Penindasan! – Pengalaman Menonton MOGOK dan SENIMAN BUJANG LAPOK

23 February, 2018
10282 Views

Mogok merupakan kaedah yang sering digunakan golongan pekerja untuk menuntut hak-hak yang disifatkan setimpal oleh mereka berdasarkan kepada kerja-kerja yang telah dilakukan. Mogok dalam istilah mudah seperti yang ditunjukkan di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat membawa makna tidak mahu bekerja. Kebiasannya mogok ini digerakkan secara bersama-sama dan melalui tindakan organisasi.

Kemunculan kesatuan sekerja di Tanah Melayu bermula sekitar tahun 1900 dan di antara mogok terawal yang pernah berlaku adalah sekitar tahun 1930an yang kemudian melahirkan gerakan buruh yang lebih besar termasuk penubuhan Pan Malayan Federation of Trade Union. Penyusupan ideologi sosialisme sebenarnya merancakkan lagi senario perjuangan golongan pekerja khususnya di Tanah Melayu. Kemunculan gerakan buruh ini bukan sahaja berlaku di kilang-kilang yang menjana perusahaan komoditi, tetapi turut dirasai kesannya dalam industri perfileman Melayu klasik.

Hal gerakan buruh dan mogok dalam industri filem Melayu khususnya di Malay Film Production adalah berkisar kepada soal kebajikan pekerja filem termasuk krew teknikal, pengarah dan pelakon sendiri. Hal-hal kebajikan ini termasuklah soal gaji, suasana kerja dan faedah-faedah lain yang difikirkan wajar diperolehi mereka. Menurut Hamzah Hussin dalam Memoir Hamzah Hussin: Dari Keris Filem Ke Studio Merdeka (Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2004) telah menyebut mengenai penubuhan Persatuan Artis Malaya (PERSAMA) pada 20 April 1954.

Menurut Hamzah, PERSAMA mempunyai undang-undang tubuh sebagai sebuah kesatuan buruh dan Persatuan ini melihatkan P.Ramlee menjadi perintis awal dan Salleh Ghani dilantik sebagai Setiausaha Agung. Objektif utama penubuhan PERSAMA ini ialah untuk menentang penindasan dan penekanan majikan terhadap pelakon dan pekerja filem. Ini jelas melihatkan bahawa pekerja-pekerja industri filem turut berdepan isu yang sama dihadapi oleh kelompok pekerja biasa yang membanting tulang di kilang-kilang dan ladang-ladang.

Pengabaian kebajikan dan soal penindasan mula muncul sekitar tahun 1950an dan akhbar The Singapore Free Press pada 10 Mac 1955 telah melaporkan mengenai
enam orang Penolong Pengarah filem yang memaklumkan mereka telah dibayar dengan gaji yang tidak setimpal dan rendah. Keenam-enam mereka yang berkhidmat di Malay Filem Production bagaimanapun tidak dinamakan di dalam laporan akhbar berkenaan. Menurut akhbar berkenaan mereka hanya menerima gaji bulanan maksimum sebanyak $210 dan paling rendah ialah $180. Mereka juga dilaporkan hanya menerima bonus bulanan sebanyak $50.

Sebagai respons kepada bayaran rendah berkenaan mereka menuntut agar diberikan kenaikan gaji sehingga 25 peratus dan bonus dinaikkan kepada $200. Menurut mereka gaji yang setimpal amat perlu memandangkan mereka perlu membantu pengarah melaksanakan kerja-kerja penggambaran, suntingan, rakaman semula dan sebagainya.

Mogok besar-besaran dalam industri filem Melayu berlaku di Malay Film Production pada sekitar Mac 1957. Menurut akhbar The Straits Times bertarikh 4 Mac 1957 langkah berkenaan diambil oleh PERSAMA selepas pihak Shaw Brothers memecat aktres Musalmah Nooralim, pelakon dan pengarah Omar Rojik dan penolong pengarah, Rohaizat yang juga merupakan Naib Presiden PERSAMA.

Menurut Salleh Ghani seperti dipetik akhbar berkenaan pemecatan berkenaan berlaku selepas PERSAMA membuat keputusan dalam satu mesyuarat untuk meminta pihak pengurusan Malay Film Production memberikan gaji yang lebih baik dan bonus yang lebih tinggi.

Menurut Salleh Ghani dalam laporan akhbar berkenaan, pihak PERSAMA telah selesai mendraf skala gaji untuk pelbagai kategori pekerja di studio yang akan melihatkan struktur gaji lebih baik bakal memberi manfaat kepada semua pekerja. Selain itu, ketiga-tiga mereka yang dipecat juga merupakan individu yang aktif di dalam PERSAMA dan dilihat boleh menggugat pihak majikan.

