Apa Masalah Munafik 2

Oleh Za'im Yusoff

5 October, 2018
1264 Views

Masalah Munafik 2 bukanlah masalah tidak memahami makna munafik (malah saya rasakan ayat-ayat ruqyah yang amat banyak itu sepatutnya ada subtitle sekali kerana ayat-ayatnya ada perkaitan terus dengan babak, contoh waktu penampakan ular, Ustaz Adam membaca ayat-ayat berkenaan sihir ular oleh tukang sihir Firaun) tetapi masalah Munafik 2 adalah tentang cara pengolahan naratif yang bersifat lambak lagi mentah sekaligus tidak memenuhi ciri-ciri “subtle” yang menjadi kemuncak seni senima.

Apakah itu subtle? Ringkasnya, “Being subtle is the act of conveying something in a skillful or clever way versus in a direct manner.” Merriam-Webster mengertikan kualiti “subtlety” sebagai “having or marked by keen insight and ability to penetrate deeply and thoroughly”.

Lois Lowry, penulis 45 buah buku cerita kanak-kanak dari Amerika Syarikat menegaskan, “I’m a writer; I like to retain subtlety and nuance“. Pelik tak? Nak tulis cerita kanak-kanak je pun, kenapa perlu jaga subtlety? Dengan jelas Lois mengisyaratkan kehebatan sesuatu naratif (sama ada dalam cerpen, novel apatah lagi skrip lakonan sama ada teater, drama apatah lagi filem) adalah tertonjol pada sejauh mana kemampuan pengkaryanya begitu “subtle” atau paling tidak meletakkan “subtlety” dengan bijak pada subjek yang ingin diperkatakan secara teks mahupun subteks.

Pendek cerita, kalau seni tidak memberikan “subtlety”, nak harapkan medium apa lagi ? Kalau semua subjek dipaparkan secara literal, baik kita Google ruqyah Darul Shifa lagi meremang sebab rasukan itu benar-benar terjadi! Malah kita boleh Youtube sahaja Abu Rukyah, pasti berjumpa siri video berkaitan rasukan – siap ada jin masuk ke dalam tubuh seraya bercerita mentah sepatah-sepatah fasal Dajjal, Illuminati dan seangkatan.

Antara kelemahan “subtlety” ketara dalam Munafik 2 adalah Deus-Ex-Machina. Apakah ini? Deus-Ex-Machina (DEM). Tuhan Sebagai Mesin. Tuhan Jentera. Al-kisahnya, dalam drama Yunani purba, watak tuhan diselitkan dalam cerita untuk menyelamatkan situasi yang genting. Dalam sastera klasik Melayu, biasanya ia ditandai dengan, “…maka dengan sekonyong-konyongnya…”. Ini adalah teknik seni antara paling kuno (dan agak “terkutuk”lah) lantaran pengarang mengakhirkan cerita dengan campur tangan Tuhan sebab penyelesai masalah sekaligus mengisyaratkan betapa cerita itu tidak dapat ditangani oleh pengkarya dengan menyakinkan. Sebenarnya DEM okay sahaja digunakan sebab Charles Dickens dalam Bleak House (1852) dan Joseph Fielding dalam Tom Jones (1749) pun guna, namun rata-rata pengkarya cuba mengelakkan DEM sebab “nampak murah” seperti kehabisan idea dalam berkarya; eksposisi sudah baik, komplikasi sudah elok tiba-tiba masuk resolusi jadi “terpeleot”.

