Semerah Padi: Keunikan Pertentangan Cinta

7 March, 2018
5135 Views

Semerah Padi (1956) dianggap ramai pengkritik filem sebagai filem terbaik P.Ramlee. Guru filem, Hassan Abd Muthalib di dalam bukunya, Malaysian Cinema in a Bottle: A Century (and a Bit More) of Wayang (Merpati Jingga, Ogos 2013) menyebut I is of the opinion that Malay cinema per se only began with Semerah Padi (The Village of Semerah Padi) directed by P.Ramlee. In this film, the authencity of the Malay world can be discerned through the mannerisms of the characters, their traditional customs and mores as well as the visual look of the film.

Menonton Semerah Padi merupakan pengalaman baru kerana kita tidak lagi berasa seperti menonton filem-filem Hindi atau Tamil atau yang seangkatan dengannya. Pengaruh Akira Kurosawa juga begitu jelas di dalam filem ini.

Pada babak permulaan semasa suara latar dan visual peta nusantara ditayangkan, fokus dilihat menghala ke utara Sumatera dan disyaki mahu memberitahu kita bahawa filem ini mengambil tempat di Acheh, sebuah wilayah di utara Sumatera yang sememangnya terkenal dengan sistem perundangan dan hukum Islam.

Babak awal filem ini sudah membentuk satu gambaran menarik. Ini dapat dilihat pada babak yang memperkenalkan Aduka dan Dara. Ketika Aduka sedang membersihkan kaki di kawasan berair, kamera mengikut aliran air berkenaan sehingga menunjukkan kaki Dara sedang bermain-main air di kawasan yang berhampiran.

Lebih menarik muzik latar ketika babak ini berbunyi seperti resah dan mencurigakan. Seolah-olah memberi gambaran bahawa ada sesuatu yang akan berlaku kepada mereka berdua nanti. Muzik resah dan mencurigakan ini tidak lama dan kemudian bertukar kepada muzik latar yang lebih romantik.

Babak seterusnya melihatkan perbualan penuh mesra di antara Aduka dan Dara. Apa yang menarik, walaupun Semerah Padi mengamalkan undang-undang Islam, namun tidak langsung menjadi kebimbangan kepada Aduka dan Dara untuk duduk berdua-duan. Mereka langsung tidak bimbang kepada kehadiran polis-polis moral yang boleh mengganggu perbualan mesra mereka.

Visual tentang budaya melayu begitu banyak sekali terpampang di dalam filem ini. P.Ramlee berjaya mempromosikan kesantunan budi orang Melayu melalui tingkah-laku Dara yang sentiasa meminta izin, walaupun lalu di belakang bapanya. Taruna mencium tangan Penghulu Hitam ketika dia datang ke rumah penghulu berkenaan dan Dara mencuci kaki sebelum naik ke rumah Aduka. Namun, ini semua di peringkat awal sahaja, selepas itu P.Ramlee menunjukkan pula bagaimana manusia-manusia yang bersantun dan berbudi ini kemudiannya berkelakuan curang.

Sireh merupakan elemen penting dalam budaya Melayu dan sireh sering digunakan sebagai tanda dalam majlis perkahwinan dan pertunangan. Sireh penting sebagai pengikat hubungan dalam masyarakat Melayu. Dalam Semerah Padi, Sireh memainkan peranannya yang tersendiri dan ini kita dapat kaitkan dalam beberapa babak, khususnya tentang babak mengikat hubungan Aduka, Dara dan Taruna.

Ketika Taruna tiba di rumah, kebetulan ibu dan ayahnya juga sedang berbicara untuk mengahwinkan Taruna. Sebelum itu, ibu dan ayah Dara juga berbincang mengenai hal yang sama. Ibu dan ayah Taruna berkenankan Dara, begitu juga ibu dan ayah Dara mahukan Taruna sebagai menantu. Ketika ibu dan ayah Taruna selesai berbincang dan bersetuju untuk menerima Dara, dilihat kamera memberi fokus kepada tepak sireh dan kemudian berlaku transisi babak dengan fokus kamera terarah pula kepada sireh adat di majlis pertunangan Taruna dan Dara.

Ini menunjukkan bahawa satu ikatan perhubungan akan termeterai dan Taruna serta Dara bakal menjadi suami isteri nanti. Namun, kita imbas kembali pada babak awal semasa Aduka dan Dara bertemu setelah selesai kerja di sawah. Selepas berbual mesra, ketika mahu pulang Dara memberikan sireh untuk Aduka menikmatinya dan sebelum bergerak pulang Dara memegang sireh lain di dalam bakulnya dan menunjukkannya kepada Aduka, tanda mengajak menikmati sireh itu bersama-sama.

