Layaran Nostalgia dalam Filem Malaysia Kontemporari

Oleh Norman Yusoff

17 March, 2018
634 Views

Antara babak awal filem You Mean the World to Me (Saw Teong Hin, 2017) memaparkan watak si protagonis (yang masih kanak-kanak) bersama ibunya yang baru selesai menonton filem di sebuah pawagam di Pulau Pinang ketika era 1970-an. Babak ini mengingatkan penonton akan ‘wayang gambar’ justeru berhubung dengan pengakhiran filem ini – masa lalu (imbas kembali) dalam filem ini adalah sesuatu yang sedang difilemkan. Kemudian, penonton diimbas ke hadapan (masa kini) apabila si protagonis telah dewasa dan kini seorang pengarah filem yang pulang ke kampung halamannya untuk menghasilkan sebuah filem tentang memori berkenaan keluarganya. Usahanya ini adalah untuk menebus semula kekhilafan silam (terutamanya terhadap ibunya) bagi meringankan beban kekesalan yang sentiasa menyelubungi hidupnya.

Seperti yang dilaporkan juga, sutradara filem ini sendiri menghasilkan karya atas tujuan yang sama, justeru menjadikan You Mean sebagai sebuah nostalgia peribadi Saw Teong Hin. You Mean menyaksikan kecenderungan terhadap tema kepulangan ke rumah atau kampung halaman (homecoming) yang berhubung rapat dengan nostalgia. Lebih menarik adalah penggunaan teknik imbas kembali yang mengaburi garis pemisah antara yang sebenar dan yang dilakon atau didramatisasikan. Dalam konteks ini, teknik imbas kembali cuba melayarkan masa lalu yang lebih bersifat subjektif  pada beberapa peringkat. Pendekatan sebegini sinonim dengan konsep, takrifan dan pengertian ‘nostalgia’ itu sendiri. Perkataan ‘nostalgia’ (yang sebenarnya berasal dari bidang perubatan) berakar-umbi dalam dua patah perkataan Greek: nostos (yang bermaksud ‘kepulangan ke kampung halaman atau rumah’) dan algia (yang bermaksud ‘kerinduan’ atau ‘perdambaan’).[1] Nostalgia dalam bentuk imej sinematik merupakan pertindihan atau penindanlapisan terhadap dua imej – antara masa lalu dengan masa kini, antara mimpi dengan realiti sehari-hari.

Maka, seperti yang ditampilkan You Mean, nostalgia sememangnya bergantung kepada suspension of disbelief (penggantungan ketidakpercayaan) dalam kalangan penonton, yang secara umumnya dikaitkan dengan elemen fantasi.[2] Justeru, status nostalgia – seperti juga imbas kembali dalam filem Saw Teong Hin ini – agak subjektif. Nostalgia merujuk kepada imbauan masa silam, berkaitan rasa kerinduan atau perdambaan yang sentimental terhadap sesuatu objek (konkrit ataupun tidak), terutamanya yang telah berlalu atau telah tiada. Selain itu, berbanding sejarah dan memori, nostalgia lebih subjektif sifatnya kerana berbentuk fantasi, imaginasi dan mempunyai dimensi utopia. Ini disebabkan nostalgia yang dilayarkan sinema adalah satu ‘ciptaan semula’ karyawan yang bersifat representatif, selektif lagi relatif.

Para penteori membahagikan ‘nostalgia’ kepada dua bentuk: nostalgia restoratif dan nostalgia reflektif. Nostalgia restoratif berkait rapat dengan usaha membina semula home (keluarga atau kampung halaman) yang telah tiada; contoh lain, adalah usaha melestarikan atau mengembalikan semula warisan budaya tertentu. Nostalgia reflektif, yang lebih bersifat peribadi atau keindividuan, menekankan aspek kerinduan atau perdambaan terhadap sesuatu objek atau seseorang individu.[3] Makalah ini menghujahkan yang kedua-dua bentuk nostalgia bertindan lapis dan mendasari kebanyakan filem Malaysia, termasuk You Mean the World to Me. Jelmaan semula – dan obsesi terhadap – masa silam dapat dikesan dalam pelbagai bentuk dan genre produk budaya dan seni kreatif kontemporari, dari seni bina, seni tampak, fesyen, muzik, hinggalah ke sinema (filem). Di Barat, elemen dan bentuk nostalgia ini dianggap sebagai satu manifestasi gagasan dan falsafah ‘pascamodenisme’ (yang, antara lain, ditandai era masyarakat pasca industri dan kapitalisme lanjut).[4] Namun, gagasan pascamodenisme yang dibahas dan diwacanakan para pemikir dan sarjana Barat membawa pengertian dan tafsiran yang pelbagai dan berlapis, malah begitu bermasalah dan diiringi nada sinis lagi skeptikal.

