Mohd Noor Kassim Dan Dunia Sinematografi

4 March, 2018
4152 Views

MOHD NOOR KASSIM nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau merupakan antara Pengarah Sinematografi terkenal negara dan pernah memenangi anugerah Pengarah Sinematografi terbaik di Festival Filem Malaysia melalui filem Setem dan Hikayat Merong Mahawangsa.

Namun pada Ogos 2016, Mohd Noor mencipta kejutan apabila memulangkan kembali dua trofi yang dimenanginya itu sebagai tanda protes terhadap keputusan penganjur Festival Filem Malaysia Ke-28 mewujudkan dua kategori berbeza untuk pencalonan filem terbaik.

Kami di Kakisinema berkesempatan menemubual Mohd Noor dan bertanyakan beberapa perkara yang menarik.

Adakah sinematografi diletakkan pada kedudukan sewajarnya dalam sinema Malaysia?

Saya rasa tidak, keadaan di Malaysia boleh dikatakan 50-50. Sebab bagi orang yang faham apa itu sinematografi, dia akan letak sinematografi pada tempat yang sewajarnya. Namun begitu apabila kita bekerja dengan orang yang tidak tahu apa itu sinematografi, bermakna sinematografi sudah jadi third layer atau fourth layer. Di Malaysia kini sudah menjadi terlalu mudah untuk bergelar Pengarah Sinematografi.

Apakah yang membuatkan sesebuah filem itu dianggap baik, khasnya dari sudut sinematografi?

Ini boleh dilihat apabila sinematografi itu tidak berlebih-lebih daripada cerita. Sinematografi itu bergerak secara selari dengan story. Barulah bagi saya ia dianggap sebagai sinematografi yang baik. Kita juga harus faham bahawa terdapat perbezaan antara gambar cantik dengan sinematografi yang baik. Kedua-duanya sangat berbeza.

Dunia sinematografi tidak dapat lari dari kepesatan teknologi. Bagaimanakah saudara melihat perubahan pada hasil kerja sendiri dalam soal ini? Misalnya apabila pembikinan filem beralih ke era digital.

Shoot on film still the best! Sebab itu, pengarah-pengarah besar Hollywood macam (Christopher) Nolan, (Quentin) Tarantino, macam (Martin) Scorsese, mereka tak mahu berubah lagi ke digital. Namun begitu, di Malaysia bagi saya digital banyak membantu dari segi bajet. Cuma wujud masalah dan ia bukan masalah pada digital itu, Namun apabila digital ada, ia disalah gunakan dengan proses penggambaran tidak lagi mengikut disiplin dalam filmmaking. Bila sudah guna digital, kita lantak buat lapan ke sembilan scene satu hari. Ini merupakan satu perkara yang salah. Digital ini cuma tool, tetapi disiplin untuk shooting filem itu kena diteruskan. Tak kisah kita shoot pakai apa sekali pun, disiplin itu paling penting bagi saya.

Kini saudara dilihat serasi bekerja dengan sesetengah pengarah sahaja. Apakah yang mempengaruhi saudara dalam memutuskan perkara ini?

Ini berlaku kerana saya mahu bekerja dengan pemikir. Pengarah yang boleh berfikir dan faham medium filem itu apa sebenarnya dan memahami filem sebagai ideologi. Jadi saya nak bekerja dengan pengarah yang ada ideologi. Bagi saya masa untuk try and error sudah tamat. Kata orang masa untuk cari duit itu sudah tamat. Apa yang kita boleh buat pada masa sekarang ialah untuk angkat karya kita pergi lebih jauh. Ini kerana kita sudah ketinggalan jauh dengan negara seperti Indonesia. Negara seperti Korea yang dilihat baru juga sudah tinggalkan kita jauh. Jadi masa untuk try and error sudah tiada lagi.

Apakah pengalaman terbaik saudara sebagai seorang sinematografer?

Semua filem yang saya buat itu adalah pengalaman yang terbaik. Baik filem itu bagus atau tidak atau ada yang tidak dapat disiapkan sepenuhnya, bagi saya itu semua adalah pengalaman yang terbaik.

Siapakah pengaruh terbesar saudara dalam bidang filem dan apakah karya yang sering menjadi rujukan?

Quentin Tarantino, Oliver Stone, Francis Ford Coppola dan Stanley Kubrick. Kalau Malaysia Razak Mohideen (Ketawa).

Bagaimanakah saudara melihat keadaan pekerja filem di Malaysia?

Keadaan bekerja di Malaysia sangat daif. Siapa yang berminat menjadi kru di Malaysia ini, perlu fikir habis-habis. Ia bukan lagi tahap pelacur, ia mungkin sudah sampai ke tahap sampah. Walaupun sebenarnya mereka ini ialah tulang belakang, tapi tiada penghargaan diberikan. Di Malaysia kita tidak menghargai pekerja di belakang tabir.

You may be interested

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka
Ulasan Filem
2133 views
Ulasan Filem
2133 views

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka

Kakisinema - 19 March, 2018

Bujang Lapok (1957) muncul pada tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Filem ini merupakan filem yang memaparkan masyarakat moden dengan pekerjaan…

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir
Filem Terkini
324 views
Filem Terkini
324 views

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir

Kakisinema - 18 March, 2018

LANGSUIR menceritakan kisah cinta dua dunia antara Azlan (Syafiq Kyle) dan Suri (Hannah Delisha). Mereka bertemu ketika Azlan dan kawan-kawannya berkunjung…

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu
Ulasan Filem
4447 views
Ulasan Filem
4447 views

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu

Kakisinema - 18 March, 2018

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat melihat wujud satu trend yang tidak sihat pada kutipan filem tempatan di panggung.…