Ini membuktikan bahawa Aduka dan Dara sudah mempunyai hubungan. Dalam babak pertunangan Taruna dan Dara mereka ditunangkan dengan hantaran sireh adat dan melalui sireh adat ini hubungan mereka menjadi rasmi sebagai telah bertunang.

Malang buat hubungan Aduka dan Dara, sireh yang mereka sama-sama rasa dan kongsikan tadi bukan sireh adat, untuk itu hubungan mereka di mata masyarakat tidak rasmi malah tidak ada apa-apa ikatan. Semasa Aduka menunggu Taruna pulang ke rumahnya untuk meminta Taruna membunuhnya, sireh sekali lagi dapat dilihat pada babak ini. Ketika kamera menunjukkan kaki Taruna, Aduka yang sedang memegang parang untuk diserahkan kepada Taruna, sireh adat pertunangan Taruna dan Dara berada di tengah-tengah sewaktu kedua-duanya sedang berbicara.

Selain itu, sireh adat juga dipulangkan oleh ibu dan bapa Taruna kepada Penghulu Hitam tanda putus pertunangan di antara Taruna dan Dara. Penggunaan sireh ini merupakan satu idea yang cukup bijak daripada P.Ramlee untuk menunjukkan simbol jalinan hubungan lelaki dan perempuan dalam Semerah Padi.

“Maafkan kami Penghulu! Kedatangan kami ke mari ialah untuk mengembalikan sireh adat ini tanda putus tali pertunangan di antara Dara dan Taruna!”

“Apa ertinya ini? Taruna minta dilekaskan, kau pula minta diputuskan, aku tak mengerti!”

“Penghulu, kami tak mahu membeli buah yang telah ditebuk tupai.”

“Darakah yang kau maksudkan?”

“Ya! Bapa! Daralah yang menyebabkannya. Ampunkanlah Dara bapa! Ampunkanlah Dara bapa! Kerana cinta, kerana cinta Dara menyerahkan kehormatan. Dara berdosa, Dara berdosa Bapa! Dara melakukan perbuatan yang keji! Menyesal! Dara menyesal bapa!”

“Walau seribu sesal kau sesal, namun noda tetap noda. Ku semai padi, lalang menjadi. Sekandang kerbau mengikut kata, anak seorang mencolok mata! Dengan siapa?!

“Dengan saya! Pedang penebus dosa sudah sedia. Saya rela mati daripada menanggung malu.”

“Aduka! Sungguh tergamak kau memutus jambatan penghubung mesra. Seluruh keturunanku dan keturunanmu tercemar sudah. Hanya hukum agama sahaja yang dapat mengikis cemarku di dahi! Seperti firman tuhan di dalam al-Quran Karim, kamu berdua wajib didera 100 kali rotan seorang!

Filem ini banyak memberikan pembayang kepada apa yang akan berlaku seterusnya di dalam babak-babak awal. Salah satu contoh yang paling mudah dikesan ialah babak pembunuhan Kachiwa dan kecurangan melibatkan Jejaka dan Galak. Kachiwa dibunuh oleh Jejaka dan Galak selepas cuba mencegah perlakuan curang isterinya (Galak) dengan seorang lelaki dari kawasan lain(Jejaka).

Kecurangan ini merupakan satu pembayang atau petanda awal kepada apa yang bakal berlaku kepada Aduka, Taruna dan Dara. Lebih memberikan kesan ketika Kachiwa dalam keadaan cedera parah tiba di rumah Penghulu Hitam beliau berkata Hati Siapa Tidak Marah Melihat Isteri Menduakan Suami. Ketika dialog ini diucapkan kamera memberi fokus sebentar kepada Aduka dan Taruna.

Keadaan ini seolah-olah memberi nasihat atau teguran tidak langsung agar Aduka berhati-hati dan tidak menganggu tunangan orang. Seperti kita tahu, akhirnya Aduka dan Dara telah melakukan perbuatan curang. Satu lagi perkara menarik ialah Jejaka dan Galak melakukan zina dan perbuatan curang secara berani dan terang-terangan.

Mereka juga seperti sudah bersedia menerima apa sahaja hukuman yang bakal diterima. Malah ketika dihadapkan di hadapan Penghulu Hitam selepas ditangkap, mereka kekal angkuh dan tidak mempedulikan nasib mereka lagi. Mereka berdua boleh dilabelkan sebagai pendosa yang terlalu berani. Namun, sebenarnya yang lebih bahaya ialah kecurangan dan perbuatan zina yang dilakukan Aduka dan Dara.