Dalam konteks sinema Malaysia, nostalgia muncul dalam pelbagai bentuk dan manifestasi, contohnya, sinema warisan (filem purba dan epik sejarah), filem period, filem bikinan semula (remake), sekuel, dan pastiche (imitasi dan campuran bentuk dan gaya filem-filem terdahulu). Bermula penghujung 1980-an dan sepanjang 1990-an, beberapa pengarah sudah menghasilkan filem yang bernuansa nostalgia. Kolej 56 (Ahmad Fauzee, 1988), Azizah The Legend (Arief Karmahani, 1993), dan Jimi Asmara (Erma Fatima, 1995) – kesemuanya mengambil inspirasi, dan dihasilkan dengan gaya, filem Melayu era studio. Ahmad Fauzee juga pernah membikin semula filem Panggilan Pulau (S. Ramanathan, 1954) pada tahun 1994. Sementara filem Sayang Salmah (Mahadi J. Murat, 1995) dan Amuk (Adman Salleh, 1995) mengupas isu dan permasalahan yang melingkari masyarakat Melayu pascakolonial pada era yang berbeza dalam perjalanan membina sebuah negara-bangsa.

Nostalgia dalam Sinema Malaysia Kontemporari

Dalam konteks sinema Malaysia kontemporari, selain You Mean the World to Me, filem Cina tempatan, antara lain, cenderung mengutarakan nostalgia (terhadap masa lampau atau sesuatu tempat). Dari The 3rd Generation (C.L. Hor, 2006), Ice Kacang Puppy Love (Ah Niu, 2010) hinggalah ke The Kid from the Big Apple (Jess Teong, 2016), antara lainnya. Filem arahan Chiu Keng Guan, Ola Bola (2016) menjemput para penonton (yang melalui pengalaman lampau) kembali mengikuti kegemilangan pasukan bola sepak negara era 1970-an dan 1980-an. Ola Bola bukan sahaja berfokus kepada sukan bola sepak, tetapi turut menghidupkan zeitgeist (semangat sesuatu era atau zaman) yang memperkatakan tentang aspek sosial, budaya dan politik Malaysia ketika itu, contohnya, semangat muhibah antara kaum. Jika diteliti, nostalgia turut mendasari filem-filem arahan Chiu sebelum ini: The Journey (2014), The Great Day 2011) dan Woohoo! (2010). Woohoo!, umpamanya, menjelmakan bentuk nostalgia yang berkaitan dengan pelestarian warisan budaya tradisi bila sekumpulan anak muda mahu meneruskan kesinambungan ‘tarian harimau’ woohoo yang hampir pupus di kampung mereka.

Selain itu, tidak kurang yang cuba mengembalikan nostalgia kerana populariti dan pengaruh filem terdahulu terutamanya yang boleh dianggap mencapai status ‘kultus’ (cult) dalam kalangan peminat sinema Melayu seperti Azura (Deddy M. Borhan, 1984), Adik Manja (Hafsham, 1979) dan Gila-Gila Remaja (Hussein Abu Hassan, 1985). Maka, muncul filem bikinan semula seperti Azura (Aziz M. Osman, 2012) atau filem sekuel seperti Adik Manja Returns (Dharma Harun al-Rashid, 2012) dan Gila-Gila Remaja 2 (V. Nagaraj, 2013) – walaupun niat dan tujuan para karyawan ini boleh dipersoalkan. Selain Chiu, sinema Malaysia kontemporari telah menampilkan nostalgia menerusi karya sentuhan pengarah seperti Yasmin Ahmad dan Mamat Khalid. Justeru dapat dikesan yang elemen nostalgia ini berhubung rapat dengan keperibadian dan ‘kepengarangan’ (authorship) pengarah tertentu.

