Cerewet Hussain Haniff Dalam Dang Anom

9 October, 2018
127 Views

Hussain Haniff – nama yang jarang diperkatakan dalam arena seni perfileman tempatan. Sedangkan sumbangannya dalam filem cukup besar. Malah revolusi teknik dan pemahaman visual yang dibawa Hussain sebenarnya lebih besar dan ketara pada waktu itu. Jika P.Ramlee terkenal dengan kekuatan penceritaan, aspek teknikal dan bentuk sesebuah filem menjadi kemahiran serta tonggak kekuatan kepada Hussain.

Dang Anom (1962) merupakan filem kedua arahan Hussain selepas Hang Jebat. Selepas memaparkan keperwiraan Jebat sehingga dilihat menyanggah pemahaman konvensional yang sering mengangkat Tuah sebagai wira, Hussain memberikan kita pemahaman besar mengenai Amuk dalam masyarakat Melayu. Malah Hang Jebat boleh disifatkan sebagai filem yang menggambarkan diri Hussain yang sebenarnya. Hussain sememangnya dikenali sebagai seorang seniman yang panas baran dan penuh dengan pemberontakan. Semangat itu dijelmakannya di dalam Hang Jebat, malah dibawanya dalam setiap filem-filemnya selepas itu.

Hussain mengiakan kata-kata yang selalu kita dengar bahawa filem ialah refleksi kepada pembikinnya.

Dang Anom sebenarnya lebih menarik pada hemat saya. Hussain membina Dang Anom dengan cermat dari mula sehingga ke hujungnya. Ia satu adaptasi dalam babak-babak yang terakam dalam Sejarah Melayu, Hussain dengan bijak membina visual awal filem ini membuatkan ia kelihatan penuh bermakna. Kita dipaparkan pada awalnya Dang Anom dan kekasihnya, Panglima Malang (yang secara literalnya kemudian bernasib malang) begitu asyik memadu kasih dan berasmara di atas perahu.

Namun babak awal ini melihatkan bagaimana seolah-olah Anom dan Malang seperti sedang diperhatikan. Kemudian kita diberikan pula dengan babak seorang lelaki dipukul dan tunangnya dilarikan untuk dijadikan gundik raja. Kejadian itu diperhatikan oleh Malang dan Anom. Ia memberikan kita gambaran awal bahawa nasib yang sama juga akan menimpa kedua-dua pasangan kekasih bahagia itu.

Kemudian kita dipaparkan pula dengan bagaimana Raja kelihatan begitu bernafsu dengan gundik barunya dan melihatkan kepada kita bagaimana Raja cuba bersenggama dengan gundiknya itu. Kemudian ia terus berpindah ke babak berikutnya, satu cut secara tiba-tiba melihatkan seorang guru silat yang sedang mengajar Malang dan kawan-kawannya bercakap secara close-up “Jangan begitu! Itu salah! Kalau begitu buruklah padahnya!”.

Sebenarnya guru tadi menegur anak muridnya tentang cara bersilat, namun pada hakikatnya Hussain berjaya mewujudkan keadaan seolah-olah guru itu sedang menegur Raja berkenaan. Perbuatan Raja itu salah dan akan mengundang akibat buruk nanti. Inilah kelebihan penting buat Hussain, suntingan. Beliau bercerita dengan suntingan kemas yang sukar untuk dibuat orang pada waktu itu. Hussain sangat inovatif dalam suntingan di setiap filem-filemnya.

Kita juga dipaparkan dengan percubaan Hussain untuk membuatkan kita sentiasa bersangka tidak baik kepada pemerintah zalim. Pada satu babak kelihatan Raja seperti sedang memuji perempuan apabila menyebut rupa cantik dan permainan baik, namun selepas satu pergerakan kamera, kita memahami bahawa Raja sebenarnya sedang bercakap tentang Panglima Malang. Ini satu lagi kelebihan Hussain dalam melengkapkan sesebuah penceritaan.

Dang Anom juga memaparkan politik dan skandal Istana yang penuh ragam. Bagaimana Permaisuri cuba menghapuskan gundik-gundik Raja. Bija Sura yang sentiasa penuh dengki, Si Kitol dan Mandeliar yang gemar menghasut serta Raja yang sentiasa tahu memuaskan nafsu, sehingga terlupa untuk berfikir dan menyelamatkan negara.

Ketika bapa Anom, Rajuna Tapa terpaksa menyerahkan anak gadisnya itu kepada Raja kerana menuruti perintah terdapat satu babak dengan lagu yang memaparkan kesan psikologi dihadapi Anom. Babak ini dilaksanakan dengan cukup baik dan berbeza sekali. Ia memaparkan kerja kamera berkualiti dan Anom digambarkan sedang berperang dengan akalnya apabila terbayangkan Raja berada di mana-mana menganggu pemikirannya. Di dalam babak itu juga dipaparkan laut sedang bergelora dan langit mendung, melihatkan bagaimana Anom sebenarnya sedang dilanda perasaan buruk.

