Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu

18 March, 2018
4448 Views

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat melihat wujud satu trend yang tidak sihat pada kutipan filem tempatan di panggung. Ada yang mengutip hanya RM3 ribu ringgit walaupun kos pembikinannya dikatakan mencecah jutaan ringgit. Kita tidak pasti mengapa hal seperti ini boleh terjadi. Kita akui bahawa mengukur kejayaan sesebuah filem bukan pada dasar kutipan semata-mata, terdapat pelbagai perkara lain boleh dipertimbangkan untuk kita mengukur kejayaan sesebuah filem.

Ini kerana ada filem yang mendapat kutipan tinggi, namun dikatakan bukanlah membawakan rupa filem yang baik. Adakah ini sebenarnya boleh kita kaitkan dengan selera penonton biasa dan pengkritik filem itu berbeza-beza? Itu kita tidak ada jawapan yang tersendiri, namun hal selera atau citarasa ini sememangnya tidak boleh diseragamkan, tetapi terdapat beberapa aspek yang sebenarnya boleh dipersetujui secara common sebagai membezakan filem yang baik dan filem yang tidak berapa baik atau mungkin filem yang buruk.

Setiap daripada pembikin filem juga mempunyai jenis jangkaan yang berbeza-beza terhadap filem mereka, ada yang mengharapkan filem mereka mendapat sambutan hangat, ada yang mengharapkan filem mereka menembusi festival-festival filem antarabangsa, ada pula yang menyimpan rasa untuk filem mereka dibikin sebagai filem penumpuan aspek seni semata-mata, ia sebagai medium perjuangan.

Namun begitu, apa-apa sahaja jangkaan pembikin filem terhadap filem mereka bukan satu hal yang besar kerana perkara paling penting yang wajar ada kepada jiwa pembikin filem ialah kejujuran dalam menghasilkan karya mereka. Sejak akhir-akhir ini kita melihat bagaimana terdapat segelintir pembikin filem yang bukannya orang baru, tetapi sudah lama terlibat dalam bidang pembikinan filem mendapat dana daripada pihak berkuasa seperti FINAS untuk membikin filem.

Jumlah dana yang diterima bukan sedikit, malah mencecah jutaan ringgit, namun hasil yang ditampilkan dalam filem-filem mereka jelas amat mengecewakan. Hasilnya tidak sepadan dengan jumlah dana yang diterima. Dalam hal ini yang menanggung kerugian bukanlah penerbit filem, tetapi kita rakyat Malaysia yang menyumbang wang kepada penghasilan filem seperti itu. Pemberian dana ini seolah-olah tidak dipantau dengan teliti, sehingga kita terpaksa menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana hasil segelintir filem-filem yang menggunakan dana awam ini sangat mendukacitakan.

Sebenarnya terdapat beberapa perkara yang harus diberikan perhatian dalam soal ini. Pertama aspek pemantauan dana perlu dibuat dengan sangat cekap dan teliti. Setiap progress filem berkenaan perlu dipantau oleh badan pemberi dana seperti FINAS. Ia harus memasuki fasa teliti dan dilaksanakan dengan telus, memandangkan ia melibatkan dana awam.

Kedua, selepas filem berkenaan siap, ia harus ditayangkan kepada satu panel khas yang ditubuhkan oleh agensi pemberi dana berkenaan. Panel ini akan meneliti sama ada nilai wang yang diberikan berbaloi atau tidak untuk filem yang dihasilkan. Ini bukanlah kerja yang sukar sebenarnya kerana jumlah filem yang diberikan dana tidaklah terlalu banyak sehingga beratus-ratus.

Ketiga, jika sesebuah filem didapati tidak berbaloi dari sudut nilai wang, kontrak pemberian dana wajar mensyaratkan untuk pembikin filem berkenaan membuat bayaran penuh berbanding hanya mendapatkan dana secara percuma sebelum ini. Ini bukan soal filem berkenaan menarik atau tidak, namun kita boleh membandingkan dengan nyata bagaimana kualiti filem yang dihasilkan dengan RM1 juta dan RM100 ribu.

Jika perkara penguatkuasaan seperti ini dapat dilakukan dengan telus dan cekap, kita mungkin boleh melihat masalah menggunakan dana filem secara tidak wajar dapat dikurangkan atau dapat diatasi dalam jangka masa panjang. Ia bukanlah tidak boleh dilaksanakan, tetapi bermain dengan persoalan sama ada mahu dilaksanakan atau tidak.

Kita kini masuk ke fasa baru dan wajar berperang secara hebat dengan golongan yang mengambil dana tetapi membuat filem dengan separuh hati dan tidak berbaloi pada nilai wang yang diberikan. Dana berkenaan diperlukan oleh ramai lagi pembikin filem khasnya orang-orang muda yang memiliki kemahuan dan idea yang bernas untuk melihat kemajuan berfikir dalam industri filem Malaysia.

You may be interested

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka
Ulasan Filem
2133 views
Ulasan Filem
2133 views

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka

Kakisinema - 19 March, 2018

Bujang Lapok (1957) muncul pada tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Filem ini merupakan filem yang memaparkan masyarakat moden dengan pekerjaan…

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir
Filem Terkini
324 views
Filem Terkini
324 views

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir

Kakisinema - 18 March, 2018

LANGSUIR menceritakan kisah cinta dua dunia antara Azlan (Syafiq Kyle) dan Suri (Hannah Delisha). Mereka bertemu ketika Azlan dan kawan-kawannya berkunjung…

Layaran Nostalgia dalam Filem Malaysia Kontemporari
Sekilas Wayang Kita
634 views
Sekilas Wayang Kita
634 views

Layaran Nostalgia dalam Filem Malaysia Kontemporari

Kakisinema - 17 March, 2018

Antara babak awal filem You Mean the World to Me (Saw Teong Hin, 2017) memaparkan watak si protagonis (yang masih…