eros (keinginan untuk menghidupkan) dan thanatos (keinginan untuk mematikan).

Begitu juga apabila Daud mengingatkan Detektif Talib bahawa, “Orang sekarang sembah ke pelbagai sudut muka bumi. Aku harap bila kes ini dah habis, kau masih menghadap Mekah.” Ucapan Daud ini bukan sekadar mempertentangkan ketaksaan tentang makna sembah yang disimbolkan dengan perbandingan pelbagai arah kemudian dikhususkan kepada Mekah (tempat tumpuan paling utama umat Islam) bahkan ia anak kunci utama kepada peleraian naratif Dukun.

Selain itu, suara Daud ini memberikan paksi kepada falsafah titik tengah tumpuan dalam sebarang wacana Dukun. Contohnya, melalui simbol satira sepak lintang Zinedine Zidane ke titik tengah padang yang akhirnya membawa kepada penemuan mangsa-mangsa teramai Diana.

Keampuhan bahasa verbal ini disepadukan dengan bahasa visual sutradara Dain Said yang matang melalui naratif syot kamera dan rupa adegan (mise-en-scene) yang bererti. Bahkan yang lebih utama, imejan falus (phallus) digunakan secara konsisten menerusi Tongkat Batak sebagai simbol kekuasaan sosok lelaki berpengaruh yang menjadi ‘kiblat yang disembah’ Diana untuk didagangkan kepada Datuk Jefri Jailani sekali gus membawa kita kepada pencungkilan tiga jenis wacana.

Pertama, Dukun adalah tentang kuasa gender melalui kritikan feminis terhadap patriaki yang mengejalakan misogini. Menurut Dain Said, “Jika direnung dengan lebih mendalam, Dukun adalah tentang hubungan lelaki-perempuan. Diana seorang wanita yang kuat namun apakah dirinya seorang mangsa, pemangsa atau dia sendiri sedang mencari siapakah dirinya yang sebenar?”.

Kedua, Dukun adalah tentang kritikan terhadap kekuasaan sosok berpengaruh dalam masyarakat pelbagai latar belakang melalui kepelbagaian saksi mahkamah dan mangsa-mangsa Diana. Ini kritikan terhadap politik menurut pengulas filem, TontonFilem sebaliknya Ku Seman berpandangan Dukun membawa wacana tentang teori konspirasi.

Ketiga, Dukun adalah tentang pencarian diri untuk memilih asas pegangan antara hak dengan batil yang ditamsilkan dengan ‘kiblat mana yang disembah’. Sila renung keselarian bentuk Tongkat Batak yang hilang sepanjang kes Diana di mahkamah dengan bentuk tiang-tiang di Masjid Jamek sewaktu Karim bertafakur seorang di penghujung cerita.

Inilah kekuatan ketaksaan Dukun yang membawa pelbagai tafsiran makna wacana sekali gus memenuhi ciri-ciri penting puitis yang terdapat dalam sebuah karya seni yang baik seperti dalam puisi SN Muhammad. Malin Kundera, novelis Perancis kelahiran Czech pernah mengujarkan, “(Di dalam karya seni), semakin besar ketaksaan, semakin besar kenikmatannya!”.

Ringkasnya, tidak syak lagi kita perlu mengangkat Dukun sebagai sebuah sinema puitis seraya belajar daripadanya sebagai sebuah tanda aras sinema tempatan yang menyegarkan minda dan meneguhkan akal budi. Mudah-mudahan melaluinya generasi seni tempatan akan memahami bahawa senima bukan sekadar naratif berseni tetapi juga wacana penuh dengan kesedaran diri.

Za’im Yusoff seorang penikmat seni sekali gus senima, percaya bahawa sinema adalah ketumbukan seni seraya menulis untuk mencungkil makna perangnya bukan untuk siapa-siapa melainkan diri. Ronggeng twit sinema hampir hari-hari di @zaimyusoff67 dan dokumentasi apa ditulisnya di blog : http://zaimterbang.blogspot.com/

You may be interested

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody
Ulasan Filem
77 views
Ulasan Filem
77 views

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody

Kakisinema - 17 November, 2018

Bohemian Rhapsody; filem biopic kumpulan rock legenda Queen dicanang dengan tagline; The only thing more extraordinary than their music is…

Trailer Bukan Filem!
Pendidikan
152 views
Pendidikan
152 views

Trailer Bukan Filem!

Daniyal Kadir - 11 November, 2018

Baru-baru ini trailer filem Polis Evo 2 telah muncul di laman sosial dan ia merupakan perkara biasa sebagai sebahagian daripada…

Syair panjang Si Bohemia!
Pendidikan
250 views
Pendidikan
250 views

Syair panjang Si Bohemia!

Kakisinema - 10 November, 2018

She keeps Moet et Chandon,In her pretty cabinet 'Let them eat cake' she says, Just like Marie Antoinette Queen! Gergasi…