Shanjey Kumar Perumal Dan Budaya Filem Malaysia

25 February, 2018
1794 Views

SHANJEY KUMAR PERUMAL nama yang melonjak naik melalui filem Tamil JAGAT yang begitu memberikan kesan kepada sinema Malaysia. Filem ini hangat diperkatakan dan turut merangkul beberapa anugerah penting di Festival Filem Malaysia ke-28.

Kami di Kakisinema berkesempatan bertanyakan tujuh soalan kepada Shanjey dan sama-sama kita ikuti segmen temuramah pada minggu ini.

Pada pandangan saudara adakah budaya penonton filem di Malaysia masih terpecah-pecah mengikut kaum? Misalnya filem Melayu ditonton oleh orang Melayu, filem Cina ditonton oleh orang Cina dan filem India ditonton oleh orang India?

Penonton filem Malaysia masih terpecah-pecah mengikut kaum. Tetapi saya percaya ia akan berubah di masa hadapan. Dalam kes Jagat, sambutan penonton bukan India melebihi kaum India sendiri. There will be light at the end of the tunnel.

Filem pertama anda, JAGAT mengupas realisme masyarakat India di Malaysia dan membawakan isu-isu sosial seperti kemiskinan serta kongsi gelap. Mengapa anda memilih untuk membikin filem dalam ruang tema seperti itu?

Pada mulanya, saya beranggapan saya yang bertindak memilih tema dan style bagi filem Jagat, tetapi kebelakangan ini saya sedar cerita, tema dan style itu sendiri telah memilih saya. Saya hanya sekadar alat. Pada asalnya sewaktu saya menulis Jagat 13 tahun dulu, ia merupakan cerita black comedy tetapi berkembang mengambil bentuk yang lain. Saya pernah merancang untuk menulis dan mengarah tema-tema lain yang jauh berbeza dengan Jagat, namun saya tidak berupaya kerana cerita Jagat sendiri seolah-olah menentang pembikinan cerita lain. Jagat merupakan proses healing dan mengenali diri saya.

JAGAT tidak menerima sambutan baik dari segi kutipan, tetapi menerima pujian hebat kelompok pengkritik. Bagaimanakah anda melihat persimpangan ini secara umum?

Dari segi kutipan, saya rasa Jagat masih mendapat kutipan yang baik dengan hanya 10 pawagam. Asalnya 25 pawagam tetapi berkurangan ke 15 pawagam dalam tempoh tiga hari kerana saingan filem luar. Ramai yang ingin menonton Jagat, setelah mendengar review positif tetapi tidak banyak pawagam yang menyiarkan Jagat waktu itu. Seandainya mempunyai pengedaran yang baik, saya yakin Jagat mampu mencecah kutipan asas RM1 juta. Pastinya angka ini tidak besar, tetapi saya rasa ia besar bagi sebuah filem indie tanpa pelakon besar, tema dan style yang audience friendly serta marketing yang besar. Ini bukan pandangan saya, tetapi merupakan feedback dari individu yang terlibat dalam industri tayangan filem.

Di GSC Nu Sentral, Kuala Lumpur sahaja Jagat ditayangkan sehingga sembilan minggu.

Kami (Saya dan rakan penerbit, Siva) sememangnya berhasrat untuk membikin filem yang mampu cross/hibrid dan mempunyai nilai seni tetapi pada masa sama mampu dihadam oleh penonton. Adalah penting bagi kami untuk mendapatkan local acceptance dari masyarakat Malaysia sendiri sebelum mendapat pengiktirafan luar.

Sesetengah pihak dilihat begitu teruja mahu memastikan ada filem Malaysia bertanding di Academy Awards dan sebagainya. Bagaimana saudara menilai impak penyertaan ke festival filem antarabangsa terhadap industri filem Malaysia secara menyeluruh?

Pada pandangan saya, kedua-dua usaha harus dijalankan secara serentak. Yang pertama perlu mewujudkan audience acceptance di tanah air sendiri dan yang kedua untuk membikin filem bertaraf antarabangsa. Saya tidak mahu komen banyak kerana saya masih membaiki diri dan masih di dalam proses Mastery.

Adakah usaha penapisan kandungan menganggu kebebasan kreatif seseorang pembikin filem?

Ya dan tidak. Saya percaya penapisan kandungan mampu memberi ruang kepada artis untuk menjadi lebih kreatif, yakni untuk bercerita secara lebih semiotik. Tetapi persoalannya adakah audience kita mempunyai daya intelektual dan apresiasi yang tinggi untuk memahami idea, matlamat dan falsafah artis?

