Menanti Seorang Lagi Tsu Feh

Oleh Abror Rivai

7 October, 2018
177 Views

Belum lagi kita dapat mendengar apa-apa pengumuman daripada kerajaan baru mengenai pelan pembangunan sinema Malaysia untuk beberapa tahun mendatang.

Amat malang warga industri hanya berkicau seputar karyawan yang dicap sebagai lalang dan gosip beberapa pelakon yang barangkali akan menduduki kerusi Ketua Pengarah Finas tanpa sebarang gagasan yang serius tentang pelan induk seni hiburan yang diuar-uarkan sebelumnya sebagai agenda baru setelah Pakatan Harapan mengambil alih kepimpinan negara di Putrajaya.

Benarlah kata U-Wei lebih dua puluh tahun dulu bahawa anda hanya seorang yang celaka jika memilih untuk menjadi pembikin filem. Kegusaran ini tidak pernah padam kerana dalam dunia yang sentiasa berhubung hari ini, perihal kelajuan Internet adalah lebih penting dipandang berbanding sebuah produk sinema yang boleh mengangkat harakat kebudayaan dan seni negara ke mata dunia.

Ironinya peranan sinema dalam medium yang lebih kecil dan ditampilkan dalam bentuk video kempen merupakan senjata ejen-ejen propaganda yang digunakan secara berkesan ketika kempen pilihan raya tempoh hari. Video seorang Atuk yang kesuntukan masa misalnya, memainkan peranannya dalam menyedarkan sebahagian masyarakat tentang perlunya perubahan itu dilakukan bagi memberi peluang kesalahan masa lalunya diperbetulkan. Keindahan kisah tersebut berbeza dengan video seorang suami yang keliru hingga akhirnya memberikan natijah yang serupa setelah diterjemahkan menerusi hasilan atau keputusan yang disahkan dari kiraaan di peti undi.

Sinema sentiasa memainkan peranannya dalam apa jua lingkungan atau tentang bagaimana mudahnya ia dimanipulasi. Dalam keadaan apa pun sinema tidak akan menipu di mana pembingkaiannya memiliki sejumlah tanda-tanda dan makna yang menjadi cerminan kepada sesuatu kenyataan. Ketika Barisan Nasional diambang kekalahan, video seorang suami yang keliru hakikatnya telah lebih awal memberikan kita jawapan dari kekalahannya yang traumatik dan paling parah dalam sejarah.

Dari hakikat tersebut, apakah sinema Malaysia akan memasuki lembaran baru atau hanya sekadar omongan setelah ianya kembali diisi oleh kemunafikan (yang dalam dunia sinema ini diterjemahkan sebagai lalang). Ia tak ubah seperti katak atau dalam dunia politik menyebutnya sebagai lompat. Dalam dunia sinema, kita juga tidak mahu melihat berlakunya peralihan yang lemah kerana semata-mata hendak menyelamatkan tembolok persis UMNO 2.0 – hanya warnaya berbeza tapi masih membawa watak dan sifat-sifat bobrok yang sama.

Baru-baru ini Pak Hassan Abd Muthalib menulis di Facebook menggunakan aplikasi Nota yang menyatakan bahawa Finas sudah tidak relevan dengan mengutarakan kepincangan di dalam industri filem yang juga berkisar tentang ketirisan dan penggunaan dana awam yang diragukan dan tidak membawa hasil sebagaimana tujuan penyalurannya kepada para karyawan dan pembikin-pembikin filem. Usaha Ketua Pengarah Finas terdahulu, Dato’ Kamil Othman supaya setiap filem yang bakal diterbitkan harus mencapai tahap kualiti yang disyaratkan juga tidak dizahirkan sehinggalah beliau berhenti.

Perjuangan untuk mengembalikan sinema Malaysia ke landasan yang betul tidak semudah menyerap kembali pemain-pemain industri yang berubah sokongan setelah berlakunya perubahan tampuk. Mengapa kali ini karyawan filem yang berterusan berjuang dalam menyatakan pendirian politiknya berdasarkan prinsip dan fahamannya yang revolusioner tidak diberikan peluang? Risiko yang diambil oleh mereka yang berani ini sangat besar apatah lagi lapangan permainannya dalam dunia seni dan hiburan yang mana mudah sahaja terdedah dengan hambatan dan patukan yang sepantasnya menutup periuk nasi dan pencarian rezekinya. Pengorbanan yang dibuat bukan kepalang tanggung.

Namun bukan hanya semata-mata itu maksud tulisan ini cuba menyatakan pandangannya. Ia memperlihat juga tentang pemikiran dan idea yang bagaimana karyawan-karyawan filem yang berani ini pada masa sebelumnya telah memainkan peranannya menerusi tulisan, ketajaman karyanya serta aksi yang ditunjukkan sehingga menjemuskannya ke kancah pertentangan dengan hegemoni dan kuasa. Penilaian ini hendaklah diadili dengan kajian dan penelitian yang menyeluruh terhadap susuk-susuk seniman dan pentadbir atau bentuk pemikiran yang macam mana yang harus diangkat untuk mengisi pentadbiran baru di sektor-sektor dan agensi atau perbadanan yang bertanggungjawab untuk membangukan keaslian seni filem tanah air.