Konfrontasi perasaan sekali lagi digambarkan dengan cemerlang apabila Malang menghadiri majlis keraian di Istana dan pada ketika itu dia ternampak Anom sudah menjadi gundik Raja. Permainan tubuh dan emosi dijelmakan dengan baik oleh Nordin Ahmad dan Fatimah Ahmad. Walaupun tanpa dialog, cuma dilatari lagu dan tarian, namun kecamuk perasaan itu begitu jelas dan ia seperti menjadi kegemaran Hussain apabila babak yang hampir sama turut dijelmakan dalam Hang Jebat dan ia dibentuk dengan cukup halus.

Apa yang menarik setiap kali watak-watak di dalam filem ini bercakap tentang kezaliman, penindasan dan kemelut pertentangan dengan monarki, pasti ia dilakukan dalam close-up. Ini memberikan kepada kita petanda bahawa hal-hal itu ialah penegasan sebuah pernyataan Hussain Haniff. Ia memberikan kita pemahaman bahawa Hussain amat jelas dalam menyatakan statement filem-filemnya.

Ketika di hujung filem ini, sewaktu Anom sudah diikat untuk dihukum, sudut kamera menyaksikan bagaimana Anom berada di kedudukan lebih tinggi berbanding Raja dan ini menunjukkan kepada kita bahawa Hussain cuba menggambarkan bahawa darjat Anom lebih mulia berbanding Raja yang zalim.

Dang Anom merupakan filem terbaik untuk kita mengenali Hussain Haniff. Lebih elok jika filem ini diberikan ruang penontonan yang lebih luas agar rakyat negara ini menerima pendedahan ilmu filem daripada Hussain sendiri. Kita harus didedahkan tentang pembikin-pembikin filem Melayu yang lain selain daripada P.Ramlee kerana seniman seperti Hussain juga berjaya membentuk filem-filem segar di mata kita. Hussain boleh disifatkan sebagai pembikin filem yang cermat, teliti dan cerewet. Justeru kita dapat melihat bagaimana filem-filemnya begitu berkualiti dari sudut jiwa dan rupa.

Kita lihat dalam satu babak Hussain cuba menggambarkan orang yang berada di darat dan orang yang berada di laut. Walaupun ia cuma babak kecil, namun ia tetap diberikan perhatian. Untuk babak orang di laut, Hussain menjadikan tiang layar kapal sebagai latar untuk memberitahu penonton bahawa orang itu di laut dan menjadikan pokok kelapa yang sendeng sebagai latar untuk memberitahu bahawa orang yang satu lagi berada di darat.

Menceritakan tentang ketelitian Hussain kita tentu akan terperanjat. Untuk membina kubu dan pintu kota di dalam Dang Anom, seluruh kawasan laut di Siglap telah digunakan dan lebih tujuh ribu batang pinang telah dibawakan khas dengan lori dari Batu Pahat Johor. Manakala 40 tukang kayu digunakan untuk mereka bentuk kota berkenaan.

Babak pertempuran akhir filem ini begitu besar. Hussain menggunakan ratusan pelakon tambahan bagi menggambarkan ketakutan dan kehancuran kota secara real. Ia antara babak-babak besar yang baik dalam filem Melayu, seperti mana P.Ramlee membikin babak pergaduhan penambang di dalam Pendekar Bujang Lapok.

Babak pencerobohan kota seperti di dalam Dang Anom sukar untuk dilaksanakan, tanpa seorang pengarah yang berdaya tinggi seperti Hussain Haniff.

 

You may be interested

KEANGGUNAN SINEMA PUITIS DALAM DUKUN (2018)
Pendidikan
33 views
Pendidikan
33 views

KEANGGUNAN SINEMA PUITIS DALAM DUKUN (2018)

Kakisinema - 17 October, 2018

Bagi mengaitkan antara seni puisi dengan seni sinema, kita seyogia kembali kepada pelopor-pelopor dalam kedua-dua bidang. Robert Frost, penyair terkenal…

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 3)
Pendidikan
53 views
Pendidikan
53 views

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 3)

Kakisinema - 16 October, 2018

Esei ini diterbitkan dalam beberapa siri dan ini ialah Bahagian Ketiga. Maskulinti Dan Stereotaip Dalam Masyarakat Menurut Argyo (2010), hal…

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 2)
Pendidikan
92 views
Pendidikan
92 views

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 2)

Kakisinema - 15 October, 2018

Esei ini diterbitkan dalam beberapa siri dan ini ialah Bahagian Kedua. Streotaip wanita dalam filem “Gender-role stereotypes are characteristics of…