Apa guna sekiranya filem sebegini hanya diiktiraf dan difahamai audience asing tetapi bukan audience tempatan? Sebab itulah kita perlu mempunyai kebebasan asas untuk memberitahu kebenaran. Sesetengah karya perlu balance dengan kebenaran atau fakta yang semiotik dan on the face agar dapat sampai kepada penonton. Di Malaysia kita tidak mempunyai kebebasan yang asas untuk bercerita secara jujur apabila melibatkan sesetengah konteks, kerana itu filem tempatan secara menyeluruh tidak ada depth dan tidak resonate dengan audience tempatan. How long you have to play safe?

Kebenaran adalah umpama bola yang disembunyikan di dalam air. Ia akan melantun jua. Just a matter of time.

Saya menaruh harapan kepada pengedaran filem menerusi Internet.

Setakat mana saudara melihat kepentingan filem dilihat sebagai satu cabang seni penting dalam sistem pendidikan negara?

Filem merupakan mother of all art. Filem berupaya menyatukan semua aspek seni dan kerana itu saya teruja untuk menjadi seorang pengarah. Ibarat permainan jigsaw puzzle. Seni harus diaplikasikan di dalam semua bidang. Seni tidak harus dilihat sekadar hiburan. Seni masih dipandang rendah. Ia bermula di sekolah lagi, apabila aliran seni dianggap rendah dari aliran sains. Masyarakat harus mempunyai balance di antara seni dan teknologi. Falsasah Timur harus hibrid dengan teknologi Barat. Lelaki mempunyai feminisme di dalam mereka dan perempuan mempunyai sifat kelakian di dalam mereka. Mana-mana ekstrem tanpa keseimbangan hanya akan menyumbang kepada kemusnahan. Pokoknya masyarakat Malaysia tidak seimbang. Filem sebagai cabang seni dalam sistem pendidikan negara akan berupaya melahirkan masyarakat yang seimbang, waras dan holistik.

Apakah usaha paling utama yang perlu dilaksanakan segera bagi meningkatkan tahap apresiasi sinema di Malaysia?

Seandainya seni filem diperkenal dalam sistem pendidikan negara, ia akan menjadi pemangkin. Saya tidak tahu bila atau adakah ini mampu terjadi di Malaysia.

Sementara menunggu, ia mampu dilakukan melalui kewujudan art movement. Indonesia telah memulakannya lebih awal dari kita. Kini boleh dikatakan di Malaysia sudah wujud pelbagai movement untuk meningkatkan tahap apresiasi sinema di Malaysia. Boleh dikatakan di Kuala Lumpur sahaja terdapat empat atau lima acara tayangan filem indie setiap minggu. Dulu hanya satu di Help Institute.

Selain itu, aspek paling penting untuk appreciate filem adalah melalui pengembangan minda yang luas. Masyarakat kita kurang membaca. Sekurang-kurangnya kita harus mempunyai pengetahuan di dalam aspek seperti kesusateraan, spiritual, falsafah, sejarah, sains dan teknologi. Setakat ini sistem pendidikan masih bergantung kepada pengetahuan sekadar memenuhi permintaan industri sahaja bukanya berasaskan kecerdasan holistik.

Apabila masyarakat sedar kita bukan sekadar konsumer yang diternak untuk membeli, menelan dan menghadam produk –produk, maka barulah akan wujud apresiasi yang sebenar. Ia merupakan impian yang besar.

You may be interested

Jentikan Semiotik Berbisa Sinema One Two Jaga (2018)
Pendidikan
183 views
Pendidikan
183 views

Jentikan Semiotik Berbisa Sinema One Two Jaga (2018)

Daniyal Kadir - 1 December, 2018

Tulisan ini telah memenangi Hadiah Sastera Selangor 2018 Kategori Esei pada 30 November 2018. Tidaklah berlebihan jika prop sinema One…

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody
Ulasan Filem
420 views
Ulasan Filem
420 views

Kejujuran Yang Hilang Dalam Bohemian Rhapsody

Kakisinema - 17 November, 2018

Bohemian Rhapsody; filem biopic kumpulan rock legenda Queen dicanang dengan tagline; The only thing more extraordinary than their music is…

Trailer Bukan Filem!
Pendidikan
223 views
Pendidikan
223 views

Trailer Bukan Filem!

Daniyal Kadir - 11 November, 2018

Baru-baru ini trailer filem Polis Evo 2 telah muncul di laman sosial dan ia merupakan perkara biasa sebagai sebahagian daripada…