Selepas beberapa hari dua lagi pekerja filem menerima nasib yang sama dan turut dipecat. Kedua-duanya ialah Syed Hassan Al-Sahab dan S. Kadarisman. Pihak Shaw Brothers menganggap kelima-lima pekerja filem berkenaan dipecat kerana kerja mereka tidak memuaskan hati dan dilihat cuba melawan majikan. Sehubungan itu, desakan untuk mengambil semula mereka tidak akan dilayan.

Rohaizat seperti dipetik dalam akhbat The Straits Times bertarikh 7 Mac 1957 memaklumkan bahawa PERSAMA telah memutuskan untuk mengadakan mogok
pada 16 Mac 1957, jika tuntutan mereka untuk menarik semula pemecatan kelima-lima pekerja filem berkenaan tidak diendahkan oleh pihak Studio. Menurut Rohaizat, 120 pekerja filoem termasuk penolong pengarah, juruteknik, kru dan penulis lagu akan terlibat dalam mogok berkenaan. Namun, pekerja-pekerja kontrak tidak akan mengambil bahagian.

Ketika Tanah Melayu sedang sibuk menguruskan kemerdekaannya, delegasi PERSAMA yang diketuai P.Ramlee telah bertemu dengan Ketua Menteri Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman untuk meminta beliau campurtangan dalam penyelesaian pertikaian di antara pihak PERSAMA dan Shaw Brothers. Perkara ini telah dilaporkan oleh akhbar The Straits Times pada 14 Mac 1957.

Delegasi berkenaan telah memberitahu Tunku bahawa lima rakan mereka telah dipecat dan pihak Studio enggan membuka sebarang pintu rundingan. Dalam pertemuan berkenaan Tunku telah menasihati pihak PERSAMA agar tidak melakukan apa-apa tindakan yang dilihat ekstrem dan meminta supaya jalan rundingan dibuat. Namun begitu, PERSAMA tetap bertegas untuk meneruskan mogok jika tiada sebarang tindakan penyelesaian dapat dipersetujui.

Pihak Shaw Brothers ternyata tidak senang dengan tindakan PERSAMA dan mereka telah mengeluarkan amaran kepada mana-mana pekerja filem yang terlibat dengan mogok yang dijadualkan pada 16 Mac 1957 akan dipecat serta-merta. Pertikaian ini juga mendapat perhatian Jabatan Buruh dan kedua-dua pihak telah dijemput untuk mengadakan rundingan secara terbuka, namun pada peringkat awal rundingan berkenaan menemui jalan buntu.

Sebagai memperhebat lagi usaha untuk meneruskan mogok, PERSAMA telah merancang untuk mengadakan Majlis persembahan selama dua malam yang dikenali sebagai ‘Malam Suka Duka’ di Stadium Happy World. Seramai 23 pelakon termasuk P.Ramlee terlibat dalam persembahan berkenaan. Majlis ini bertujuan untuk mengutip dana bagi melancarkan mogok yang telah dijadualkan sebelum ini.

Seperti yang telah dirancang dan disebabkan segala rundingan menemui kegagalan maka PERSAMA telah melancarkan mogok di Malay Film Production. Mogok ini melibatkan 120 pekerja filem. Susulan daripada mogok berkenaan, pihak Shaw Brothers melalui jurucakapnya T.K. Lee meminta untuk semua pekerja filem memberikan kerjasama penuh kepada pihak Studio.

Menurut T.K. Lee, syarikat mengalami kerugian saban tahun kerana proses pembikinan filem melalui suasana sukar kerana kos produksi yang tinggi dan gaji yang dibayar kepada semua pekerja termasuk pelakon mencecah $36,000. Kos berkenaan tidak termasuk bayaran kerja lebih masa dan bonus. Pihak Shaw Brothers menganggap walaupun gaji yang diberikan mencukupi, namun jumlah filem yang berjaya diterbitkan pada tahun 1956 adalah rendah dan pihak Shaw Brothers menganggap perkara ini terjadi kerana pekerja-pekerjanya tidak bekerja dengan cukup dedikasi. Pihak Shaw Brothers juga menganggap pihak pekerja seperti tidak mahu mendengar masalah yang dihadapi pihak Studio.

Pihak Shaw Brothers juga dilihat cuba mengheret kerajaan untuk turut bersama-sama dalam kancah pertikaiannya dengan pekerja sendiri. Seperti dilaporkan akhbar The Straits Times pada 21 Mac 1957, Malay Film Production yang terkesan akibat mogok yang dilancarkan PERSAMA, dilihat cuba menarik simpati kerajaan apabila menyebut agak sukar untuk industri filem Melayu terus berdiri teguh, kecuali pihak kerajaan dapat memberikan subsidi untuk membantu studio-studio filem.

Sepanjang mogok berlangsung, proses rundingan tetap berjalan dan akhirnya Tunku Abdul Rahman bersetuju menghantar wakilnya, Senu Abdul Rahman untuk berbincang dengan pihak pekerja dan majikan dan mencari jalan penyelesaian. Akhirnya setelah 23 hari bermogok, PERSAMA bersetuju untuk menghentikan mogok dan mencari jalan damai dengan majikan mereka. Usaha wakil Tunku sememangnya dihargai oleh kedua-dua pihak. Salleh Ghani mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan inisiatif yang diambil oleh Senu Abdul Rahman dalam menyelesaikan pertikaian ini.