Sekalipun begitu, sekiranya Deus-Ex-Machina ini dibina elok-elok seraya jelas sebab dan akibatnya, ia masih baik. Contohnya, babak hujung filem Isi Neraka yang dilakonkan oleh Allahyarham Salleh Kamil [tonton dihttps://www.youtube.com/watch?v=rNA2xdSPEYk&feature=youtu.be]

Sebab : Watak Salleh cabar Tuhan secara direct di langit

Akibat : Merasalah dia kena telan bumi

[cantik falsafah mise-en-scene ini; apabila watak Salleh tenggelam ke dalam bumi (neraka di tujuh petala bumi), menunjukkan dia semakin jauh dengan langit yang dicabarnya (syurga di tujuh petala langit) lantas menunjukkan semakin jauh hubungan dia dengan Tuhan kerana tindakan keterlaluannya yang terpesong lagi sesat]

Tetapi di dalam Munafik 2 dah macam Jesus Crucifixion; “Eloi, Eloi, lama sabachthani– Tuhan, Tuhan, Awat Hang Tinggai Aku” (versi Ustaz Adam ala taubat; akhirnya terbukti betapa ketaranya Syamsul Yusof rujuk filem religis Kristian, Passion of Christ), tiba-tiba gempa, Abuja kena hempap. So DEM dia macam hmmmmmmm itu je. Sudahlah sama kaedahnya dengan pengakhiran Pak Osman dalam #Munafik1, malah lebih teruk kerana setidak-tidaknya kemunculan Pak Osman secara “abrupt dan sudden” itu juga suatu teknik twist yang menjadi! Tapi kali ini? Momentum tidak ada, seperti dipaksa-paksa pula.

Sebenarnya, adalah lebih wajar Syamsul letakkan baris dialog yang berani mati pada Abuja. Bukankah Abuja mendabik dada betapa Tuhan bersama dengannya. Justeru, perlawanan kata itu wajar ada dengan Ustaz Adam. Contohnya, “Oi Adam, lihat kau sekarang, lihat aku sekarang. Antara kau & aku, Tuhan brsama dengan siapa, ha? Tuhan mana yang nak tolong kau sekarang? Haha!” Kemudian, barulah hadir gempa bagai semua, barulah jelas sebab-akibat dalam naratif. Ini diletakkan setempek Deus-Ex-Machina selepas segala mala roller coaster ride show, memang membahanlah jawabnya!

Selain itu, penonjolan watak munafik, dah nama filem Munafik 2. Tentang watak Fizz Fairuz yang cuba untuk ditwist tetapi tidak menjadi. Mengapa? Kerana isyarat twist itu tidak kukuh. Ada tiga isyarat. Pertama, bayangan watak Fizz dalam mimpi Ustaz Adam (sangat cliche untuk isyarat twist). Kedua, sewaktu Ustaz Adam meminta izin ibunya, watak Fizz menghalang tetapi percakapannya tenggelam lantaran fokus pada gesaan ayah dan penolakan ibu Ustaz Adam, malah syot kamera tidak membantu memberikan bahasa tubuh watak Fizz yang sepatutnya diberikan pada ketika itu.

Dan ketiga, sewaktu watak Fizz beralasan dengan Ayah Ustaz Adam untuk tidak mahu melaporkan ke pihak polis tentang Abuja. Masalah ketara isyarat twist kedua dan ketiga ini ialah filem ini hanya bergantung kepada skrip, bukan bahasa tubuh (seperti lirik mata, gerak bibir, riak wajah etc) yang boleh dizahirkan pada kamera secara bisu tanpa dialog.

Antara moment yang lain yang boleh diberikan lagi isyarat twist pada watak Fizz adalah ketika Abuja tiba-tiba muncul di penambang sementelahan Ustaz Adam, watak Fizz dan watak Mawi bertolak pulang di dalam sampan. Tambah malang, sewaktu penonjolan watak munafik Fizz itu atau kita sebut the moment of Judas, amatlah sekejap benar. Tak sampai beberapa minit, watak Fizz sudah bertaubat; “aku bertaubat, aku bertaubat” seraya twistnya terasa hambar.

Selain tu, ada percubaan untuk moment of truth bila Sakinah kata, Aina tu anak Abuja; punyalah try hard untuk naikkan naratif dengan moment ni sampai ulang 2/3 kali tapi apa signifikannya? Abuja masih berlaku kejam kepada Sakinah dan Aina, maka? I can’t brain this act dalam Munafik 2.

