Kisah Bintang Yang Digelar Bintang Malam

Oleh Abror Rivai

15 March, 2018
1431 Views

Meor dalam sebuah lagu melafazkan baris lirik yang sangat mengusik.  Katanya:

Hoh hah hoh hah tak da duit hidup susah
Hoh hah hoh hah sudah merdeka hidup susah
Hang po hang po semua kelentong semua tipu
Hang po hang po siang malam kena tipu

Satu ketika begitulah lagu yang telah dinyanyikannya. Dan hari ini seketika mendengarnya kembali, entah mengapa lagu tersebut terus menjadi teras pemikiran dalam fikrah aku untuk memulakan penulisan kolum pada kali ini. Ternyata ia adalah realiti kehidupan yang sedang kita layari sejak dulu dan sekarang. Ia sungguh ironis dan bertentangan dengan apa yang sedang kita hadapi, di mana pada saat yang sungguh mencabar ini pilihan untuk terus hidup adalah dengan berkarya.

Apakah karya boleh dilahirkan tanpa memikirkan wang ringgit, atau kepercayaan tentang wang sebenarnya hanyalah ilusi yang sengaja ditanamkan sekian lama agar seni akhirnya akan terbunuh dengan sendiri. Di sini karya seni yang aku maksudkan adalah sinema yang saban hari menjadi persoalan yang semakin membebankan khususnya di Malaysia.

Mengapakah sinema dilihat semakin membebankan adalah kerana keadaannya makin nazak tetapi tidak juga mati. Keadaan ini adalah disebabkan pengabaian yang nyata terhadap tujuan sebenar keberadaannya di tengah-tengah masyarakat.

Keadaan sinema yang nazak itu sebenarnya berpunca dari penyakit yang tidak ketahui apa, ia sangat misteri. Membingungkan. Seolah-olah semua orang sedang buntu menyaksikan denyut nadinya yang masih bergerak walhal sudah kehilangan roh. Keadaan bertambah parah apabila baru-baru ini aku membaca satu temu bual bersama-sama sinematografer, Mad Nor Kassim yang memberi satu kenyataan sungguh pahit dan mengejutkan.

Katanya, keadaan pekerja filem di Malaysia bukan lagi di tahap pelacur, ia mungkin sudah sampai ke tahap sampah. Kenyataan yang terbit dari susuk yang sangat berpengalaman dan penting seperti beliau bukanlah dibuat tanpa asas, justeru penglibatannya yang lama dan langsung bermandikan pengalaman sendiri terhadap kenyataan dalam dunia pembikinan filem tempatan.

Kenyataan ini tidak boleh dipandang sepi, ia harus menjadi seberat-berat perhatian kerana perumpaannya yang menyamakan keadaan pekerja filem dengan sampah. Lebih buruk dari pelacur, kerana pada amatan aku pelacur masih berpeluang untuk kembali ke pangkal jalan tetapi sampah hanya menunggu masa untuk dikutip sebelum dihunjam ke pembuangan. Inilah suara-suara yang sebenar dari golongan atau kumpulan manusia yang menjadi tulang belakang industri. Tanpa krew yang menjadi jentera menggerakkan mesin mesin pertukangan, lampu tidak bercahaya, kamera tidak akan berputar.

Kenyataan ini juga nampaknya bukan bersendirian, ia diikuti sekali dengan nasib pengkarya-pengkarya muda yang sedang bersiap-siap untuk menempatkan diri dalam industri perfileman – yang menjadi gelanggang barunya setelah tamat pengajian di universiti. Tatkala heboh dipersoalkan tentang kewajaran pemberian dana dan penguasaan pembikin filem tertentu pada satu-satu studio produksi (disusuli dengan hasilnya yang tidak mencerminkan sesuatu sokongan dan bantuan terhadapnya bermanfaat), pengkarya-pengkarya muda terus bertungkus lumus menerbitkan filem dengan usaha sendiri.

Suara-suara baru anak muda pembikin filem masih tidak mendapat perhatian, sedangkan mereka sudah berusaha menyatakan kewujudan sendiri ke dalam industri dengan melakukan penerbitan. Tidak semua keadaan pihak yang bertanggungjawab hanya menunggu karyawan-karyawan muda ini datang kepada mereka. Lebih berjiwa besar jika pihak-pihak yang bertanggungjawab tadi mendekati mereka, apatah lagi usaha telah dimulakan sendiri oleh karyawan-karyawan muda tersebut dengan biaya sendiri, dengan penzahirannya menerusi makluman yang mereka siarkan di dalam media baru seperti Internet.

Aku berpandangan sedemikian kerana aku membaca siaran-siaran tersebut yang pada sesuatu keadaan menyebut, usaha digerakkan atas kesedaran untuk memainkan peranan mengembalikan sinema tempatan ke landasannya. Mereka mengambil tanggungjawab sedemikian lantaran keinsafan untuk memanfaatkan ilmu perfileman yang dipelarinya di dalam dan di luar menara gading segera diuji.