Senu dalam laporannya kepada Tunku, turut menganggap pemilik Malay Film Production, Run Run Shaw sebagai seorang yang ikhlas dan memberi kerjasama penuh untuk mengatasi masalah mogok ini. Dalam persetujuan yang dicapai, Run Run Shaw bersetuju untuk mengambil semula lima pekerja filem yang dipecat dan beliau menggesa mereka untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak studio. Beliau juga memutuskan untuk menamatkan kerja lebih masa dan semua pekerja filem termasuk pelakon perlu melapor diri tempat pada masa.

Selepas persetujuan dicapai, pihak PERSAMA juga memberi jaminan akan terus menghasilkan lebih banyak filem yang bermutu pada masa akan datang. Filem
pertama yang memulakan penggambaran kembali selepas mogok 23 hari ini ialah filem Pancha Delima yang diarahkan oleh P.Ramlee.

Beberapa bulan selepas mogok berkenaan, pada bulan Julai tahun yang sama sebuah filem berjudul Mogok telah dilancarkan. Ironinya filem ini diterbitkan oleh Malay Film Production dan diarahkan oleh K.M Basker dan lakon layarnya ditulis oleh Jamil Sulong dan Omar Rojik bertindak sebagai penolong pengarah. K.M. Basker merupakan seorang pengarah berasal dari India yang sering dikaitkan dengan ideologi perjuangan golongan pekerja. Malah menurut Hamzah Hussin ketika K.M. Basker berkhidmat di Studio Cathay Keris pada awal tahun 1960an, beliau merupakan individu yang bertanggungjawab membawa pengaruh gerakan buruh kiri dikenali sebagai Kesatuan Sekerja Umum Singapura (SATU) ke Studio berkenaan.

Lebih menarik, kebanyakan pelakon yang terlibat dalam filem Mogok ini ialah mereka yang terlibat dalam mogok sebenar pada 16 Mac 1957 seperti Omar Rojik, S.Kadarisman, S.Shamsuddin dan Mustarjo. Mogok menampilkan Ahmad Mahmud sebagai hero di samping Saadiah, Daeng Idris, Mariani, Siti Tanjung Perak.

Filem Mogok (1957) menjalani penggambaran di rumah Run Run Shaw di Singapura dan di kilang National Carbon (Union Carbide) yang mengeluarkan jenama bateri Eveready. Selain itu, terdapat penggambaran babak mogok di dalam filem ini yang turut dijalankan di Malay Film Production. Seolah-oleh menghimbau kembali detik-detik mogok sebenar yang bermula pada 16 Mac 1957.

Walaupun kisah di dalam filem Mogok ini bukanlah memaparkan sebuah kisah perjuangan golongan pekerja secara total dan tidak melihatkan kekuatan yang mampu menumbangkan majikan, namun beberapa babak yang berlaku dalam filem ini sudah cukup membuktikan niat filem ini dibikin. Kita tidak perlu menyeluruhi filem ini untuk kita mengetahui bagaimana bijaknya arahan dan lakon layar filem ini menggunakan ruang yang ada untuk memberikan paparan nyata tentang mogok sebenar yang berlaku sebelum ini.

Agak aneh untuk pihak Malay Film Production membenarkan filem tentang mogok dibikin, tambahan pula ketegangan di antara pekerja dan majikan kedua-dua pihak baru sahaja reda. Ini mungkin boleh dilihat sebagai kesediaan pihak Shaw Brothers mahu dilihat terbuka kepada idea dan kemahuan pekerja-pekerja di studionya.

Babak pembukaan filem ini sebenarnya satu kejutan kepada kita yang mengikuti suasana mogok yang berlaku selama 23 hari bermula pada 16 Mac 1957. Lihat apa yang dihasutkan watak Hamid lakonan Omar Rojik di dalam filem ini. Pemecatan Omar Rojik dari Malay Film Production sebelum ini menjadi salah satu sebab utama mengapa PERSAMA mahu menganjurkan mogok.

“Cuba engkau orang semua fikir berapa lama kita boleh tahan kerja ini macam?! Macam lembu! Jangan dengar kata Ismail, dia suruh kita sabra tapi berapa lama yang kita boleh sabar? Kalau kita mahu terlepas daripada hidup yang seperti ini, kita mesti mogok!”

“Kau fikir kalau mogok, bolehkah terbela nasib kita?”

“Tentulah! Kau tahu berapa pekerja-pekerja di Kilang Getah Batu Lima itu dapat? Tiga kali ganda tau!”

“Macam mana boleh dapat begitu sekali?”

“Mogok!”