Kita tidak boleh membiarkan kesenjangan ini larut berterusan dalam lingkaran atau gerigis yang sama lagi. Masa depan sinema akan berhadapan dengan tuntasan idea dan karya-karya filem yang lebih bebas dan terbuka. Subjek-subjek yang bakal diteroka semakin luas dan balang-balang sensitiviti akan rapuh dan yang sudah retak akan mula pecah satu persatu. Aku berfikir bahawa sinema Malaysia pasca tsunami PRU14 akan tidak lagi sama kerana perubahan itulah yang akan menandakan kemajuannya. Ada banyak inspirasi-inspirasi baru yang dihasilkan dari kemajuan politik yang didasarkan dari kejadian-kejaian sebenar berpotensi untuk menjadi sebuah penggarapan sinema sebagai santapan ruhani dan jiwa. Jika ia benar direalisasikan tidak mustahil filem-filem tempatan menghampiri kalau tidak pun setanding dengan perusahaan filem di Korea.

Mencapai hasrat ini pembersihan kepincangan di dalam industri filem terutama di agensinya yang paling penting iaitu Finas tidak dapat dielakkan. Meneliti mereka yang benar-benar ikhlas untuk memperjuangkan sinema bagi menerajuinya adalah sangat-sangat dititik beratkan. Memulihkan tanggungjawab ini sangat besar kerana amanahnya adalah untuk memastikan bentuk pengisian yang bagaimana harus diterapkan agar visi yang akan dipacu memiliki ruhnya, tidak hanya jasadnya.

Ia akan berkait atau berbalik semula kepada keperluan asas membina generasi perfileman yang baru dan mengisi dada-dada mereka yang kosong dengan warisan seni dan kebudayaan tempatan sebelum didedahkan dengan maklumat dan pengetahuan dunia luar dan selainnya. Seyogia diingatkan bahawa dalam keghairahan untuk menyaksikan berlakunya perubahan-perubahan besar, hal-hal seperti berdirinya oknum-oknum kecil yang memainkan peranan alternatif atau bersifat tetas budaya seperti angkatan filem-filem independen menerusi budaya kolektif yang bergerak di lapisan-lapisan bawah atau lebih akar umbi hendaklah diimarah.

Peranan yang sederhana tetapi istiqamah seperti pengalaman yang sudah bertahun menerusi Kelab Seni Filem Malaysia dan sumbangan ombak baru seperti Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit), Rumah Karya di Ipoh atau ruang tayangan yang bersifat art house cinema seperti Shorts Sendiri dan Panggung Punggok di Johor Baharu adalah solusi kepada pengisian alternatif atau kesenjangan. Dalam keadaan sekarang pembinaan semula budaya atau pengukuhan semula budaya sinema baru haruslah menjadi agenda utama sebelum berhasrat untuk membawa filem tempatan ke peringkat yang lebih jauh atau global.

Ini adalah manifesto daripada anak muda yang mahukan sinema Malaysia memiliki jiwa tersendiri. Kita masih belum ada identiti yang dapat mewakili wajah sinema yang kita bayangkan atau idam. Ketika kita sedang mula mengecapi kebebasan yang baru, janganlah keseronokan ini kelaknya dibunuh oleh tahap atau mutu filem yang rendah seperti di waktu rejim lalu berkuasa. Ruang harus diberikan sebebas-bebasnya kepada pengkarya untuk mengangkat segala bentuk inspirasi yang mula disedari setelah negara seolah-olah kembali dimerdekakan semula. Maksudnya pengkarya itu sendiri nantinya tahu apa yang harus dan batasan apa yang ada dalam ruang dan lingkungan imaginasi dan kreativiti mengolahnya sebagai konten.

Aku berharap industri filem juga akhirnya akan dapat diselamatkan. Jika tidak, kita ibarat menanti seorang lagi Tsu Feh. Dan ia akan mengambil masa paling singkat, berapa, 60 tahun?

Abror Rivai seorang pembikin filem, penulis dan pengasas Rumah Karya Ipoh – sebuah ruang baru untuk mempertonton dan berdiskusi apa sahaja karya seni yang dihasilkan.

You may be interested

KEANGGUNAN SINEMA PUITIS DALAM DUKUN (2018)
Pendidikan
40 views
Pendidikan
40 views

KEANGGUNAN SINEMA PUITIS DALAM DUKUN (2018)

Kakisinema - 17 October, 2018

Bagi mengaitkan antara seni puisi dengan seni sinema, kita seyogia kembali kepada pelopor-pelopor dalam kedua-dua bidang. Robert Frost, penyair terkenal…

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 3)
Pendidikan
54 views
Pendidikan
54 views

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 3)

Kakisinema - 16 October, 2018

Esei ini diterbitkan dalam beberapa siri dan ini ialah Bahagian Ketiga. Maskulinti Dan Stereotaip Dalam Masyarakat Menurut Argyo (2010), hal…

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 2)
Pendidikan
94 views
Pendidikan
94 views

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 2)

Kakisinema - 15 October, 2018

Esei ini diterbitkan dalam beberapa siri dan ini ialah Bahagian Kedua. Streotaip wanita dalam filem “Gender-role stereotypes are characteristics of…