KL Special Force: Letupan Di Kuala Lumpur

15 March, 2018
8287 Views

Syafiq Yusof kelihatan agak berlainan melalui filem SAM dan beberapa filem beliau selepas itu termasuk Abang Long Fadil, Villa Nabila dan Desolasi agak menarik untuk diperkatakan. Beliau memiliki sisi penceritaan yang berbeza dan mungkin boleh membawa kita melihat filem-filem terbitan Skop Production dari sudut yang berlainan.

Tahun ini Syafiq hadir dengan KL Special Force, sebuah filem aksi kepolisan yang sememangnya menjadi tanda dagang paling penting untuk Skop Production. Namun apabila memikirkan filem ini bakal berada di tangan Syafiq, kita mungkin meletakkan harapan untuk tiada lagi bayang-bayang Gerak Khas, siri televisyen tentang dunia polis yang bertahan dalam usia cukup lama terbitan Skop Production.

Babak pembukaan adalah sesuatu yang amat penting untuk menangkap hati dan jiwa penonton, namun babak pembukaan KL Special Force tidak berjaya memainkan peranan dengan baik bagi memperkenal filem ini kepada kita semua. Ambience sebuah bank sedang dirompak di kawasan awam tidak terasa kerana Syafiq sudah mengawal keadaan sekitarnya. Keadaan jalan lengang dan tiada orang awam kelihatan.

Satu aspek yang agak kuat di dalam filem ini ialah mutu lakonan yang ditampilkan Rosyam Nor. Tidak teragak-agak untuk kita andaikan ini merupakan antara lakonan terbaik untuk tahun 2018. Rosyam berjaya dengan wataknya seorang anggota polis yang berada dalam dilema di samping mempunyai hubungan kekeluargaan rapuh. Amarahnya bersebab dan dijelmakan dengan baik oleh Rosyam.

Fatah Amin juga kelihatan berbeza walaupun melihatkan peningkatan yang minima. Sekurang-kurangnya kita lega dapat menyaksikan Fatah dalam watak yang berbeza, setelah sekian lama diberikan watak-watak tidak mencabar sebagai lelaki jambu, handsome dan seumpamanya.

Kelemahan ketara yang ada kepada filem ini ialah dialog dan aspek penceritaannya Dialognya masih mengekalkan tone yang ada pada Gerak Khas. Bunyinya keras dan membosankan. Begitu juga dengan perkembangan jalan cerita yang seperti melompat-lompat dan tidak memberi fokus dengan baik. Malah terdapat dalam sesetengah keadaan kita merasakan ada babak yang langsung tidak membantu. Ia seperti tersekat-sekat dan kita tidak merasa puas melihatkan keadaan penceritaan seperti ini.

Namun begitu, babak aksinya boleh diberi pujian kerana terdapat beberapa usaha keras Syafiq kelihatan pada setiap babak berkenaan walaupun sebenarnya ia dibuat dalam keadaan tipikal. Namun begitu terdapat beberapa babak yang saya fikir dibuat dengan baik seperti babak serangan di hari jadi dan satu babak yang menunjukkan Rosyam membasuh tangan di sinki. Selebihnya ialah letupan demi letupan.

KL Special Force seperti sebuah Gerak Khas berskala besar dan dibuat dengan lebih baik. Namun ia tetap satu pengalaman berbaloi, di waktu kita mengharapkan ada bentuk-bentuk filem baru dan menyegarkan diberikan kepada kita.

KL Special Force masih ditayangkan di seluruh negara. Ayuh tonton!

You may be interested

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka
Ulasan Filem
2133 views
Ulasan Filem
2133 views

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka

Kakisinema - 19 March, 2018

Bujang Lapok (1957) muncul pada tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Filem ini merupakan filem yang memaparkan masyarakat moden dengan pekerjaan…

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir
Filem Terkini
324 views
Filem Terkini
324 views

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir

Kakisinema - 18 March, 2018

LANGSUIR menceritakan kisah cinta dua dunia antara Azlan (Syafiq Kyle) dan Suri (Hannah Delisha). Mereka bertemu ketika Azlan dan kawan-kawannya berkunjung…

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu
Ulasan Filem
4447 views
Ulasan Filem
4447 views

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu

Kakisinema - 18 March, 2018

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat melihat wujud satu trend yang tidak sihat pada kutipan filem tempatan di panggung.…