“Mogok! Mogok! Mogok! Mengapa menghabiskan masa berbual fasal mogok? Memang kita kais pagi makan pagi, tetapi dengan secara mogok yang mengejut, bolehkah terbela nasib kita? Aku percaya, jikalau kita tergopoh-gopoh dengan mogok, nanti nasib kita serupa dengan buruh-buruh yang lain, terpaksa menganggur kerana kilangnya terpaksa ditutup. Hey! Kita ada mempunyai ketua, Ismail dan kita ada mempunyai persatuan, biarlah committee-committee kita merundingkan hal ini secara teratur dan damai. Pergi kerja! Kerja cepat!”

Walaupun kita tahu, watak Hamid lakonan Omar Rojik di dalam filem ini berperanan negatif dan tujuannya menimbulkan mogok hanya untuk kepentingan diri sendiri sahaja, namun kita lupakan peranannya di dalam filem, tetapi kita sama-sama ingati peranannya di dalam mogok yang sebenar. Inilah keistimewaan filem ini. Kita jadi seperti lupa dengan niat mogok di dalam filem, tetapi lebih tertarik kepada peristiwa mogok sebenar yang berlaku sebelum itu.

Babak perbincangan tentang keraguan sama ada wajar atau tidak mogok dilancarkan turut menarik perhatian. Ismail lakonan Ahmad Mahmud yang dilihat sebagai ketua pekerja dipaparkan sebagai seorang yang rasional dan mahu berlembut dengan pihak majikan. Ismail cenderung dengan kaedah diplomasi dan tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru kerana bagi Ismail, mogok lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding manfaat.

Soal keraguan ini juga di antara perkara yang membelenggu mogok sebenar pekerja filem di Malay Film Production. Ini kerana terdapat kebimbangan tentang bagaimana pekerja-pekerja filem yang bermogok itu dapat menyelesaikan soal kelangsungan hidup dalam tempoh bermogok.

“Nampaknya Encik Salleh masih tetap tidak mahu memenuhi permintaan kita.”

“Kalau begitu, apa lagi yang kita tunggu? Saya cadang kita jalankan mogok.”

“Ya! Itu betul!”

“Kawan-kawan, mogok pun bukan boleh begitu sahaja. Kan memerlukan masa dan susunan?”

“Kita mogok kilat! Dengan secara mengejut sahaja kilang ini akan terhenti kerja! Kita akan tunjukkan kepada Salleh bahawa kita ini bukan binatang yang hendak diperbodoh-bodohkan!”

“Ya! Itu betul kata Encik Hamid.”

“Terima kasih. Saya memang tahu jiwa kawan-kawan semua jiwa perjuangan. Sekaranglah masanya kita bertindak. Kita tidak boleh seperti Ismail, banyak cakap tapi tak bekerja! Sekarang mana kawan-kawan yang setuju dengan mogok ayuh angkat tangan!”

“Kita mogok!”

“Ha! Tengok Mail, semua orang mahu mogok.”

“Mogok…Ya! Dalam suasana ini nampaknya kawan-kawan semua cukup bersemangat. Saya percaya. Tapi, apakah betul kawan-kawan semua sanggup mogok? Mogok bererti menderita. Sudah adakah cadangan kawan-kawan untuk menentang penderitaan itu? Sudah adakah kita wang untuk membantu anak dan isteri kita kalau mogok kita ini berpanjangan? Yang kita lawan kawan-kawan bukan orang miskin, orang kaya! Dia tidak akan susah, dia tidak akan menderita! Tetapi kita yang harus menderita! Kita yang harus ada mati kelaparan kawan-kawan! Di samping itu ya, kita harus awas, mungkin ada di antara kita yang sanggup bermuka-muka untuk kepentingan dirinya sendiri. Mungkin ada yang mahu menjadi batu api kalau semangat kita patah kawan-kawan! Dan banyak kejadian-kejadian yang harus berlaku kalau mogok kita, kita teruskan! Saya bukan takut mogok, saya bukan melarang kawan-kawan semua mogok! Tetapi, saya cadangkan walaupun kita mahu mogok kawan-kawan kita harus menyusun terlebih dahulu bagaimana kata Abang Ali tadi. Dan lagi ya, Encik Hamzah telah pun bercadang dan berjanji mahu merundingkan hal ini dengan majikan sekali lagi.”

“Itu bagus! Itu betul! Saya sokong!”

“Kawan-kawan, nampaknya semangat yang berkobar-kobar tadi telah mulai sejuk. Jangan jadi perempuan muda pengecut! Mari kita bertindak sekarang juga!”

“Sabar kawan-kawan, jangan terburu nafsu. Saya fikir lebih baik kita ikut cakap si Ismail. Biar lambat asal selamat. Bukan begitu Mail?”

“Ya. Biar kita sesal dulu jangan sesal kemudian kawan-kawan. Saya kalau tak memikirkan kerana kawan-kawan semua, saya tidak peduli apa kawan-kawan mahu buat! Tetapi, gunung biar sama kita daki, kalau lurah juga biar sama kita turuni.bukan dengan gopoh kita harus melompat dalam gelap kawan-kawan. Betul tak?”

