Hantu Kak Limah – Kritikan Sosiopolitik Melayu

16 September, 2018
7925 Views

Filem merupakan antara medium terbaik untuk memahami budaya dan asas sesebuah kaum. Namun begitu, pembikin filem yang cuba menggambarkan kebudayaan sesebuah kaum itu juga harus memiliki pemahaman yang mendalam di samping ia harus berasaskan pengalaman dan kehidupan sebenar dilalui oleh sesebuah kaum itu. Pemahaman yang cetek akan melihatkan gambaran tidak tepat malah kemungkinan terpesong dan ini membuatkan hasrat sesebuah filem itu untuk memberikan pengalaman menonton budaya tidak kesampaian.

Mamat Khalid merupakan antara pembikin filem tempatan yang cukup arif tentang budaya Melayu. Karya-karya beliau jelas mampu memaparkan pergelutan, semangat dan kekuatan orang Melayu itu sendiri. Ia datang bukan dengan hanya pembacaan atau menonton, namun ia datang dengan pengalaman bergelumang dan bercampur secara dekat dengan orang-orang Melayu. Membikin filem tentang sesuatu kaum itu bukan tugas yang mudah, jika kita hanya mengambil pengalaman orang lain atau hanya bergantung semata-mata kepada kajian literatur, maka pemaparan yang akan dibawa nanti tidak memberikan kesan apa-apa.

Hantu Kak Limah (2018) sebuah filem Mamat Khalid yang mendatangkan gegaran kepada industri filem Malaysia. Secara tiba-tiba filem ini mendapat sambutan hangat penonton malah sehingga sekarang kutipannya sudah hampir mencecah RM40 juta. Ini satu sejarah untuk Mamat dan untuk Malaysia. Secara permukaannya, filem ini sebuah komedi di sebuah kampung dan jika ditonton secara selapis ia jelas sebuah filem menghiburkan dan mampu menggeletek hati kita semua.

Karakter-karakter yang ditampilkan di dalam filem ini boleh disifatkan sebagai ikonik. Ia membuatkan kita lebih dekat dengan karakter berbanding dengan pemeran karakter itu sendiri. Kita tidak lagi mengenali Awie, sebaliknya lebih mesra dengan Husin. Kita tidak lagi teringat-ingat tentang ketampanan Zul Ariffin, sebaliknya kita lebih suka teringat tentang sikap Solihin.

Karakter Yeh lakonan Rab Khalid paling mencuri tumpuan. Yeh ditampilkan sebagai seorang yang berjawatan dalam kampung berkenaan dan mengambil berat tentang apa yang terjadi di Kampung Pisang. Namun kepala dan pemikiran Yeh yang dipenuhi elemen seksual meletakkan beliau sebagai sebahagian daripada ciri-ciri lelaki Melayu yang ada. Sememangnya kejantanan Melayu tidak dapat dipisahkan dengan seksual.

Kita lihat sahaja adegan di bilik mandi bagaimana Yeh tersengih-sengih mengenangkan kemaluannya selepas melihat jenazah Kak Limah. Kita teringat juga bagaimana Yeh mengatakan dirinya ‘stim’ melihat penampakan bunian yang menyamar sebagai Datuk Vida. Malah kita juga akan tertarik bagaimana Mamat menggambarkan babak Yeh diurut oleh isterinya ia memberikan mood seksual dan keinginan lelaki Melayu. Ia karakter bersahaja namun menjentik kita.

Mamat Khalid dan kritikannya terhadap politik sememangnya tidak dapat dipisahkan. Kita dapat melihat sendiri bagaimana Mamat menyindir dengan pedas melalui penampilan karakter dilakonkan Sabri Yunus. Perhatian pakaian dan warna baju biru Sabri di dalam filem ini. Perhatikan serbannya. Perhatikan bagaimana Mamat dengan selambanya menyatakan karakter lakonan Sabri itu sudah tidak lagi relevan dan ini menyamai nasib yang dialami Barisan Nasional dalam pilihan raya umum baru-baru ini. Lihat pula di hujung cerita bagaimana karakter yang dimainkan oleh Sabri Yunus ini beria-ia mahu mendapatkan undi daripada masyarakat bunian selepas tidak lagi mendapat kepercayaan manusia. Tajam dan menikam.