Tidak ada sesiapa menyangka mereka akan berbuat jahat dan boleh terlanjur sehingga ke tahap itu, memandangkan kedua-dua mereka telah digambarkan dari awal sebagai manusia baik dan bersopan-santun. Namun, inilah yang mahu diberikan P.Ramlee kepada kita. Beliau mahu kita berhati-hati dengan kecurangan yang tidak terdedah.

Kecurangan yang tersembunyi. Kecurangan yang tidak tahu bila akan berlaku, berbanding dengan kecurangan yang sedia maklum dan kecurangan yang sudah boleh dijangka. Situasi Kachiwa, Jejaka dan Galak serta Aduka, Taruna dan Dara merupakan situasi yang sama dengan membawa kesan yang juga sama. Kachiwa mati dibunuh jasad oleh Jejaka dan Galak, Taruna mati dibunuh jiwa oleh Aduka dan Dara.

Watak Dara dalam Semerah Padi sememangnya misteri. Sebagai seorang anak kepada Penghulu Hitam yang berpegang teguh kepada ajaran dan hukum Islam, Dara seperti hanyut dan tidak memiliki pegangan yang kukuh. Ini dapat dilihat ketika bersama-sama Taruna, Dara berpura-pura bahagia dan memberikan cinta sepenuhnya kepada Taruna. Walaupun diketahui bahawa Dara tidak mempunyai pilihan kerana terpaksa mengikut kata orang tuanya.

Ketika bersama-sama dengan Aduka pula Dara bertindak lebih lagi apabila memujuk dan merayu dengan kata-kata yang manis dan bahasa tubuh yang menginginkan Aduka. Walaupun pada mulanya, Aduka berkeras menolak Dara, tetapi akhirnya mereka terlanjur di pondok, selepas Aduka menyelamatkan Dara daripada menjadi mangsa Borek. Jelas di sini, Penghulu Hitam nampak perkara-perkara yang berlaku di luar melibatkan orang lain sahaja, tetapi dia tidak nampak apa yang sedang dialami oleh Dara, anaknya sendiri.

Sebelum Taruna datang menemui Penghulu Hitam untuk meminta dicepatkan perkahwinannya dengan Dara dan sebelum ibu bapa Taruna datang bertemu Penghulu Hitam untuk membatalkan perkahwinan, Penghulu Hitam ditunjukkan sedang membaca surah Yasin dan telah sampai ke bahagian akhir surah berkenaan. Jika diteliti, ayat-ayat akhir surah Yasin menceritakan tentang kekuasaan tuhan dan bagaimana jika dengan hanya berfirman ‘Jadilah Engkau’ maka sesuatu perkara itu boleh terjadi. Ayat ke-82 surah Yasin pula meminta kita sebagai hamba Allah mengakui kesucianNya.

Babak ini sebenarnya sudah memberi peringatan bahawa Penghulu Hitam perlu menerima apa yang terjadi ini sebagai takdir dan untuk itu selepas, Penghulu Hitam mengetahui tentang perkara buruk yang dilakukan Dara bersama-sama Aduka, Penghulu Hitam terus tegas dengan pegangannya menghukum kedua-dua mereka mengikut hukum Tuhan yang dipercayainya. Di sini kita dapat melihat bagaimana Penghulu Hitam merupakan orang yang percaya penuh dan teguh dengan setiap firman Tuhan. Kegagalan Penghulu Hitam mungkin dia tidak berjaya menyerapkan keteguhan pegangan itu kepada anaknya, Dara.

You may be interested

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka
Ulasan Filem
2226 views
Ulasan Filem
2226 views

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka

Kakisinema - 19 March, 2018

Bujang Lapok (1957) muncul pada tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Filem ini merupakan filem yang memaparkan masyarakat moden dengan pekerjaan…

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir
Filem Terkini
426 views
Filem Terkini
426 views

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir

Kakisinema - 18 March, 2018

LANGSUIR menceritakan kisah cinta dua dunia antara Azlan (Syafiq Kyle) dan Suri (Hannah Delisha). Mereka bertemu ketika Azlan dan kawan-kawannya berkunjung…

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu
Ulasan Filem
4509 views
Ulasan Filem
4509 views

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu

Kakisinema - 18 March, 2018

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat melihat wujud satu trend yang tidak sihat pada kutipan filem tempatan di panggung.…