“Itu betul!”

“Tapi kawan-kawan…”

“Sudahlah Hamid! Ikut cakap si Ismail sudah.”

Begitu juga dengan apa yang diutarakan Hamzah watak yang dimainkan oleh S.Kadarisman (yang turut dipecat sehingga mencetuskan mogok dalam realiti). Hamzah ialah pengurus di kilang milik Encik Salleh. Pekerja-pekerja di kilang ini sering bersungut untuk mendapatkan kenaikan gaji dan pelbagai faedah lain. Seperti watak Hamid tadi, watak Hamzah juga memiliki peranan negatif, namun kita boleh lupakan negatif itu apabila kita mengaitkan S.Kadarisman dengan mogok sebenar yang berlaku dan apa yang dinyatakan Hamzah kepada Encik Salleh berkenaan dengan tuntutan pekerja di kilangnya.

“Tuntutan mereka sangat tak munasabah. Cuba Encik dengar. Gaji mereka minta naik sampai 50 percent. Cuti tahunan tiga minggu dengan ada gaji. Belanja ubatan
percuma untuk mereka dan keluarga mereka. Bonus tahunan mesti ada. Sudahlah itu, mereka mahu masa bekerja dikurangkan pula.”

Walaupun tuntutan yang dinyatakan oleh Hamzah ini bertujuan untuk memburuk-burukkan pekerja di kilang berkenaan di hadapan Encik Salleh, namun secara realitinya, S.Kadarisman seolah-olah meluahkan tuntutan realiti pekerja filem di dalam filem ini. Tuntutan yang disebutkan Hamzah itu hampir sama dengan tuntutan yang dibuat oleh pekerja filem di Malay Film Production, lebih-lebih lagi soal kenaikan gaji dan pemberian bonus.

Filem ini seolah-olah memiliki dua muka dalam penceritaannya, satu bercerita tentang filem ini, satu bercerita tentang realiti yang dihadapi oleh pekerja-pekerja filem. Itu yang dinyatakan sebelum ini, lupakan penceritaan di dalam Mogok, sebaliknya kita perlu mengingati apa yang berlaku di alam realiti. Filem Mogok ini merupakan satu manifestasi bagaimana niat pembikinan itu mengatasi filem itu sendiri.

Semasa babak Siti (Siti Tanjung Perak) mengugut Idris (S.Shamsudin) untuk menceritakan hubungan terlarang di antara Hamzah dan Zaiton, Siti meminta wang daripada Idris dan Idris yang dalam ketakutan mengeluarkan segala isi dompetnya termasuk apa yang disebutnya sebagai tiket Happy World. Ini seolah-olah menunjukkan yang watak Idris itu hadir ke ‘Malam Suka Duka’ di Stadium Happy World.

Walaupun filem ini boleh dianggap baik dalam menyampaikan kritikan berhubung isu penindasan terhadap golongan pekerja khususnya seperti yang kita fahami, nasib golongan pekerja filem, namun Mogok seperti bermain di atas garis sempadan dan kritikan yang disampaikan itu cuba diperlahankan momentumnya di separuh masa filem ini apabila beberapa kali diulang-ulang berkenaan tiada manfaat untuk melawan dengan kekerasan dan watak Encik Salleh, majikan dan pemilik kilang berkenaan juga dipaparkan sebagai manusia yang mulia dan sentiasa mempercayai dan menghargai kelompok pekerjanya.

Filem ini meletakkan watak Hamzah dan isteri Salleh, Zaiton lakonan Mariani sebagai watak yang menimbulkan masalah kepada golongan pekerja dan mengkhianati amanah yang diberikan oleh Salleh. Akhirnya filem ini bukan lagi berfokus kepada mogok, tetapi soal perancangan Hamzah dan Zaiton yang mahu merampas harta Salleh.

“Hamzah! Aku tak mahu pemogokan berlaku dalam kilangku itu. Aku kenal hampir semua pekerja-pekerja itu kerana mereka sudah lama bekerja dengan aku. Pendeknya, merekalah yang memajukan dan membesarkan perusahaanku itu. Lagi pun kilang itu sekarang membuat keuntungan bukan merugikan. Jadi kalau mahu bertolak ansur kita boleh tunaikan permintaan mereka.”

“Encik tak tahu pekerja-pekerja ini, kalau diberi muka nak kepala terus. Mereka tak ada otak. Mereka tak ada fikir bagaimana susahnya encik mengeluarkan modal
untuk mendirikan kilang ini. Kalau tak ada encik mereka entah dimanakah dah mengganggur!”

“Aku tak setuju dengan fikiran kau tu Hamzah. Aku percaya merekalah yang menyebabkan aku boleh jadi senang begini. Jadi setidak-tidaknya kita harus membalas jasa-jasa mereka. Bukan kita berkeras kepala hingga menimbulkan huru-hara dengan adanya pemogokan.”

