Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka

19 March, 2018
2580 Views

Bujang Lapok (1957) muncul pada tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Filem ini merupakan filem yang memaparkan masyarakat moden dengan pekerjaan di bandar. Kekalutan dan tekanan hidup masyarakat. Paparannya jelas. Masalah demi masalah. Isu demi isu kemudiannya wujud penyelesaian untuk setiap masalah itu. Ada juga masalah yang tidak diselesaikan dan dibiarkan tetap berlaku kerana dianggap sebagai norma dan sandiwara. Ini boleh kita rujuk di dalam babak Ramlee mengekori Perani yang telah menipunya sehingga ke rumah. Apabila sampai di rumah Perani, Ramlee hilang punca dan tidak tahu untuk melakukan apa-apa melainkan hanya beredar dan menyaksikan sebuah sandiwara yang tidak mampu dihalang.

Filem ini bermula dengan unik dan boleh dilihat pada cara persembahan kredit pembukaan filem ini dilakukan. Bukan setakat wajah pelakon, malah wajah semua kru termasuk produser turut ditunjukkan. Ini seolah-olah mahu memperkenalkan kepada kita siapa yang di belakang P.Ramlee ketika menyiapkan filem ini. Bujang Lapok merupakan sebuah filem penting kepada P.Ramlee kerana tema dan strukturnya berbeza daripada dua filem awal yang diarahkannya dan ini kali pertama P.Ramlee bergaul dengan genre komedi sebagai seorang pengarah.

Berdasarkan kepada jalan ceritanya, Bujang Lapok boleh dianggap sebagai sebuah filem bercorak komedi romantik. Namun, apa yang lebih menarik filem ini melangkaui satu aspek yang jarang-jarang diberikan oleh filem-filem Melayu waktu itu. Isu materialistik diangkat cukup tinggi di dalam filem ini. Dari awal hingga ke akhir filem isunya hanya tentang masyarakat materialistik. Ini isu yang baik dan P.Ramlee bercerita tentang masyarakat dari sudut pandang materialistik. Sikap yang memandang kebendaan dan bagaimana sikap ini membawa kemusnahan kepada masyarakat itu sendiri. Masyarakat materialistik ialah masyarakat yang terbentuk hasil daripada sistem kapitalis dengan wang segala-galanya mungkin. Filem ini bermula dengan menonjolkan aspek pekerjaan setiap watak utama. Sudin bekerja di pejabat (mungkin kerani), Ramlee bekerja sebagai jurujual dan Aziz sebagai pemandu lori. Pekerjaan dan pendapatan merupakan asas kepada pembentukan sesebuah masyarakat yang materialistik. Kita kemudian akan dapat melihat bagaimana kehendak manusia sentiasa tidak puas dan kadangkala melangkaui keperluan hidup itu sendiri. Di antaranya kita dapat melihat bagaimana Ramlee yang kesempitan wang boleh bergaya dan makan beef steak sedangkan itu ialah makanan dengan harga mahal. Jelas sekali kehendak dan keperluan merupakan sesuatu yang tidak dapat dibezakan dengan jelas oleh masyarakat, lebih-lebih lagi kepada golongan yang cuba untuk berlagak kaya sedangkan diri sendiri sebenarnya tidak memiliki kemewahan hidup.

Filem ini berjalan terus dengan suasana sebuah rumah besar yang bilik-biliknya disewa oleh ramai orang. Rumah besar ini kepunyaan seorang janda kaya bernama, Cik Norma. Gambaran di dalam rumah ini jelas menunjukkan struktur feudal. Apabila masyarakat berlindung di dalam rumah milik seorang kaya dan perlu membayar wang sewa untuk terus hidup di dalamnya. Namun, dalam Bujang Lapok, orang kaya yang bernama Cik Norma itu ditonjolkan sebagai seorang yang baik, bertimbang rasa dan sering membantu orang-orang yang tinggal di rumah sewanya. Malah, beliau juga merupakan orang yang disegani di kampung itu. Memaparkan watak seorang perempuan seperti Cik Norma yang mendominasi, memiliki kuasa dan suaranya didengar oleh penduduk kampung merupakan sesuatu yang luar biasa dalam filem-filem Melayu waktu ini. P.Ramlee seolah-olah lari daripada amalan patriaki sebelum ini yang melihat perempuan sebagai golongan yang harus mendengar kata, lemah dan tidak memiliki kuasa.