Filem-filem Yasmin Ahmad rata-ratanya menggunakan latar masa kontemporari tetapi didasari rupa, sentuhan, dan semangat – malah, seolah-olah mengambil tempat pada masa silam. Kecenderungan ini mempersembahkan hal ehwal masa yang sedikit anakronistik, yakni terkeluar dari, atau menyahstabilkan, jalur atau turutan masa.[5] Malah, efek nostalgik ini diperkasakan dengan sentimentaliti dan melankoli yang kental mendasari filem-filem Yasmin. Pada satu tahap, filem Yasmin sarat dengan objek nostalgia yang konkrit, yang dapat dikesan menerusi tempat, masa, ikon, dan peristiwa tertentu, seperti penggunaan alatan prop dan latar set (termasuk memorabilia tertentu). Contohnya, Mukhsin (2007), filem Yasmin yang paling nostalgik (pada beberapa tahap dan dalam beberapa bentuk), mengingatkan penonton akan ruang dan milieu kedesaan atau pekan kecil yang jauh dari hiruk-pikuk dan kesibukan kota dan materialisme. Paparan sinematik terhadap landskap desa sebagai subjek terhadap nostalgia popular turut mengungkapkan kehidupan kampung yang ideal, permai, dan masih kurang dicemari.

Kepelbagaian bentuk dan lapisan nostalgia ini berfungsi secara tersirat dalam membayangkan sesuatu yang tidak kena pada masa kini. Ini diperlihatkan dalam filem Yasmin sebelum itu seperti Sepet (2004), dengan watak-wataknya meratapi loss of innocence dengan mempersoal dan mengkritik kemodenan (contohnya, babak perbualan telefon antara Jason dan rakannya). Pada tahap lain, unsur nostalgia yang membaluti filem Yasmin adalah sentimen dan rasa kerinduan atau kepunyaan watak-wataknya, yang mendambakan ‘kebersamaan manusiawi’ (contohnya, hubungan romantis merentas sempadan etnik, agama dan budaya) – satu keadaan, seperti digambarkan filem-filemnya, yang sukar dicapai atau direalisasikan. Tidak hairanlah jika beberapa sarjana dan pengkritik dalam dan luar negara mendakwa bahawa Malaysia yang dilakarkan Yasmin adalah sebuah negara-bangsa yang diidam atau dibayangkan sahaja.[6]

Mamat Khalid menghasilkan sejumlah filem yang agak nostalgik, seperti Man Laksa (2005), Zombie Kampung Pisang (2006) dan Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) serta trilogi ‘Rock’nya: Rock (2005), Rock Oo! Rimba Bara Kembali (2013), dan Rock Bro (2016). Kebanyakan objek nostalgia filem Mamat adalah yang konkrit menerusi tempat, masa dan peristiwa yang dapat dikenal pasti. Kampung, contohnya, sentiasa menjadi landskap dan ruang nostalgik dalam filem-filem Mamat, di samping berfungsi sebagai satira yang mengkritik sosiobudaya masyarakat Melayu. Trilogi ‘Rock’ Mamat Khalid menampilkan nostalgia yang lebih peribadi sifatnya (reflektif) kerana keterlibatan Mamat sendiri dalam arena muzik rock yang menjadi satu fenomena budaya popular dalam kalangan belia  dan remaja Melayu. Justeru, dengan menzahirkan semula memori peribadinya menerusi layar perak, Mamat dapat mengemukakan semula sesuatu yang (mungkin) tidak dapat dicapai sepenuhnya secara peribadinya. Di sini, ternyata nostalgia bersimpang antara sesuatu yang pernah berlaku dengan sesuatu yang bersifat fantasi dan utopia.