“Kalau mereka mogok takkan tahan lama dengan tak bergaji encik, bila lapar mereka akan tunduk semula dengan kita.”

“Aku kata aku tak mahu ada huru-hara ataupun mogok. Aku mahu pekerja-pekerja itu ada pertalian rapat dengan aku bukan bermusuh-musuh sehingga semua pekerjaan nanti tak beres.”

Melalui babak ini, kita sebenarnya mampu mengesan manifestasi pembikin filem dan penulis lakon layar yang mahu menonjolkan bagaimana sewajarnya majikan itu bertindak. Kata-kata Salleh itu seperti pesanan kepada Shaw Brothers untuk mereka menjadi majikan yang memiliki hubungan yang baik dengan pekerja.

Mogok kelihatan bernada keras pada awalnya, tetapi tidak berlanjutan sehingga ke akhir. Filem ini sebenarnya tetap berpegang kepada realiti dan melihatkan kepada kita bagaimana golongan pekerja itu, tetap akan kekal walaupun berlaku penindasan. Majikan dilihatkan sebagai golongan yang mengambil berat, tetapi penindasan dilakukan oleh golongan kelas menengah yang mengambil kesempatan.

Ini juga yang berlaku dalam realiti industri perfileman Melayu klasik. Kita dapat lihat, walaupun berlaku penindasan dan rasa tidak puas hati golongan pekerja, namun mereka tetap kekal di situ dan meneruskan kerja seperti biasa dan rasa tidak puas hati ini terus berlanjutan sehingga Malay Film Production itu sendiri ditutup.

Perbalahan pekerja-majikan ini merupakan sesuatu yang tidak menemui penamatnya dan kekal tanpa penyelesaian konkrit. Filem ini bukan sebuah filem anti-kapitalis, tetapi lebih kepada filem yang cuba berlegar dalam soal penindasan dengan cuba memberikan ruang yang terbuka dan seimbang kepada golongan pekerja dan majikan.

Filem ini seperti menunjukkan pekerja yang berjawatan lebih tinggi adalah penindas pekerja yang berjawatan lebih rendah. Filem ini tidak menunjukkan pergeseran
langsung di antara pekerja dan majikan, namun tetapi mampu memberikan kita kesan dan bayangan terhadap apa yang berlaku sekitar tahun berkenaan kepada pekerja-pekerja filem. Ironi-ironi yang berlaku merupakan sesuatu yang cukup menarik untuk diperhalusi dengan lebih baik.

Misalnya seperti yang dinyatakan sebelum ini tentang pelakon yang bermogok ialah pelakon yang berlakon di dalam filem ini, rumah Encik Salleh di dalam filem ini ialah Villa milik Shaw, Studio Jalan Ampas menjadi lokasi mogok di dalam filem ini (walaupun babak mogoknya terlalu sedikit) dan soal pemberhentian pekerja yang menjadi pencetus kepada mogok.

Pertentangan pekerja filem dan majikan di Malay Film Production tidak berakhir selepas mogok 23 hari, malahan pertentangan ini berterusan dan mencetuskan pelbagai konflik. Selain Mogok arahan K.M Basker. P.Ramlee juga tidak mahu ketinggalan menyentuh soal hak dan protes pekerja filem.

Filem Seniman Bujang Lapok (1961) ialah kritikan P.Ramlee terhadap industri perfileman khususnya studio filem pada lewat tahun 1950an dan sepanjang tahun 1960an. Filem ini memaparkan realiti kehidupan seniman dalam bentuk yang paling mudah menyentuh masyarakat, sinikal-komedi-satira. P.Ramlee di dalam kebanyakkan filem-filemnya gemar membawakan tema komedi kerana tema ini mudah untuk menyangkuti hati penonton dan kritikan melalui komedi walau setajam mana pun mampu meresap tanpa sedar.

Seniman Bujang Lapok juga seperti itu, tajam dan menikam dengan hasrat P.Ramlee mendedahkan realiti perfileman Melayu pada waktu itu. Seniman Bujang Lapok terhasil selepas beberapa tahun mogok 23 hari berlaku pada tahun 1957. Terdapat dua perkara yang cuba ditonjolkan dalam babak pembukaan filem ini. Pertama, syot sulung untuk filem ini ialah patung Stamford Raffles yang boleh ditafsirkan sebagai mewakili penjajahan kuasa asing dan seterusnya beberapa syot poster-poster gergasi di pawagam-pawagam utama di Singapura yang memaparkan filem-filem asing.

Ini menunjukkan bahawa walaupun negara sudah merdeka, tapi pemikiran asing tetap wujud dan mempengaruhi masyarakat. Keduanya ialah filem-filem asing mendapat tempat dan promosi utama di pawagam-pawagam besar. Namun begitu, filem-filem tempatan terpaksa melakukan promosi secara kendiri dengan membawakan filem mereka menggunakan lori buruk yang kemudian tayarnya pancit. Lebih menarik, Panji Semerang (juga dikeluarkan pada1961) merupakan filem terbitan Shaw Brothers tetapi terpaksa dipromosikan dengan cara seolah-olah ia sebuah wayang pacak.