Usaha-usaha ini tidak lagi menjadi penting kerana industri sedang membiakkan lebih banyak wabak dari mencari penawarnya. Kita terlalu banyak bintang, ia bukan hanya mereka yang sedang beraksi di hadapan kamera, bahkan di belakangnya lebih teruk lagi. Dalam mengejar gemerlapan dan glamor semua orang merasa dirinya bintang.

Inilah penyakit yang paling bahaya. Selalu aku perhatikan penyakit datang lewat ke lokasi, tidak melibatkan diri dalam latihan dan pembacaan skrip dengan alasan-alasan bodoh dan klise, anti kepada majlis ilmu atau sengaja melambatkan kehadiran untuk mendapat perhatian, tidak menghargai sumbangan fikiran dan menerima teguran – hanyalah sebahagian dari watak-watak bintang yang dimaksudkan.

Malangnya ia hanya kejahilan yang tidak dapat dibantu. Tanpa disedari mereka sedang mempergunjing diri sendiri yang perasan bagus, walhasil ia akan kembali dengan tamparan yang memalukan. Apakah yang sedang dibanggakan dan difikirkan oleh mereka sebenarnya. Seniman sejati akan tetap bertahan tanpa diberikan taraf. Apatah lagi dengan gelaran bintang seperti yang ditakrifkan oleh sebilangan pelakon, pengarah, pekerja filem mengikut ukuran yang salah dan sesat jalan.

Industri filem di Malaysia tidak lebih dari sekadar dunia hiburan yang dibangga-banggakan dengan mengikut acuan sekonyong-konyong. Sedangkan karyawan-karyawan filem yang serius sedang membina hakikat sebenar sebuah sinema yang diimpikan. Dalam keadaan yang macam mana sulit sekalipun, usaha untuk mengembalikan sinema ke landasannya akan bercahaya pada setiap zaman meskipun hanya nampak kelipan.

Percakapan ini tidaklah terlalu peribadi atau ideal. Aku sependapat dengan kenyataan yang telah disaksikan. Dahulu, keadaannya lebih jujur dengan semangat pengkaryaan yang berteraskan kebudayaan dan seni yang bertitik tolak dari kesusasteraan. Malangnya keterasingan itu sangat kejam dan menyakitkan. Kata Pak Hassan, sewaktu menghadiri majlis penganugerahan Seniman Negara kepada tokoh perfileman dan dunia drama Malaysia, Syed Alwi, beliau menyatakan bukan anugerah yang diimpikannya, tetapi peluang untuk berkarya.

Bayangkan tentang kenyataan ini. Seorang karyawan sejati yang diberikan anugerah seni tertinggi di Malaysia pun masih mengeluh tentang peluang untuk berkarya. Beliau adalah antara tokoh terawal yang menayangkan filem-filem alternatif, yang merupakan presiden pertama Kelab Seni Filem Malaysia. Beliau mahukan karyawan yang benar-benar celik filem dari sudut “language of image” dan ia kelihatan dalam mahakaryanya, Tok Perak.

Aku tidak ingat apakah aku pernah menontonnya dahulu (Tok Perak diterbitkan pada tahun 1981 untuk slot Panggung RTM), tetapi sewaktu menontonnya kembali, jelas negara ini tidak kekurangan tokoh-tokoh rujukan yang boleh dijadikan guru sepertimana sinema Indonesia terhutang budi kepada Teguh Karya dan Sjumandjaja. RTM menerusi my klik ada menyiarkan Tok Perak Episod 1 & 2 di internet.

Jadi inilah kedudukannya. Kedudukannya kita ini di mana sekarang? Apakah dengan membawakan persoalan-persoalan berat seperti pandangan-pandangan di atas hanya omong-omong? Dalam filem Bintang Malam karya Adman Salleh, aku teringat bahkan hafal akan pesannya: “hidup ini tidak pernah abadi, namun aku akan terus mencari.”

Abror Rivai merupakan seorang pembikin filem dan penulis. Dia adalah pengasas Rumah Karya Ipoh – sebuah ruang baru untuk mempertonton dan berdiskusi apa saja karya seni yang dihasilkan.

You may be interested

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 4)
Pendidikan
6 views
Pendidikan
6 views

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 4)

Kakisinema - 17 October, 2018

Esei ini diterbitkan dalam beberapa siri dan ini ialah Bahagian Keempat. Teori Feminisme Feminisme merupakan gerakan yang memperjuangkan keadilan dan…

KEANGGUNAN SINEMA PUITIS DALAM DUKUN (2018)
Pendidikan
73 views
Pendidikan
73 views

KEANGGUNAN SINEMA PUITIS DALAM DUKUN (2018)

Kakisinema - 17 October, 2018

Bagi mengaitkan antara seni puisi dengan seni sinema, kita seyogia kembali kepada pelopor-pelopor dalam kedua-dua bidang. Robert Frost, penyair terkenal…

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 3)
Pendidikan
67 views
Pendidikan
67 views

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 3)

Kakisinema - 16 October, 2018

Esei ini diterbitkan dalam beberapa siri dan ini ialah Bahagian Ketiga. Maskulinti Dan Stereotaip Dalam Masyarakat Menurut Argyo (2010), hal…