Dan lagi kelakar, lepas plot rasukan Sakinah yang tanpa dinafikan memang powerful dengan sihir ular segala bagai sampailah diisytihar Imam Malik dah lama mati; tiba-tiba boleh pulak mayat Imam Malik kacau balik Sakinah lagi main tasbih, kemudian tahu-tahu melompat ke babak Imam Malik selamat dikebumikan. Oleh itu, babak ini diwujudkan sekadar untuk main tasbih saja ka dalam Munafik 2?

Berkenaan plot twist, ketahuilah – twist bukan sekadar perubahan watak, so called moment of Judas for Jesus or Brutus for Caesar; rujuk macam mana Tanah Kubur Ummah Jahiliyyah masa watak Zahiril & watak PU Azman dalam merungkaikan watak Hasnul Rahmat, ia masih boleh disifatkan sebagai twist tapi hakikat watak tidak berubah, bahkan suatu perangkap! Malah saya merasakan naratif Tanah Kubur Ummah Jahiliyyah berkenaan lagi powerful daripada #Munafik2 dalam menceritakan isu clan ajaran sesat. Saya meminati Mengaku Rasul (2008) dari seberang dalam genre ini, naratifnya menarik dan agak unik, tanpa jerit-jerit namun tetap memukau magis, cuba tonton!

Dalam Munafik 2 Abuja cuba ditonjol sebagai Dajjal-Dajjal kecil sebelum kedatangan Dajjal sebenar. Tapi bagi saya merasakan ia merupakan suatu kehinaan kepada Dajjal sendiri memandangkan kedajjalan Abuja tidak lebih dari dialog yang menggunakan pengaruh kuasa, bongkak tak bersebab, senang cerita – bodoh sombong. Walhal, Dajjal lebih dekat dgn pengaruh magis, di mana fitnah Dajjal ini amatlah subtle, memukau, buat kau fikir eh ada betulnya Dajjal ni bla bla bla sebab itu wajar kita merujuk kembali kisah Iblis memperdayakan Nabi Allah Adam. Iblis tak jerit-jerit dekat Nabi Allah Adam; Iblis hasut perlahan-lahan, mempengaruhi fakulti akal seraya rasional sembari emosi agar mangsanya masuk sendiri ke dalam perangkap!

Contoh spesies Dajjal/Iblis yang macam ini boleh kita temui di dalam filem Iman (1954), watak Allahyarham Raja Mahadi sebagai Iblis atau filem Sumpah Orang Minyak (1958), watak Allahyarham Shariff Dol selaku Syaitan kalau pun kita tak mahu rujuk barat dalam The Devil’s Advocate (1997) lakonan Al Pacino; inilah filem-filem yang sewajarnya Munafik 2 rujuk.

Benar, sememangnya ada percubaan dalam Munafik 2 dalam mewujudkan “battle of words”; contoh masa Abuja perli Ustaz Adam, kenapa Ustaz Adam tak pakai serban, maka Ustaz Adam pun sebut Serban ini Sunnah Jibiliyyah. Saya agak kagum. Sekali Abuja balas, kau siapa nak pertikai ilmu aku? Terus dari kagum jadi tertekan. Setakat itu saja Abuja dapat balas?

Patutnya, selaku Dajjal kecil yang sepatutnya licik dan nampak alim laginya baik, Abuja kena la nampak educated sikit, quote ayat-ayat al-Quran macam Ustaz Adam; contoh masa Abuja sebut Ustaz Adam kena berubah dulu, Abuja quote la, “kabura maqtan indallah…”, “murka Allah besar bagi yang tak buat apa yang dia katakan”; barulah nampak kenapa Abuja jadi Tuan Guru as opposed to Fauzi Nawawi, the sidekick dalam komplot itu.

Sebab ini jugalah saya benar-benar tersinggung dalam Munafik 2 apabila Syamsul menggunakan firman tentang ulama-ulama jahat seumpama “kalbun” (anjing); ya, jelas-jelas ia merujuk kepada Abuja. Tapi apakah ada tanda-tanda Abuja sebagai ulama (kalaupun seperti anjing) sekiranya secebis firman pun Abuja tak lafaz selancar Ustaz Adam? Celah mana Abuja ulama?

