Angkat P. Ramlee Yang Lain Terbenam

Oleh Ronasina

10 October, 2018
364 Views

Apresiasi kita terhadap karya seni termasuklah industri filem nasional masih rendah bila mana filem dianggap hanya sebuah hiburan ringan. Filem cukup hanya dikenali sebagai sebuah medium untuk menyampaikan apa apa cerita tanpa perlu diberat-beratkan. Justeru itulah wujudnya ‘orang banyak duit’ bikin filem macam main-main sahaja. Ada duit buatlah filem. Ada juga dapat duit tapi filemnya tak siap siap. Tapi, tulisan ini enggan memanjangkan bab main-main ini dan tak siap siap ini.

Orang kita tidak ada idea yang banyak untuk diperkatakan apabila menyentuh tentang industri filem negara. Atau kita guna istilah yang lebih senang untuk faham, ‘orang Melayu tidak ada banyak buah fikiran untuk dicakapkan tentang filem Melayu’. Boleh?

Kita masih ‘stim’ dengan filem P. Ramlee. Slot khas filem-filem P. Ramlee masih ditayangkan di stesen televisyen kita dan benar ia masih lagi mendapat sambutan. Kenapa filem P. Ramlee masih terus diingati adalah suatu tajuk lain tetapi mengapa filem Melayu yang baik lagi bermutu oleh pembikin filem Melayu yang lain tidak dikenang adalah suatu tajuk yang perlu dibincangkan. Dalam kepala kita, filem Melayu dari zaman hitam putih sehingga hari ini tiada orang lain, hanya filem P. Ramlee, P. Ramlee dan P. Ramlee.

Mengenang P. Ramlee tidak salah tetapi melupakan pembikin filem hebat yang lain adalah tidak patut jika kita dididik tentang menghargai seni sejak awal lagi di peringkat sekolah, di pusat pengajian tinggi, atau pada tulisan serta rencana yang banyak dalam akhbar mahu pun majalah hiburan mengenai filem, didedahkan di wacana atau pun forum kupasan filem sama ada di dalam dewan ataupun di tepi jalan.

Ini tidak berlaku. Majalah hiburan yang sekian lama wujud, tidak serius mengangkat pemikiran masyarakat untuk membuka sisi berfikir apabila melihat filem. Tulisannya hanya berkisar hero dan heroin bercinta di lokasi set penggambaran atau seumpama itulah. Stesen televisyen, akhbar dan era Internet semakin canggih, tahun 2020 makin hampir tapi kita masih di takuk lama. Ulang ulang filem P. Ramlee. Bukan tidak boleh tetapi bagaimana dengan yang lain?

Selain melihat filem sebagai sebuah cereka, masyarakat kita dekad ini seharusnya sudah pandai ‘masuk’ bercakap tentang teknik dan taktik pembikinan, seni penceritaan dan sebagainya. Filem filem arahan Hussein Haniff, M. Amin, Salleh Ghani adalah antara filem yang baik dari segi teknik dan seni pembikinannya yang tidak kurang menariknya untuk dikupas.

Bukan diremehkan dengan ayat, “Eleh! Tak boleh lawan P. Ramlee lah.” Kalau kita sering membandingkan, lebih baik tutup buku. Kalau kita asyik memuja seseorang, yang lain akan terbenam dan langsung peranan mereka dinafikan. Ini suatu penghinaan. Kalau hendak membandingkan sesama mereka seharusnya dari sudut positif. Apa kelebihan filem P. Ramlee dan apa pula yang boleh kita pelajari dari sentuhan pengarah lain yang disebutkan tadi. Lihat filem Hang Jebat, Dang Anom, Chuchu Dato Merah, Sri Mersing dan bincangkan daripada berbagai sudut. Apa latar rujukan masing-masing ketika membikin filem filem tersebut.

Kerana kita lama melayan filem berbentuk hiburan dari Hollywood dan Bollywood atau yang genre ringan ringan sudahlah, kita terus melekat di situ sambil stim sendiri. Jangan ceritalah filem Hollywood atau Bollywood yang baik.

Era Rahim Razali juga amat menarik dengan filem Pemburu, Abang, Matinya Seorang Patriot, Anak Sarawak, Puteri, Tsu Feh Sofia yang penuh semangat juang, jati diri dan patriotisme. Bagaimana teknik suntingan yang baik dalam filem filem Rahim Razali berjaya menimbulkan rasa suspens dan resah kita. Filem adalah seni kreatif menyampaikan sesebuah cerita. Ada ceritanya berjalan mengikut disiplin arus yang lancar. Asasnya mula, isi tengah dan penamat (untuk memudahkan, tak perlulah guna istilah seperti plot, naratif apa semua itu) tetapi kaedah penceritaan ada pelbagai cara mengikut kreativiti pengarah. Ada yang memulakannya dengan imbas belakang dahulu, epilog atau prolog, atau dengan cara cerita atas cerita. Inilah yang menarik. Dan setiap sutradara yang baik mempunyai kelebihan masing-masing menggerakkan cerita yang diarahkan oleh mereka.

Perbincangan tentang karya-karya filem Melayu yang baik atau siapa pembikin filem Melayu yang penting dalam industri sama ada melalui tulisan ataupun forum harus diperbanyakkan lagi bagi mencelikkan mata masyarakat supaya lebih sedar betapa filem adalah medium seni paling berkesan dalam mengangkat pemikiran serta budaya sesuatu bangsa, agama mahupun negara. Bukan tidak boleh, tetapi jika masih stim dan melekat di kerusi sambil mencebik, “Semua tak boleh lawan P. Ramlee,” percayalah kita pasti akan makin terus mundur dan mengundur lalu tertinggal di kerusi paling belakang.

Kemunculan ramai pengkarya baru hari ini harus diberikan penghormatan dan peluang daripada pihak kerajaan di bawah kementerian berkaitan agar mereka dapat menaikkan nama negara melalui karya-karya yang bermutu dan baik. Pada masa yang sama, didikan kepada masyarakat tentang apresiasi seni termasuklah perfileman harus digiatkan agar kita dapat menilai sesebuah karya yang baik. Kita ke panggung untuk menonton karya yang baik, bukan menonton kerana simpati atau rayuan ‘sokonglah filem kita’. Kita mesti buang dalam kepala masyarakat kita, ‘tak boleh lawan P. Ramlee’!

Ronasina seorang pelukis, penulis dan meminati dunia filem. Pernah menghasilkan buku bertajuk Surat Untuk Anak dan Amuk Malam Merdeka. Pernah juga menghasilkan filem dokumentari pendek bertajuk Anur Nak Sekolah.

You may be interested

Jentikan Semiotik Berbisa Sinema One Two Jaga (2018)
Pendidikan
183 views
Pendidikan
183 views

Jentikan Semiotik Berbisa Sinema One Two Jaga (2018)

Daniyal Kadir - 1 December, 2018

Tulisan ini telah memenangi Hadiah Sastera Selangor 2018 Kategori Esei pada 30 November 2018. Tidaklah berlebihan jika prop sinema One…

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody
Ulasan Filem
420 views
Ulasan Filem
420 views

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody

Kakisinema - 17 November, 2018

Bohemian Rhapsody; filem biopic kumpulan rock legenda Queen dicanang dengan tagline; The only thing more extraordinary than their music is…

Trailer Bukan Filem!
Pendidikan
223 views
Pendidikan
223 views

Trailer Bukan Filem!

Daniyal Kadir - 11 November, 2018

Baru-baru ini trailer filem Polis Evo 2 telah muncul di laman sosial dan ia merupakan perkara biasa sebagai sebahagian daripada…