Melawan Feudal Dalam Penarek Becha

28 February, 2018
3164 Views

Penarek Becha (1955) merupakan filem arahan P.Ramlee yang pertama. Filem ini dilihat biasa dan tidak ada apa-apa penonjolan isu yang istimewa, melainkan isu perbezaan taraf di antara golongan kaya dan miskin, percintaan yang tidak mendapat restu dan penindasan kepada golongan yang tidak mampu.

Filem ini memiliki sifat filem-filem dari India yang sempurna. Gaya penceritaan yang tragis dengan kemelaratan dan malang yang selalu menimpa golongan miskin. Filem ini seolah-olah meminta kita untuk bersimpati dengan golongan miskin dan mereka yang tidak memiliki kemampuan. Sememangnya jika kita mempunyai hati dan perasaan sebagai seorang manusia normal, kita akan merasa sedih dan pilu dengan nasib yang menimpa Amran dan ibunya di dalam filem ini.

Kita mulakan pembacaan filem ini dengan babak pembukaan. Kita boleh sifatkan bahawa babak pembukaan filem ini kelihatan seperti cuba zoom-in kepada kehidupan masyarakat. Dimulakan dengan kepesatan pembangunan dan kota yang penuh kemewahan kita dibawa secara pantas kepada kehidupan dan pekerjaaan golongan marhaen di dalam filem ini. Kita lihat bagaimana seorang pemuda menjual surat khabar berlari-lari untuk menjual. Ini melihatkan kepayahan untuk mendapatkan wang. Kemudian kita dibawakan pula kepada Amran, si pengayuh beca. Dua pekerjaaan ini merupakan pekerjaan marhaen dan merupakan di antara pekerjaan yang menerima upah rendah pada masa berkenaan. Zoom-in yang dimaksudkan tadi ialah daripada satu latar yang umum kita dibawakan kepada satu latar yang khusus, kehidupan marhaen dan ini menjadi petanda bahawa filem ini tentang kehidupan golongan miskin.

Kemudian kita lihat pula bagaimana ketika Amran membawa Orang Kaya Marzuki menggunakan becanya, dia melalui kawasan kediaman orang miskin dan baru sampai di rumah Orang Kaya Marzuki. Ini satu lagi bentuk peralihan latar yang menarik. Di mana melalui ini kita dapat mengetahui bahawa akan wujud pertentangan di antara miskin dan kaya dalam filem ini.

Sebaik sahaja Amran menghantar Orang Kaya Marzuki sehingga ke rumahnya, tiba masa untuk Amran mendapatkan bayaran yang setimpal. Namun, Orang Kaya Marzuki yang sepatutnya kaya dan tidak kisah dengan wang, telah membayar dengan nilai yang cukup sedikit dan tidak sewajarnya terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh Amran. Ini menjadi titik bahawa kita menyedari sikap Orang Kaya Marzuki sebagai seorang penindas dan gemar mengambil kesempatan. Apa yang lebih menarik P.Ramlee membawakan konsep budi dengan menunjukkan bahawa orang kaya miskin budi dan dalam babak seterusnya P.Ramlee menonjolkan orang miskin sebagai kaya budi.

“Encik.”

“Hey! Mengapa kau tak pergi lagi? Oh kurang ya? Kau kenal ini tak? Pergi! Bodoh!”

Selepas Amran menerima bayaran yang sedikit, dia terus bergerak ke kedai Pak Mat untuk membeli makanan. Di sini kita akan dapat melihat apa yang disebut sebelum ini sebagai orang miskin kaya budi. Pak Mat seorang yang miskin tetapi, Pak Mat telah memberi nasi percuma kepada Amran tanpa mengambil sebarang wang tambahan dan kemudian Amran, apabila bertembung dengan seorang peminta sedekah telah memberikan nasi percumanya kepada peminta sedekah berkenaan. Dalam hal ini kita dapat melihat satu hierarki unik yang cuba ditonjolkan P.Ramlee. Seorang miskin (Pak Mat) membantu seorang yang lebih miskin (Amran) dan Amran pula membantu seorang yang lebih melarat hidupnya (peminta sedekah). Ini merupakan satu penonjolan kitaran hidup masyarakat yang jelas. Manusia miskin membantu sesama sendiri untuk meneruskan hidup.