Contoh menarik dalam Munafik 2 ialah penamaan watak Abuja. Hujung, Ustaz Adam sebut, Haza Firaun Hazihil Ummah. Ni ada kaitan dengan hadis, Abu Jahal ialah firaun ummah ini. Abu Jahal. AbuJa. Rujuk hadis ini :

Hazrat Abdullah ibn Mas’ood (Radiallahu Ta’ala Anh) narrates, “I began to strike Abu Jahl’s head with my blunt sword, which made him loosen his grip on his sword, so I took it from him. As he was dying, he moved his head up and asked, “Who won the battle?” I answered, “Allah and His Rasool (Sallallahu Alaihi Wasallam).” Then I shook his beard and said, “Praise be to Allah who disgraced you, oh enemy of Allah!” I then removed his helmet and swung a heavy blow to his neck with his own sword separating his head from his body. I then removed his weapons and armour, and took his head to the Beloved Rasool (Sallallahu Alaihi Wasallam) and said, “Ya Rasoolullah (Sallallahu Alaihi Wasallam), here is the head of Abu Jahl”. Rasoolullah (Sallallahu Alaihi Wasallam) said three times, “Praise be to Allah who has glorified Islam and the Muslims.” Then he (Sallallahu Alaihi Wasallam) prostrated to thank Allah and said, “Every Ummah has a Firaun, the Firaun of this Ummah was Abu Jahl.”

Ya, unsur-unsur Firaun ada dalam watak Abuja tapi tak cukup kental sedangkan Syamsul boleh rujuk skrip Firaun di dalam al-Quran yang boleh diiqtibaskan (bagi yang belajar balaghah boleh relate*). Contoh, masa Abuja hentam Namron, boleh sahaja susun skrip macam firman “dan berkatalah Firaun, “Hai Haman, buatkanlah bagiku sebuah bangunan yang tinggi supaya aku sampai ke pintu-pintu, (iaitu) pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa dan sesungguhnya aku memandangnya seorang pendusta.” (al-Mu’min: 36-37). Ubah suailah sedikit ayatnya dengan seni dialog gaya Firaun agar nampak variasi dan tidaklah Abuja asyik mengulang-ulang “kau sapa nak lawan aku…etc” Munafik 2

*Pengertian Iqtibas :

تَضْمِينُ النَّثْر أو الشِّعر شَيْئاً

مِنَ الْقُرآن الكريم أو الحديثِ الشريفِ

مِنْ غَيْر دلالةٍ عَلَى أنَّهُ منهما

ويَجُوز أنْ يُغَيِّرَ في الأَثَر الْمُقْتَبِس قَليلاً.

Iqtibas adalah mengutip suatu kalimat dari Al-Qur’an atau Hadis,

lalu disisipkan ke dalam prosa atau syair

tanpa dijelaskan bahwa kalimat yang dikutip tersebut

diambil dari Al-Qur’an dan Hadis.

Pengutip diperkenankan mengadakan sedikit perubahan.

Ada yang cakap, filem Munafik 2 dibikin semacam direct kerana dakwah kena direct, maka diberinya dalil al-Baqarah ayat 23-24. Well, cuba tengok pulak gaya bahasa Al-Quran dari ayat pertama surah al-Munafiqun – betapa subtle-nya geng munafik ini 🙂

إِذَا جَآءَكَ ٱلۡمُنَـٰفِقُونَ قَالُواْ نَشۡہَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ ٱللَّهِ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُ ۥ وَٱللَّهُ يَشۡہَدُ إِنَّ ٱلۡمُنَـٰفِقِينَ لَكَـٰذِبُونَ 

Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.

Setelahnya pada ayat kedua pula, geng munafik ini digambarkan sebagai sejenis yang akan guna segala macam cara untuk cover perangai sebenar – kosa yang digunakan ialah “junnah” yakni “perisai” atau semacam “tameng” untuk menutup segala kelakuannya; soalnya dalam #Munafik2 sejauh mana Abuja berjaya sebagai munafik se”subtle” ini?

