Mata Kemenangan Untuk Lee Chong Wei

16 March, 2018
5297 Views

Filem bercorak sukan pernah dibikin beberapa kali di Malaysia. Antara yang diingati sudah tentu Ola Bola dan Baginda. Namun selain daripada dua ini kita sukar untuk mengingati mana-mana filem bercorak sukan yang meninggalkan kesan dalam sinema Malaysia. Itu tentang sukan, namun biopik juga sesuatu yang agak asing untuk dibikin di Malaysia, kecuali untuk menghargai tokoh politik, selain daripada itu tidak ada. Untuk itu, apabila Teng Bee hadir dengan sebuah biopik atlet terkenal negara, Lee Chong Wei, kita tidak sabar-sabar untuk menunggu hasilnya.

Lee Chong Wei sebuah biopik yang dipersembahkan secara mudah namun pelaksanaannya kemas dan ini memberikan kita kepuasan menonton. Teng Bee jelas memahami kemahuannya membikin Lee Chong Wei dan dia berjaya membuatkan kita mengenali Lee Chong Wei dengan lebih dekat serta membuatkan kita melalui bersama-sama pengalaman peribadi yang dilalui atlet terkenal itu. Saya lihat Lee Chong Wei sebagai sebuah biopik yang personal.

Fokus penceritaannya jelas dan tersusun membuatkan ia menjadi filem yang baik dari sudut ini. Kita tidak disesakkan dengan pelbagai kisah yang cuba disumbatkan. Ia mengambil hanya bibit-bibit perjalanan awal Chong Wei sebagai jagoan badminton terkemuka dunia. Menyusun cerita seorang atlet seperti Chong Wei bukan kerja mudah, ia mencakupi aspek penyelidikan yang dalam dan memahami keperluan filem ini dibawa kepada penonton. Kefahaman Teng Bee tentang mengapa ia membikin filem ini amat jelas, justeru kita sebagai penonton juga jelas dengan apa yang dibawakan oleh filem ini.

Babak-babak pertarungan badmintonnya dibuat dengan rapi dan sudah tentu terima kasih wajar diucapkan kepada Chan Chong Ming yang bertindak sebagai penasihat untuk membentuk babak-babak ini. Kita terikut-ikut dengan debaran pada setiap perlawanan badminton yang dipaparkan di dalam filem ini. Ia kelihatan realistik sebagai sebuah pertarungan berkelas dunia, khasnya perlawanan melibatkan Chong Wei dan Lin Dan.

Barisan pelakon juga boleh diberikan pujian kerana memberikan persembahan baik ini termasuk Jake Eng yang memegang peranan Chong Wei semasa kanak-kanak dan Tosh Chan yang berjaya memainkan watak sebagai Chong Wei dewasa dengan cukup cemerlang. Malah Tosh Chan berjaya memahami bahasa tubuh dan lisan Chong Wei. Ini amat sukar untuk seorang pelakon baru, tetapi Tosh Chan cukup meyakinkan dengan setiap aksinya. Rosyam Nor sebagai Misbun Sidek juga baik dan ia lakonan yang sederhana melalui penampilan yang penuh bermakna.

Namun begitu, perkembangan kekuatan hubungan Chong Wei dan Misbun itu tidak dibentuk dan dikembangkan dengan baik sehingga kita merasakan hubungan mereka itu secara tiba-tiba sahaja menjadi rapat.

Terdapat juga beberapa babak yang canggung dan saya tidak begitu gembira menonton seperti menjadikan jambatan di Putrajaya sebagai konon-konon di London dan gelanggang badminton All-England yang seperti dewan kejiranan.

Namun ia tidak langsung menghalang untuk kita memuji Lee Chong Wei sebagai filem biopik sukan yang baik dan dibikin dengan penuh disiplin serta kesungguhan. Ia wajar ditonton jika anda mahukan sesuatu yang berbeza dalam sinema Malaysia.

You may be interested

Jentikan Semiotik Berbisa Sinema One Two Jaga (2018)
Pendidikan
183 views
Pendidikan
183 views

Jentikan Semiotik Berbisa Sinema One Two Jaga (2018)

Daniyal Kadir - 1 December, 2018

Tulisan ini telah memenangi Hadiah Sastera Selangor 2018 Kategori Esei pada 30 November 2018. Tidaklah berlebihan jika prop sinema One…

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody
Ulasan Filem
420 views
Ulasan Filem
420 views

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody

Kakisinema - 17 November, 2018

Bohemian Rhapsody; filem biopic kumpulan rock legenda Queen dicanang dengan tagline; The only thing more extraordinary than their music is…

Trailer Bukan Filem!
Pendidikan
223 views
Pendidikan
223 views

Trailer Bukan Filem!

Daniyal Kadir - 11 November, 2018

Baru-baru ini trailer filem Polis Evo 2 telah muncul di laman sosial dan ia merupakan perkara biasa sebagai sebahagian daripada…