Pengabdi Setan Merasuk Siapa?

2 March, 2018
227 Views

Ramai orang menonton Pengabdi Setan arahan Joko Anwar dan kita melihat ramai juga yang memberikan reaksi positif selepas menonton filem ini. Saya melihat hal ini amat baik kerana filem Indonesia dilihat sukar memasuki pasaran Malaysia walaupun jarak kedua-dua negara tidaklah begitu jauh. Sedangkan asap jerebu boleh sampai, inikan pula filem dari sana. Namun itu tidak berlaku. Indonesia sebenarnya memiliki banyak filem-filem berkualiti yang menarik untuk ditonton dan ruang untuk filem-filem yang baik ini memasuki negara kita harus dibuka seluas-luasnya.

Pegabdi Setan arahan Joko Anwar ini ialah satu adaptasi terhadap filem dengan judul yang sama arahan Sisworo Gautama Putra pada tahun 1980. Ia bukan satu bikinan semula, tetapi satu percubaan Joko untuk memberikan kesegaran kepada sebuah filem yang sudah mencapai status cult.

Saya tertarik dengan rupa filem ini termasuk gerak kamera dan visualnya yang menawan hati dan mata. Ini merupakan sebahagian daripada aspek kerajinan membikin yang dapat dikesan. Joko seorang yang rajin mahu filemnya dilihat sedap di mata dan mencengkam di hati.

Namun saya agak tidak selesa dengan perkembangan karakter dan pembentukan cerita yang dilihat tidak berkembang dengan baik. Namun hal berkenaan ditampung dengan kerajinan Joko dalam membentuk visual filem ini. Saya suka menekankan hal kerajinan ini kerana kita sentiasa boleh melihat hasil orang rajin dan orang malas membikin filem.

Bau Rosemary’s Baby arahan Roman Polanski pada tahun 1968 cukup kuat dapat dihidu di dalam Pengabdi Setan oleh Joko Anwar ini. Kita akan sentiasa teringat-ingat filem Polanski itu dalam beberapa babak yang cenderung membincangkan hal yang sama.

Namun begitu, satu aspek yang jarang diterokai apabila membicarakan filem ini ialah kedudukan agama yang digambarkan. Adakah Pengabdi Setan ini sebuah filem anti-agama? Itu kita tidak boleh memastikannya. Namun dalam beberapa keadaan perkara itu seperti satu kenyataan. Misalnya pengakuan kehidupan keluarga yang tidak bersolat dan pengakuan itu dilaksanakan dengan jujur tanpa apa-apa perasaan bersalah.

Babak lakonan Bront Palarae yang senyap ketika selawat dibacakan mungkin juga boleh ditafsirkan sebagai orang yang tidak mempercayai agama dan menganggap agama sebagai sebahagian daripada hal yang karut. Kematian orang-orang agama yang kuat bersolat dan beribadah di tangan Setan juga menguatkan lagi hal tentang bagaimana aspek anti-agama ini diterokai.

Begitu juga dengan babak ketika bersolat Setan datang mengganggu dan sempat pula menyelinap ke dalam kain telekung, seperti Setan itu tidak langsung bimbang dan takut dengan apa yang berlaku atau dengan ibadah yang sedang dibuat.

Satu hal yang lebih ketara ialah ketika di babak hujung bagaimana skirt dipakai Rini (lakonan Tara Basro) semakin pendek walaupun selepas diganggu Setan dan ini tidak menggambarkan rasa dekatnya terhadap agama.

Namun kita boleh juga membaca hal ini sebagai satu pertentangan lain di mana Setan tidak bimbang dengan orang yang berpura-pura atau terdesak dengan ibadahnya. Saya begitu tertarik dengan bagaimana Joko meneroka hal kedudukan agama di dalam filem ini. Berbeza dengan filem di tahun 1980 di mana penghujungnya semua ahli keluarga menjadi insaf dan kelihatan keluar dari Masjid, namun Pengabdi Setan di tangan Joko Anwar, keluarga itu masih menjalani hidup seperti biasa dan menunggu masa diganggu lagi.

You may be interested

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 4)
Pendidikan
6 views
Pendidikan
6 views

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 4)

Kakisinema - 17 October, 2018

Esei ini diterbitkan dalam beberapa siri dan ini ialah Bahagian Keempat. Teori Feminisme Feminisme merupakan gerakan yang memperjuangkan keadilan dan…

KEANGGUNAN SINEMA PUITIS DALAM DUKUN (2018)
Pendidikan
74 views
Pendidikan
74 views

KEANGGUNAN SINEMA PUITIS DALAM DUKUN (2018)

Kakisinema - 17 October, 2018

Bagi mengaitkan antara seni puisi dengan seni sinema, kita seyogia kembali kepada pelopor-pelopor dalam kedua-dua bidang. Robert Frost, penyair terkenal…

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 3)
Pendidikan
68 views
Pendidikan
68 views

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 3)

Kakisinema - 16 October, 2018

Esei ini diterbitkan dalam beberapa siri dan ini ialah Bahagian Ketiga. Maskulinti Dan Stereotaip Dalam Masyarakat Menurut Argyo (2010), hal…