Filem Kala Malam Bulan Mengambang (2008) yang cukup unik tampil nostalgik dan sinematik kerana memparodi dan mempersendakan (yang juga merupakan homaj atau penghormatan kepada) filem noir Amerika dan filem-filem Melayu hitam-putih ‘era studio’. Antara lain, elemen nostalgia dan masa silam dilayarkan Mamat menerusi historiografi filem Melayu klasik bergenre – dari siri filem ‘pontianak’ ke komedi Mat Sentul – dengan memanfaatkan strategi seperti homaj dan memorialisasi, sitasi babak-babak (citations of scene), parodi secara self-reflexive[7], dan rujukan antara teks (filem). Malah, sekuen klimaks filem Kala Malam Bulan Mengambang ini turut menampilkan watak pontianak dan harimau jadian – dua ikon filem seram Melayu sebagai sebahagian dari amalan homaj oleh pengarah disebabkan salinan dua filem ‘pontianak’ terawal (terbitan Cathay-Keris) dan filem Si Tora Harimau Jadian (terbitan Studio Merdeka) telah dilaporkan hilang. Justeru, amalan homaj ini adalah sebahagian dari strategi nostalgia bagi mengembalikan sesuatu yang telah hilang atau tidak dapat dicapai pada masa lalu.

Selain itu, ada karya beberapa sutradara lain turut menampilkan nostalgia dalam bentuk-bentuk yang berbeza seperti Zulkeflie M. Osman, Ahmad Idham, Shuhaimi Baba, dan Edry Abdul Halim.[8] Shuhaimi Baba muncul dengan filem yang cukup nostalgik, Layar Lara (1997), sebuah homaj kepada era kegemilangan industri filem tanahair seketika dahulu. Filem seramnya,  Pontianak Harum Sundal Malam (2005), mengembalikan semula filem-filem pontianak era studio dengan memberi nafas baharu, selain tema dan intipati ceritanya berkenaan nostalgia. Dua filem Shuhaimi yang lain, 1957: Hati Malaya (2007) dan Tanda Putera (2013) turut disulami nostalgia kerana mentafsir sejarah politik tanah air. Edry Abdul Halim pula muncul dengan filem-filem bercorak fantasi seperti Magika (2010) dan 29 Februari (2012). 29 Februari, contohnya, merakamkan perjalanan seorang individu yang lewat dimamah usia kerana lahir pada tarikh tahun lompat 29 Februari, yang berkesempatan menyaksikan pelbagai detik sejarah penting tanah air, dari kemerdekaan hinggalah ke peristiwa 13 Mei 1969. Filem ini menggabung jalinkan masa lalu dan masa kini, footage video asal (arkib) dan fiksyen, di samping menjambatani hubungan sejarah dan mitos dalam landskap memori nasional. Filem sejarah Shuhaimi dan filem fantasi Edry masih mendukung ‘naratif agung’ Malaysia yang menunjangi tema dan etos berkaitan pemodenan, kemajuan, dan pembangunan.

Rumusan

Sesungguhnya sinema adalah medium efektif (dan paling sesuai) dalam melayarkan nostalgia kerana medium ini ditadbir – dan berupaya memanipulasikan – aspek ruang dan masa. Pada satu peringkat, filem-filem tersebut memaparkan nostalgia peribadi atau keindividuan para karyawan atau watak-watak ciptaan mereka. Pada peringkat yang lain, nostalgia dalam filem ini secara kolektifnya memperkatakan sesuatu tentang Malaysia sebagai landskap sosial atau negara-bangsa, yakni berfungsi sebagai satu bentuk kritikan tersirat terhadap masa kini, yang mungkin tidak sebaik, seindah atau segemilang masa lalu. Kesemua ini mengelabui titik pemisah antara nostalgia restoratif dengan nostalgia reflektif. Tidak kurang juga (seperti trilogi ‘Rock’, Kala Malam Bulan Mengambang) yang menerusi lensa masa silam memberi komentar tentang isu dan permasalahan hari ini. Dengan itu, tercetusnya satu jurang antara representasi masa lalu dengan peristiwa silam sebenar. Filem seperti Ola Bola, Mukhsin, Rock, dan You Mean the World To Me, antara lainnya, cuba mengisi jurang ini supaya kita dapat mengubati rasa kerinduan dengan berimaginasi mengecapi semula sesuatu yang telah hilang dan tidak akan kembali – satu kondisi yang tidak akan dapat sepenuhnya dikecapi, tetapi akan sering dan terus didambai.


Nota

[1] Boym, S. (2007, Summer). Nostalgia and its discontent. Hedgehog Review, 3(7), 7.

[2] Cook, P. (2005). Screening the past: Memory and nostalgia in cinema. London: Routledge, ms. 3.

[3] Boym, S (2007). Nostalgia and its discontent, 7-18.