Mamat juga menyentuh mengenai hal perpaduan PAS dan UMNO di dalam filem ini. Satu melalui karakter Sabri Yunus yang sebenarnya membawakan tubuh perpaduan itu. Berbaju batik biru, tetapi berserban. Kedua melalui kata-kata watak Wani, selepas Husin menyebut “mano a mano” pantas Wani membalas, “mike kata mike PAS.”

Inilah ruang-ruang kritik politik yang diteroka Mamat. Di sebalik ketawa sebenarnya Mamat memberikan suntikan yang tidak kita sedari. Ruang kritikan yang bersahaja ini sememangnya semangat Mamat yang diambil daripada roh-roh filem P.Ramlee.

Hal daripada roh filem P.Ramlee ini juga jelas daripada Mamat di dalam Hantu Kak Limah apabila beliau secara jelas membikin homaj terhadap babak hantu Jepun di dalam filem Pendekar Bujang Lapok (1957). Ia dibuat sama dan tidak berubah, ini homaj dan lebih mencuit apabila hantu Jepun itu menyebut bahawa Kak Limah itu ialah cucunya. Jelas di sini bahawa Mamat Khalid membenarkan kata-katanya sebelum ini bahawa pembikin filem kini berdiri di atas bahu pembikin filem terdahulu.

Maka lahirnya Kak Limah bukanlah dengan sendiri dan secara tiba-tiba, sebaliknya dengan pengalaman dan keseronokan melihat pembikin filem seperti P.Ramlee membentuk komedi Melayu.

Sinematografi Jack Rahmad sangat memberikan nyawa buat filem ini. Ia antara sinematografi terbaik untuk tahun ini bagi filem Malaysia. Malah kita lihat sendiri bagaimana mood melalui pencahayaan di samping beberapa shot menarik termasuk dari sudut atas semasa babak pembukaan memberikan kita kepuasan dalam menonton filem ini.

Kaz Ishak selepas Pengarah Seni juga harus diberikan pujian kerana ketelitiannya dalam membentuk set dan suasana kampung dan memberikan latar seram yang menarik terhadap rumah Khuda serta Yeh.

Arahan dan lakon layar Mamat Khalid juga tidak boleh dipertikaikan lagi malah tidak keterlaluan jika kita menganggap ini ialah komedi terbaik daripada Mamat Khalid selepas Man Laksa (2004).

Hantu Kak Limah bukanlah filem komedi seram ringan yang biasa kita tonton, ia karya yang jarang-jarang muncul malah ia harus dihargai dan sentiasa diperkatakan. Melalui ini kita harus mengakui bahawa untuk melihat kaum Melayu itu, maka Hantu Kak Limah boleh dijadikan rujukan.

You may be interested

KEANGGUNAN SINEMA PUITIS DALAM DUKUN (2018)
Pendidikan
33 views
Pendidikan
33 views

KEANGGUNAN SINEMA PUITIS DALAM DUKUN (2018)

Kakisinema - 17 October, 2018

Bagi mengaitkan antara seni puisi dengan seni sinema, kita seyogia kembali kepada pelopor-pelopor dalam kedua-dua bidang. Robert Frost, penyair terkenal…

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 3)
Pendidikan
53 views
Pendidikan
53 views

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 3)

Kakisinema - 16 October, 2018

Esei ini diterbitkan dalam beberapa siri dan ini ialah Bahagian Ketiga. Maskulinti Dan Stereotaip Dalam Masyarakat Menurut Argyo (2010), hal…

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 2)
Pendidikan
92 views
Pendidikan
92 views

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 2)

Kakisinema - 15 October, 2018

Esei ini diterbitkan dalam beberapa siri dan ini ialah Bahagian Kedua. Streotaip wanita dalam filem “Gender-role stereotypes are characteristics of…