P.Ramlee tetap P.Ramlee dan beliau tidak akan dapat lari daripada membicarakan soal pertentangan kelas. Isu feudalisme merupakan isu yang sentiasa mahu diberikan perhatian oleh P.Ramlee di dalam setiap filem beliau. Beberapa dialog di dalam filem Bujang Lapok juga begitu. Isu kelas akan sentiasa menghambat perbualan setiap wataknya. Kita lihat sahaja dialog di antara Sudin dan Zaiton ketika bertemu di suatu malam. Mengikut Sudin jika Zaiton berkahwin dengan orang kaya maka peluangnya untuk menjadi janda adalah tinggi. Sudin mengandaikan orang kaya kerjanya selalu kelam-kabut dan akan membawa kereta mewah miliki mereka dengan laju. Ini menurut Sudin boleh mendedahkan orang kaya kepada risiko kemalangan maut. Zaiton pula membalas, berkahwin dengan orang kebanyakan boleh membawa kepada kehidupan yang tenang, boleh bersiar-siar di kaki lima dan tak akan terdedah kepada risiko kena langgar dalam kemalangan jalan raya. Kemudian Sudin menambah lagi contoh risiko berkahwin dengan orang kaya apabila beliau menyebut apabila berkahwin dengan orang kaya, kita tidak boleh menaiki perahu atau kolek kerana orang kaya akan pakai barang-barang perhiasan emas yang banyak dan jika kolek atau perahu itu terbaik, orang kaya tak mampu untuk berenang kerana terlalu berat dengan perhiasan emas. Pertentangan kelas ini diteruskan dalam dialog di antara Zaiton dan emaknya lakonan Siti Tanjung Perak. Menurut emak Zaiton, berkahwin dengan orang kebanyakan tidak membawa apa-apa keuntungan dan kita perlu hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tetapi jika berkahwin dengan orang kaya, hidup pasti senang sampai ke usia tua.

Di dalam filem ini juga digambarkan orang kaya itu sentiasa mahu berlumba-lumba untuk fasih di dalam bahasa Inggeris. Di dalam hal ini emak Zaiton memandang bahasa Inggeris itu sebagai lambang ketinggian status. Apabila mampu bertutur di dalam bahasa Inggeris masyarakat akan memandang tinggi kepada mereka. Ini dapat dilihat apabila emak Zaiton cuba bercakap bahasa Inggeris walaupun bunyinya salah. Bagi emak Zaiton, bahasa Inggeris perlu dipelajari sedikit demi sedikit untuk mengelakkan daripada dibodoh-bodohkan orang. Kita lihat bagaimana ibu Zaiton tetap mahu bercakap bahasa Inggeris dan mencuba seboleh-bolehnya walaupun kekok dan ketara salahnya.

Watak Ramlee di dalam filem ini merupakan watak penting dan watak ini merupakan sebab utama filem ini dibikin. Pada watak Ramlee inilah terletak niat P.Ramlee untuk membikin Bujang Lapok. Ramlee itu, mewakili individu di dalam masyarakat yang benar-benar materialistik, walaupun terpaksa menjadi palsu serta hidup di luar kemampuan diri. Kita lihat semula ketika watak Ramlee pulang dari kerja dan mahu menyalin pakaian kita dapat melihat yang seluarnya berlubang, walaupun hakikatnya pakaian kerjanya kemas dan bergaya. Begitu juga dengan Sudin, pakaian kerjanya kemas, bertali leher namun pakaian dalamnya, koyak rabak. Ini satu lagi idea menarik untuk menonjolkan kecantikan luaran yang menampung keburukan dalaman individu. Ini yang dilakukan masyarakat secara keseluruhannya. Ini ialah asas kritikan yang disampaikan oleh P.Ramlee di dalam Bujang Lapok. Orang akan memandang luaran kamu, jadi jangan bimbang tentang hal dalaman kamu. Tutuplah dengan kecantikan, walaupun dalaman kamu sebenarnya hodoh.

Berbalik kepada watak Ramlee. Beliau sebenarnya terlalu inginkan kekayaan. Mahu hidup mewah, bergaya dan sentiasa senang hati. Melalui perilakunya sahaja kita sudah mengetahui bahawa bagi Ramlee kekayaan merupakan jalan paling mudah untuk mendapatkan cinta dan jodoh. Jadi tidak hairan, walaupun beliau tidak ada wang, tapi beliau tetap mahu keluar ke bandar dan singgah di restoran mahal untuk membelanja gadis cantik makan. Ramlee sanggup meminjam wang semata-mata untuk memenuhi tuntutan dirinya yang mahu kelihatan seperti orang kaya dan perkara paling buruk dilakukan Ramlee ialah meminta Sudin meminjamkan duit emaknya untuk dia keluar ke bandar. Watak Ramlee sering dilihat bijak memberikan nasihat atau memberikan penyelesaian terhadap masalah. Hakikatnya dia tidak mampu untuk menyelesaikan masalah sendiri. Lebih parah, setiap masalah yang timbul di dalam hidup Ramlee merupakan masalah yang dicari dan diciptanya sendiri. Ketika hasrat Sudin untuk berkahwin sudah diketahui, Ramlee meminta Sudin bekerja kuat untuk menyimpan wang, namun hakikatnya dia sendiri tidak mempunyai wang. Ramlee telah ditipu oleh dua perempuan yang ditemuinya dan pertemuannya dengan Perani begitu mengesankan. Ini dapat dilihat dalam dialog di antara Perani dengan ibunya yang membongkar mengapa Perani menipu Ramlee. Perani menyatakan bahawa apabila manusia berkata jujur, tidak bercakap banyak dan baik hati maka mereka akan senang dipijak, tetapi kalau berkata bohong, menipu dan meninggikan diri maka orang akan memandang mulia. Ini merupakan satu babak yang memberi kesan dan sekali lagi hal materialistik dan kepincangan masyarakat akibat wang jelas menjadi subjek utama untuk filem ini.