Suntingan di dalam filem ini juga menarik apabila dalam satu babak semasa ribut melanda rumah Amran, kamera memberi fokus kepada nasi di dalam pinggan yang tidak sempat dijamah Amran sudah basah dan tidak boleh dimakan lagi, daripada shot nasi di dalam pinggan berkenaan, transisi babak berlaku dan kamera menunjukkan kek yang sudah siap di kelas yang dihadiri anak Orang Kaya Marzuki, Azizah. Pinggan berkenaan berbentuk bulat dan kemudian beralih kepada kek yang juga berbentuk bulat dan kedua-duanya ialah makanan. Bezanya ialah nasi di dalam pinggan Amran amat penting untuk kelangsungan hidup, namun kek di tempat Azizah belajar hanya untuk hiasan dan sekadar suka-suka.

Babak di Kelab Melati Joget yang melibatkan Ghazali lakonan Salleh Kamil juga memiliki sifat dan makna yang tersendiri. Ketika pengacara di kelab berkenaan mengumumkan mengenai persembahan berikutnya ialah tarian Inang Baru, Ghazali menjerit tidak mahu menonton tarian berkenaan, sebaliknya dia mahukan Samba. Dalam babak ini P.Ramlee cuba menonjolkan sikap golongan Melayu kaya atau aristokrat yang lupa tentang soal jati diri dan tidak lagi mengenal asal dan kebudayaan sendiri, sebaliknya lebih berbangga dengan budaya dan cara hidup berbeza. Ini merupakan satu sindiran dan Ghazali sebenarnya menjadi lambang kepada aristokrat Melayu yang berlagak moden tapi sudah terlupa siapa dirinya yang sebenar. Ghazali menganggap joget itu bukan tarian yang bagus, tetapi samba lebih bagus daripada itu.

“Minta perhatian! Minta perhatian! Saudara dan saudari yang dihormati sekalian, sekarang kita meneruskan exhibition kita yang penghabisan ya itu merupakan satu tarian yang bernama Inang Baru!”

“Hey! Kita tak mahu exhibitionlah! Kita mahu Samba! Apa duit kita tak laku ke?”

“Bukan fasal duit tak laku saudara, tapi ini fasal exhibition. Saudara-saudara saksikanlah tari Inang Baru!”

“Hey! Sambalah! Lagu joget pula orang minta Samba. Mari kita baliklah, menyampah aku!”

“Asyik lagu joget sahaja. Mereka ni tak tahu menari ke?”

Kita dapat melihat juga bagaimana P.Ramlee menggambarkan manusia atau golongan kaya yang suka menindas, seharusnya diajar dengan tindakan berani dan tegas. Ini dapat dilihat pada babak Orang Kaya Marzuki cuba menahan dan menaiki beca untuk pulang ke rumah dan meminta tambang yang cukup murah dikenakan kepadanya. Tiga penarik beca dalam babak ini semuanya mengenakan caj seringgit ke atas dan Orang Kaya Marzuki hanya mahu membayar 25 sen. Satu jumlah yang terlalu murah. Dua penarik beca sebelumnya tidak melayan Orang Kaya Marzuki dan terus berlalu sahaja, tetapi penarik beca ketiga bertindak lebih berani dengan mencampakkan tongkat sebelum menolak Orang Kaya Marzuki sehingga jatuh sebelum dilanggar kereta dipandu Ghazali. Tindakan penarik beca ketiga itu boleh ditakrifkan sebagai sebahagian daripada reaksi yang muncul dan boleh berlaku kepada golongan marhaen jika nasib dan hidup mereka dipermainkan. Nasib yang menimpa Orang Kaya Marzuki, boleh sahaja menimpa sesiapa sahaja orang kaya dan yang berkepentingan jika mereka masih berterusan menindas untuk menunjukkan kuasa.