[4] ‘Pascamodenisme’ merupakan istilah atau konsep falsafah dan kritis yang bermasalah dan sering dicabar ramai pihak. Disedari lahir pada pertengahan 1970-an, ianya menyelinap masuk ke landskap disiplin akademik tertentu di bawah payung ilmu kemanusiaan dan sains sosial, dari seni bina ke kesusasteraan. Secara umumnya, konsep ini telah dimanfaatkan menerusi tiga cara: (i) untuk menamakan era atau period sejarah masa kini (yakni era selepas kemodenan); (ii) untuk melabel stail atau gaya tertentu (lewat kurun ke-20) bagi bentuk atau medium seni (termasuk sinema) dan seni bina; dan, (iii) untuk menamakan titik pemisahan atau perceraiberaian dalam konteks epistemologi (yang seringkali disalah kaitkan dengan konsep lain seperti ‘pascastrukturalisme’ dan ‘dekonstruksi’). Nostalgia begitu sinonim dengan pascamodenisme kerana salah satu pencirian pascamodenisme melibatkan sangkalan terhadap lineariti dan kronologi dalam konteks hal-ehwal masa serta peminggiran sejarah. Kesemua ini sejajar, antara lainnya, dengan nostalgia yang sering dicirikan jalur atau garisan masa yang hibrid. Untuk wacana lanjut, sila rujuk Anderson, P. (1998). The origins of postmodernity. London: Verso; Jameson, F. (1991). Postmodernism, or, the cultural logic of late capitalism. Verso: London.

[5] Elemen anakronisme ini (yang menganggu-gugat hal-ehwal ruang dan masa secara logik) dapat dikesan (walaupun tidak ketara) dalam babak akhir filem Sepet (bila Orked menerima panggilan telefon dari Jason yang penonton sudah dimaklumkan meninggal dunia); dan, babak permainan layang-layang di sawah padi dalam Mukhsin bila Orked dan Jason (yang remaja dari filem Sepet), yang mempunyai rumah di tengah sawah muncul membantu Orked (kanak-kanak) dan Mukhsin bermain layang-layang.

[6] Sila rujuk: McKay, B. (2011). Auteur-ing Malaysia: Yasmin Ahmad and dreamed communities. Dalam S.G. Yeoh & J. C. H. Lee (Penyt.), Fringe benefits: Essays and reflections on Malaysian arts and cinema (ms. 117-136). Petaling Jaya: SIRD; Lee, Y. B. (2015). Yasmin Ahmad: Auteuring a new Malaysian cinematic landscape. Wacana Seni (Journal of Arts Discourse), 14, 87-109; Sim, G. (2009, Spring). Yasmin Ahmad’s Orked trilogy. Film Quarterly, 62(3), 48-53.

[7] Parodi secara self-reflexive bermaksud mempersenda, mempermain-main dan menterbalikkan (mendekonstruksikan) kod-kod dan kelaziman sesuatu genre atau teknik sinema itu sendiri. Rujuk tulisan King, G. (2002). Film comedy. London: Wallflower, ms. 93-128.

[8] Zulkeflie M. Osman pernah mengarahkan Diari Romeo (2003) dan Ahmad Idham pula menghasilkan Tentang Bulan (2006), kedua-duanya disuntik unsur nostalgia.

Norman Yusoff mengendalikan kursus Teori dan Apresiasi Filem di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM. Gemar menonton filem bisu dan mendengar Ghazal India ketika masa lapang.

You may be interested

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka
Ulasan Filem
2132 views
Ulasan Filem
2132 views

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka

Kakisinema - 19 March, 2018

Bujang Lapok (1957) muncul pada tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Filem ini merupakan filem yang memaparkan masyarakat moden dengan pekerjaan…

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir
Filem Terkini
323 views
Filem Terkini
323 views

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir

Kakisinema - 18 March, 2018

LANGSUIR menceritakan kisah cinta dua dunia antara Azlan (Syafiq Kyle) dan Suri (Hannah Delisha). Mereka bertemu ketika Azlan dan kawan-kawannya berkunjung…

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu
Ulasan Filem
4447 views
Ulasan Filem
4447 views

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu

Kakisinema - 18 March, 2018

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat melihat wujud satu trend yang tidak sihat pada kutipan filem tempatan di panggung.…