Satu lagi hal menarik di dalam filem Bujang Lapok ialah penekanan serius terhadap masalah korupsi atau rasuah yang berleluasa dalam kalangan masyarakat. Ini dijelaskan melalui peranan adik Zaiton bernama Ayu yang sering meminta ‘upah’ berjumlah 20 sen untuk menutup mulut daripada membongkarkan semua rahsia kakaknya. Ayu diletakkan dalam kerangka antagonis dan hidup dalam budaya ‘makan suap’ yang ketara. Beliau hanya akan menyebelahi orang yang memberinya wang.

Watak Pak Nyong merupakan salah satu sindiran paling ketara P.Ramlee terhadap masyarakat Melayu ketika itu dan masih relevan kritikan berkenaan sehingga kini. Pada babak awal kita Bujang Lapok ketika mereka membawa pulang ayam dan meminta Pak Nyong membantu mereka menyembelih ayam itu, Pak Nyong sempat menyindir Bujang Lapok dengan menyebut dengan maksud kalau Bujang Lapok berkahwin sudah tentu senang kerana ada yang akan memasak dan melayan mereka. Kenyataan Pak Nyong ini seolah-olah membuktikan perkahwinannya bahagia dan sentiasa gembira. Namun hakikat sebenar perkahwinan Pak Nyong ditelanjangi P.Ramlee di dalam babak yang melihatkan pergaduhan besar di antara Pak Nyong dengan isterinya. Pergaduhan itu dapat disimpulkan sebagai dendam Pak Nyong terhadap keluarga isterinya kerana ketika mereka mahu berkahwin dulu, keluarga isteri Pak Nyong mengenakan bayaran hantaran yang mahal dan Pak Nyong terpaksa berhutang untuk berkahwin dan sehingga mereka memiliki tiga anak, hutang masih belum selesai. Keadaan ini seterusnya menimbulkan keruncingan kewangan kepada keluarga Pak Nyong dan mengekang mereka untuk hidup bahagia.

“Ceraikan aku! Ceraikan aku! Ceraikan aku! Kau tak guna jadi jantan! Jantan tak malu! Kau! Kau!”

“Apa yang kau merepek yang bukan-bukan ni? Apa kurang aku kasi sama kau?!”

“Ya! Memang kurang! Asal aku minta kau marah! Asal aku minta kau marah! Cuba kau tengok orang sebelah tu! Nah! Gelangnya! Aku semayang emas pun kau tak pernah belikan!”

“Siapa yang bersalah dalam soal ini? Siapa yang bersalah?! Ini semua mak bapa kau yang punya salah. Waktu aku kahwin dulu dengan engkau, mak bapa kau minta wang sampai lima ribu. Aku tidak ada wang! Aku pinjam Benggali. Sekarang dah ada sampai ada tiga anak. Hutang Benggali pun belum habis-habis dibayar. Kau tau? Bunga makin naik! Mak bapa kau yang salah!”

“Kalau mak bapa aku minta lima ribu, kenapa mak bapa kau terima?”

“Sebab kau berjanji! Kau nak sehidup semati dengan aku itu sebab aku terima. Kalau aku tahu kau nak minta cerai begini, aku tak ingin sama kau!”

Isu berhutang dalam perkahwinan dibincang dengan baik, ringkas dan padat dalam Bujang Lapok. Ibu Sudin juga begitu, memiliki kecenderungan untuk berhutang. Ibu Sudin memberi cadangan kepada Sudin supaya jangan bimbang tentang soal wang untuk berkahwin kerana boleh meminjam dengan saudara mara. Ini satu lagi sikap negatif masyarakat yang sehingga kini menjadi beban. Berkahwin secara besar-besaran dengan cara berhutang dan akhirnya menjejaskan kebahagian keluarga. Isu hutang dalam perkahwinan ini disangkal dengan baik oleh Aziz. Bagi Aziz perkahwinan secara besar-besaran ini semata-mata membazir dan akan membawa lebih banyak musibah.

You may be interested

Jentikan Semiotik Berbisa Sinema One Two Jaga (2018)
Pendidikan
183 views
Pendidikan
183 views

Jentikan Semiotik Berbisa Sinema One Two Jaga (2018)

Daniyal Kadir - 1 December, 2018

Tulisan ini telah memenangi Hadiah Sastera Selangor 2018 Kategori Esei pada 30 November 2018. Tidaklah berlebihan jika prop sinema One…

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody
Ulasan Filem
421 views
Ulasan Filem
421 views

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody

Kakisinema - 17 November, 2018

Bohemian Rhapsody; filem biopic kumpulan rock legenda Queen dicanang dengan tagline; The only thing more extraordinary than their music is…

Trailer Bukan Filem!
Pendidikan
224 views
Pendidikan
224 views

Trailer Bukan Filem!

Daniyal Kadir - 11 November, 2018

Baru-baru ini trailer filem Polis Evo 2 telah muncul di laman sosial dan ia merupakan perkara biasa sebagai sebahagian daripada…