Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 3)

16 October, 2018
148 Views

Esei ini diterbitkan dalam beberapa siri dan ini ialah Bahagian Ketiga.

Maskulinti Dan Stereotaip Dalam Masyarakat

Menurut Argyo (2010), hal yang menentukan sifat perempuan dan lelaki adalah budaya. Maskuliniti dengan jelas merupakan sebuah konsep yang dikonstruk oleh masyarakat dan budaya sesebuah masyarakat yang meletakkan apa dan bagaimana seseorang lelaki itu perlu bertindak untuk menjadi lelaki sebenar dalam masyarakat. Secara umumnya nilai maskuliniti tradisional adalah memandang tinggi nilai kekuatan, kekuasaan, ketabahan, tingkah laku, pengawalan diri, kepuasan diri, dan kerja (Argyo, 2010). Dalam kehidupan sosial, jika nilai-nilai maskuliniti tradisional tersebut tiada dalam diri seseorang lelaki, mereka dianggap gagal dalam kehidupan dan kerana itulah lelaki sering ditekan untuk menjadi maskulin sebagai panduan ahli masyarakat terhadap lelaki yang sebenar. Menurut Asmah Haji Omar (1984), tiap-tiap kebudayaan mempunyai sistem nilai dan norma tertentu yang menjadi panduan ahli-ahli masyarakat dalam mengendalikan kehidupan seharian. Walaupun konsep kesamarataan terhadap gender sering kali diperkatakan, namun konsep tersebut masih belum dicapai dan diburukkan lagi dengan stereotaip terhadap gender yang berbeza, masih wujud di dalam pelbagai masyarakat yang berlainan di dunia.

Maskuliniti menurut Hatty (2000), dalam bukunya telah membincangkan pendapat Connell (1987) yang mengatakan bahawa masyarakat menentukan ciri-ciri femininiti dan maskuliniti dan ia menjadi struktur dasar utama bagi hubungan antara manusia yang mendefinisikan suatu bentuk ‘hegemoni maskuliniti’ dalam masyarakat. Dalam konteks ini, ‘hegemoni maskuliniti’ dibina dalam kaitannya dengan maskuliniti pelbagai subordinasi serta dalam hubungannya dengan wanita (Yep dan Yoon Loy, 2007). Contoh yang diberi oleh Hartley (1974) tentang maskuliniti ialah, lelaki dihalang daripada melakukan perkara yang selalunya dilakukan oleh wanita seperti tidak boleh menangis dan tidak boleh berlemah-lembut. Menurut beliau, kita sentiasa melihat lelaki berbeza dengan wanita dan lelaki kebiasaannya bertanggungjawab ke atas hal-hal penting seperti bekerja keras, selalu melakukan sesuatu untuk orang lain dan seharusnya lebih berani daripada wanita.

Menurut Anafiah Omar (1996) pula, tanggapan masyarakat terhadap perbezaan utama antara lelaki dan wanita ialah lelaki memperolehi kelebihan dalam apa juga bidang yang diceburi sama ada mengkehendaki pemikiran yang mendalam, tujuan atau imiginasi ataupun kematangan fikiran. Maskuliniti dilihat sebagai suatu imej lelaki yang berubah mengikut perkembangan zaman dalam stereotaip lelaki yang mengikut nilai maskuliniti, Jariah Mohd Jan (2002) telah meletakkan tiga stereotaip bagi lelaki iaitu No Sissy Stuff yang merujuk kepada lelaki yang mempunyai stigma kepada sifat feminin. Contohnya, lelaki yang lembut atau penakut akan digelar sebagai mama’s boy, ‘pondan’ dan sebagainya. Justeru, lelaki yang mempunyai sifat maskulin tidak boleh menangis atau bersifat lembut dan haruslah mengelakkan diri daripada segala sifat feminin untuk menjadi lelaki sejati (Yep dan Yoon Loy, 2007). Stereotaip kedua ialah The Big Wheel iaitu sifat yang berjaya, berstatus, dihormati dan tahan lasak supaya boleh mengharungi pelbagai cabaran. Seperti yang dikata oleh Wood (2009), budak lelaki diharapkan berjaya dalam sukan dan aktiviti lain manakala lelaki dewasa diharap mencapai kedudukan dalam profesion mereka. Menurut Yep dan Yoon Loy (2007) mengatakan bahawa sifat the big wheel dianggap sebagai aspek penting yang menunjukkan kemampuan seseorang lelaki untuk menjadi orang yang penting serta berstatus tinggi dalam masyarakat.

Stereotaip yang ketiga ialah, Give ‘em Hell, menurut Yep dan Yoon Loy (2007) stereotaip ini merujuk kepada sifat maskulin yang semulajadi iaitu suka mencabar, agresif dan ganas. Secara tradisional, maskuliniti bergantung kepada kekuatan fizikal dan sifat agresif (Aliyah, 2007). Walau bagaimanapun, Airil Haimi Mohd Adnan (2008) berpendapat bahawa lelaki belajar dan diajar menjadi agresif dan ganas demi membuktikan sifat fizikal mereka sebagai lelaki ‘tulen’. Lelaki ‘diharapkan’ menjadi insan sebegini untuk membuktikan maskuliniti yang ada padanya. Seperti contoh yang diberi oleh Connell (2005), lelaki secara semula jadi lebih agresif daripada wanita.

Konsep maskuliniti telah berubah mengikut peredaran zaman. Menurut penulisan oleh Argyo (2010), beliau telah menyenaraikan beberapa peringkat maskuliniti mengikut perubahan daripada tahun 1980 hingga ke tahun 2000, namun kajian-kajian terdahulu hanya seakan memberikan definisi maskuliniti dan tidak membincangkan dan tidak mempersoalkan perkara-perkara yang boleh memecahkan streotaip maskuliniti dan adakah nilai maskuliniti masih diperjuangkan di dalam filem, dan jika ya, apakah puncanya? Justeru kajian ini akan menjawab lebih lanjut keretakan maskuliniti di dalam filem yang disebabkan beberapa faktor yang menyumbang kepada keretakan maskuliniti terutamanya terhadap watak hero di dalam media filem.

Dilahirkan di Ipoh, Perak, Farid Rahman merupakan seorang penulis, pengkaji filem dan penulis lagu untuk projek muzik penuh emosi: EFIL

You may be interested

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody
Ulasan Filem
73 views
Ulasan Filem
73 views

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody

Kakisinema - 17 November, 2018

Bohemian Rhapsody; filem biopic kumpulan rock legenda Queen dicanang dengan tagline; The only thing more extraordinary than their music is…

Trailer Bukan Filem!
Pendidikan
152 views
Pendidikan
152 views

Trailer Bukan Filem!

Daniyal Kadir - 11 November, 2018

Baru-baru ini trailer filem Polis Evo 2 telah muncul di laman sosial dan ia merupakan perkara biasa sebagai sebahagian daripada…

Syair panjang Si Bohemia!
Pendidikan
248 views
Pendidikan
248 views

Syair panjang Si Bohemia!

Kakisinema - 10 November, 2018

She keeps Moet et Chandon,In her pretty cabinet 'Let them eat cake' she says, Just like Marie Antoinette Queen! Gergasi…