Namun, sindiran paling tajam dalam filem ini ialah semasa babak Orang Kaya Marzuki sudah keluar hospital dan tiba di rumah ditemani Ghazali. Orang Kaya Marzuki masuk ke biliknya dan Ghazali mengekori di belakang. Semasa berbaring, Orang Kaya Marzuki menyebut nama-nama Tuhan, Ya Allah, Ya Karim dan yang lebih menarik di dinding bilik Orang Kaya Marzuki dan tepat di atas kepalanya tergantung kalimah suci, Bismillahirahmanirahim (Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani). Apa yang disindirkan P.Ramlee ialah walaupun Orang Kaya Marzuki mengingati Tuhan dia tetap kejam dan Tuhan sebenarnya hanya pada bibirnya semata-mata dan untuk Ghazali, walaupun berdepan dengan kalimah paling agung dalam agama sendiri, Ghazali masih berani memfitnah dan menebar pembohongan apabila mengatakan yang buruk-buruk tentang Amran. Fitnah ini menyebabkan Orang Kaya Marzuki hilang pertimbangan walaupun baru selesai menyebut nama Tuhan. Kesan daripada fitnah di depan nama Tuhan ini, Amran dihalau dan Azizah dimarahi dengan tanpa usul periksa. Ini adalah satu sonsangan, sewajarnya Orang Kaya Marzuki, seorang yang mengingati Tuhan, pasti memiliki pertimbangan yang baik, namun P.Ramlee menunjukkan bahawa orang yang kejam dan bersifat penindas tidak mempedulikan agama dan kalau pun mereka ambil peduli tentang agama, ia hanya untuk kepentingan diri semata-mata. Kalimah tentang kasih sayang dan sifat pemurah itu seperti tidak mempunyai kesan apabila Orang Kaya Marzuki dikenali sebagai seorang yang tidak memiliki sifat penyayang dan selain itu dia bukan orang yang pemurah apabila sering berkira tentang harta dan selalu menghina orang yang miskin. Ini ialah kontradiksi sifat manusia yang ditonjolkan P.Ramlee. dan jelas merupakan satu sindiran dan peringatan yang cukup baik di dalam filem ini.

Ghazali di dalam filem ini merupakan watak jahat dan dikenali sebagai seorang penipu dan juga menyimpan hasrat mahu mencuri harta Orang Kaya Marzuki. Dalam satu babak ketika Ghazali mengejar Amran selepas Amran bertemu dengan Azizah di taman, Ghazali memekik pencuri! Pencuri! Menarik apabila Ghazali menjerit dan memekik kononnya sedang mengejar pencuri, sedangkan dirinya sendiri ialah pencuri sebenar.

Filem ini memaparkan struktur masyarakat dengan elemen patriaki yang cukup kuat. Kita dapat lihat di dalam filem ini, lelaki menguasai segala-galanya daripada pencetus konflik sehingga kepada penyelesaian konflik. Wanita hanya pinggiran dan dipentaskan untuk menangis, mengenang nasib dan menerima sahaja apa yang diputuskan lelaki. Kedudukan wanita di dalam filem ini tidak progresif. Namun, P.Ramlee dilihat sengaja membentuk keadaan sedemikian bagi membuktikan golongan aristokrat seperti Orang Kaya Marzuki merupakan penindas termasuk kepada wanita. Penarik Becha pula boleh dianggap sebagai corak permulaan kepada karya-karya P.Ramlee seterusnya yang banyak mengangkat tema pertembungan kelas, penindasan, gila kuasa, kerenah feudalisme, kebodohan orang atasan dan yang berkaitan dengannya. Kita pun tidak tahu mengapa P.Ramlee seperti berdendam dengan golongan aristokrat dan kelas atasan.

Di dalam filem ini dua petikan dialog yang menarik perhatian ialah Kekayaan Manusia Itu Hanya Daki Dunia yang diungkapkan oleh Azizah sementara ibu kepada Amran pula menyebut  Budi Bahasa Tidak Memerlukan Modal. Dua dialog yang memiliki kualiti dan makna mendalam terhadap suasana masyarakat materialistik. Dialog ibu Amran yang mengaitkan budi bahasa dengan modal merupakan satu perbandingan yang bijak kerana ibu Amran cuba membuktikan bahawa budi bahasa bukan komoditi dagangan dan boleh diukur melalui indeks-indeks di bursa saham.

You may be interested

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 4)
Pendidikan
5 views
Pendidikan
5 views

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 4)

Kakisinema - 17 October, 2018

Esei ini diterbitkan dalam beberapa siri dan ini ialah Bahagian Keempat. Teori Feminisme Feminisme merupakan gerakan yang memperjuangkan keadilan dan…

KEANGGUNAN SINEMA PUITIS DALAM DUKUN (2018)
Pendidikan
72 views
Pendidikan
72 views

KEANGGUNAN SINEMA PUITIS DALAM DUKUN (2018)

Kakisinema - 17 October, 2018

Bagi mengaitkan antara seni puisi dengan seni sinema, kita seyogia kembali kepada pelopor-pelopor dalam kedua-dua bidang. Robert Frost, penyair terkenal…

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 3)
Pendidikan
67 views
Pendidikan
67 views

Femme Fatale, Patriarki dan Maskuliniti: Representasi Gender Dalam Filem Kala Malam Bulan Mengambang (Bahagian 3)

Kakisinema - 16 October, 2018

Esei ini diterbitkan dalam beberapa siri dan ini ialah Bahagian Ketiga. Maskulinti Dan Stereotaip Dalam Masyarakat Menurut Argyo (2010), hal…