Namun, filem-filem asing (di dalam babak berkenaan dipaparkan poster gergasi filem The Great Impostor dan Cimarron) mendapat tempat utama di pawagam-pawagam milik Shaw Brothers. P.Ramlee telah menyindir Shaw Brothers secara terbuka tetapi tidak disedari. Jelas sekali babak pembukaan filem ini memberikan gambaran penuh mengenai apa yang mahu ditonjolkan P.Ramlee di dalam Seniman Bujang Lapok. Filem sinikal tentang nasib industri filem Melayu yang dikawal kuasa asing dan dijadikan medan mengaut untung serta menindas pekerja-pekerja filem.

Seniman Bujang Lapok ialah kemarahan P.Ramlee dan rasa marah itu dirasai sepanjang filem ini. Walaupun komedi, namun rasa geram itu begitu menebal dan P.Ramlee melepaskan segala-gala yang dirasainya di dalam filem ini. Walaupun ramai yang menganggap beliau sebagai anak emas kepada Shaw Brothers dan sebagainya, namun, melalui Seniman Bujang Lapok, P.Ramlee membuktikan bahawa beliau ialah seniman yang sejati, seniman yang melawan penindasan dan kebobrokan yang berlaku dalam industri perfileman melalui filem. Inilah kelebihan P.Ramlee, halus dalam kritikan terhadap apa yang berlaku di sekeliling beliau.

P.Ramlee memberikan kita contoh terbaik, seseorang seniman itu perlu peka terhadap apa yang terjadi di sekelilingnya dan seniman wajar menggambarkan hasil kepekaan ini dalam karya-karya mereka. Seniman tidak wajar menjauhkan diri daripada masyarakat dan masalah-masalah yang dihadapi masyarakat. Selain daripada menyindir Shaw Brothers, babak pembukaan di dalam Seniman Bujang Lapok ini juga merupakan satu sindiran kepada penonton filem Melayu.

Ini kerana semasa lori yang melakukan kerja-kerja promosi filem Panji Semerang melalui kawasan bandar, tidak ada penduduk bandar yang tertarik dengan lori dan promosi berkenaan, namun apabila lori berkenaan memasuki kawasan kampung, kelihatan penduduk kampung memberikan sambutan hangat kepada promosi filem berkenaan. P.Ramlee menonjolkan di sini bahawa masyarakat bandar lebih gemar memberi perhatian kepada filem-filem Barat, manakala filem-filem tempatan mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat di kampung. Filem tempatan boleh ‘meletup’ di kampung seperti meletup dengan kuatnya tayar lori yang membuat promosi filem Panji Semerang itu dan nasib filem Melayu itu boleh pancit seperti tayar berkenaan.

“Apa encik-encik ini semua kontrak muzik orang mati kah?”

Cukup tajam persoalan yang dibangkitkan Sudin apabila dia tidak menyedari yang lori pancit tayar itu sedang melakukan kerja-kerja promosi sebuah filem Melayu.

Di dalam Seniman Bujang Lapok, beberapa kali P.Ramlee merujuk kepada golongan asing yang mengawal industri filem Melayu. Khususnya tentang pengaruh Shaw Brothers. Misalnya ketika babak Salmah cuba menghulurkan wang kepada Ramlee, Ramlee menolaknya.

“Tak payah saya bilang, bapa saya baru kirim dari Hong Kong.”

Babak Ramlee, Aziz dan Sudin menaiki beca dan dikenakan caj 30 sen juga sebenarnya menyindir Shaw Brothers. Pada sekitar 1960an sudah wujud krisis dan pergeseran di antara tenaga kerja di Shaw Brothers termasuk para pelakon dan krew dengan pihak pengurusan studio. Pergeseran ini terjadi akibat masalah pembayaran gaji yang disifatkan oleh tenaga kerja sebagai tidak mencukupi dan rendah, berbanding dengan jumlah filem yang perlu mereka hasilkan.

Dialog menunjukkan yang mengikut perjanjian, Bujang Lapok perlu membayar kepada tukang beca sebanyak 30 sen, tetapi mereka hanya membayar 25 sen dan tidak sepadan dengan kepayahan tukang beca mengayuh. Ini sama dengan situasi penindasan pengurusan studio yang dirasakan oleh tenaga kerja di studio. Dialog yang paling mencengkam ialah apabila tukang beca menyebut terpaksa membikin union (kesatuan sekerja) jika ada ramai lagi pelanggan seperti ini (yang tidak mahu membayar tambang secukupnya). Ini menggambarkan bahawa tenaga kerja di studio akan melakukan protes jika penindasan (soal pembayaran gaji) masih berlaku.