ٱتَّخَذُوٓاْ أَيۡمَـٰنَہُمۡ جُنَّةً۬ فَصَدُّواْ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّہُمۡ سَآءَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ

Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.

Dalam Munafik 1 kita dapat tengok subtlenya watak Pekin sebagai Fazli kekasih Maria, subtlenya watak Sabrina sebagai Zeti isteri Pak Osman yang dibiaskan sebagai munafik-munafik walhal tidak; malah Maria, Ustaz Adam juga ada sisi kemunafikan tersendiri; tetapi hal ini tidak sekaya dalam Munafik 2 dan hal-hal sebeginilah menyebabkan kita kecewa kerana tiada nilai perkembangan munafik yang berkembang baik, malah mengecut balik ke belakang!

Saya ternanti-nanti pengkritik lain yang boleh mengangkat Munafik 2 dengan penilaian merit seni dari segi semiotik ka, narrative structure ka, contextual analysis ka, mise-en-scene analysis ka dan seumpama; setakat saya jumpa ada satu point dikatakan positif iaitu subjek religi exorcismnya segar kerana adanya subjek Dajjal. Saya ada masalah dgn kenyataan ini. Subjek Dajjal dalam #Munafik2 tidak berkembang memandangkan dalam Munafik 1 Dajjal sudah jelas diperkenal. Rasukan Maya Karin mmg terbaik; tetapi perhatikan dialog “jin yahudi”nya, tidak banyak beza dengan skrip Maria oleh Nabila Huda.

Subjek Dajjal tersangatlah besar dalam ilmu eschatology Islam, kalau tak kenapa tiap kali hujung tahiyyat, Rasulullah solla Allahu ‘alaihi wa aalihi wassalam suruh kita baca doa berlindung daripada fitnah Dajjal. Saya ternanti-nantikan perkembangan syarahan tentang Dajjal tetapi hampa tidak berkembang dalam Munafik 2. Hadis Rasulullah solla Allahu ‘alaihi wa aalihi wassalam ada sebut tentang Dajjal ini dikalahkan dengan dalil, kerana jika dia muncul pada masa Rasulullah solla Allahu ‘alaihi wa aalihi wassalam, Rasulullah solla Allahu ‘alaihi wa aalihi wassalam sendiri akan mengalahkan Dajjal dgn dalil. Sebab itu saya sangat-sangat hampa apabila dialog-dialog Abuja di dalam Munafik 2 (sebagai Dajjal kecil itu) sekadar perlawanan kata-kata atas pengaruh kuasanya sebagai ketua ajaran sesuatu bukan atas kekuasaan dan kekayaan ilmunya berbanding Ustaz Adam.

Tulisan ini kali pertama diterbitkan di Blog Za’im Yusoff Tatkalaku Terbang Tanpa Tongkahan pada 4 September 2018.

You may be interested

KEANGGUNAN SINEMA PUITIS DALAM DUKUN (2018)
Pendidikan
38 views
Pendidikan
38 views

KEANGGUNAN SINEMA PUITIS DALAM DUKUN (2018)

Kakisinema - 17 October, 2018

Bagi mengaitkan antara seni puisi dengan seni sinema, kita seyogia kembali kepada pelopor-pelopor dalam kedua-dua bidang. Robert Frost, penyair terkenal…

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 3)
Pendidikan
53 views
Pendidikan
53 views

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 3)

Kakisinema - 16 October, 2018

Esei ini diterbitkan dalam beberapa siri dan ini ialah Bahagian Ketiga. Maskulinti Dan Stereotaip Dalam Masyarakat Menurut Argyo (2010), hal…

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 2)
Pendidikan
94 views
Pendidikan
94 views

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 2)

Kakisinema - 15 October, 2018

Esei ini diterbitkan dalam beberapa siri dan ini ialah Bahagian Kedua. Streotaip wanita dalam filem “Gender-role stereotypes are characteristics of…