Penindasan terhadap pekerja filem dipaparkan di dalam dua babak. Pertama semasa Manager Kemat Hassan memarahi pekerja melalui telefon untuk membawa pulang lori yang pancit tayar. Kedua apabila Manager Kemat Hassan memarahi pekerja juga melalui telefon kerana pekerja berkenaan tidak datang kerja. Lebih memberikan nilai ialah Bujang Lapok hanya masuk ke pejabat Manager Kemat Hassan sebanyak dua kali sahaja di dalam filem ini dan kedua-duanya dimulakan dengan babak Manager Kemat Hassan memarahi pekerja studio melalui telefon.

“Hey! Kau ini apa ha? Kau nak kerja ka nak main-main? Semalam kau bilang kau sakit gigi, ini hari kau bilang kau sakit perut. Jangan-jangan esok kau sakit nak mampus pula!”

“Apa boleh buat tuan, saya demam. Bukannya saya panggil itu demam tuan ya.”

“Haa! Kau ini memang ada-ada sahajalah. Kepala otak kau berjambul!” (ketukan pintu)

“Masuk!”

“Tuan, telefon ini kecil, macam mana saya nak masuk tuan.”

“Hey! Aku bukan cakap dengan kaulah. Takkan aku nak suruh kau masuk dalam telefon ni. Kau ingat aku nak mampus macam kau ke? Bodoh! Jikalau esok kau tak datang kerja, aku sack sama kau!”

Semasa Ramlee, Aziz dan Sudin sampai di Malay Filem Production (Studio milik Shaw Brothers) untuk mencuba nasib menjadi pelakon filem, ketiga-tiga mereka ternampak satu tajuk filem yang dipaparkan pada papan kenyataan di luar pagar studio. Tajuk filem itu ialah ‘Yatim Tua dan Setan Angkat Dulang’. Dipercayai P.Ramlee menyindir filem-filem keluaran syarikat pesaing Shaw Brothers waktu itu iaitu, Cathay Keris. Pada tahun 1961, Cathay Keris juga mengeluarkan dua filem iaitu Yatim Mustapha (diarahkan oleh BN Rao) dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (diarahkan oleh KM Basker).

Kemudian dari situ kita melihat pengarah yang mengarahkan filem ‘Yatim Tua dan Setan Angkat Dulang’ ini ialah Direktor Ahmad Nisfu. Pemilihan Ahmad Nisfu juga mempunyai kaitan dan sindiran. Wajah Ahmad Nisfu yang kelihatan seperti seorang dari India, sementara pengarah kedua-dua filem Cathay Keris tadi juga berasal dari India. Simbolik pengaruh India dalam filem-filem Melayu dipaparkan P.Ramlee dengan cukup bersahaja dan sinikal.

Turut dipaparkan P.Ramlee ialah campur tangan pengurusan di dalam soal kreativiti dan pemilihan pelakon oleh seseorang pengarah. Misalnya semasa screen test yang dilakukan terhadap Ramlee, Aziz dan Sudin, ternyata ketiga-tiga mereka tidak menepati kriteria yang dimahukan oleh Direktor Ahmad Nisfu, namun mereka tetap diterima sebagai pelakon kerana Manager Kemat Hassan mahukan mereka. Sindiran turut dilemparkan P.Ramlee terhadap gaya penceritaan filem-filem Melayu pada ketika itu yang kadangkala berlebih-lebihan dan menyuntik emosi yang tidak sepadan serta memiliki tema yang terlalu remeh.

Ini dapat dilihat apabila Sudin menyuarakan rasa tidak puas hati disebabkan watak S.Kadarisman mahu memancung isterinya hanya kerana memasak sayur asam yang tidak dicampur belacan. Sikap pelakon juga ditonjolkan P.Ramlee di dalam filem ini misalnya watak Aziz semasa screen test dipaparkan sebagai seorang pelakon yang memiliki ciri-ciri over acting dan memilih. Ini dapat dilihat apabila dia mengubah dialog asal kepada satu peringkat yang tidak diperlukan dan sebelum itu dia memohon untuk diberikan seorang pelakon perempuan, walaupun pada ketika itu dia hanya menjalani screen test sahaja.

Watak Ramlee dan Sudin ketika screen test juga menunjukkan pelakon yang tidak tahu berlakon. Seniman Bujang Lapok ialah filem dalam filem. Bentuk sebegini jarang kita dapat lihat dalam filem sekarang atau pun filem sebelum ini. P.Ramlee mengolah setiap insiden yang berlaku di dalam rumah tempat tinggal Bujang Lapok menjadi seperti fragmen-fragmen babak di dalam filem. Lihat sahaja babak insiden jiran-jiran Bujang Lapok yang bising di tengah-tengah malam. Pergaduhan suami isteri kerana suami yang didakwa berskandal, lelaki pemuzik yang membuat bising meniup trompet, lelaki yang membuat bising dengan bunyi motosikal, babak polis dan isteri Pak Mat Tempe dan pergaduhan sepasan suami isteri kaum India gara-gara tahi anak kecil yang terkena ke muka suami.

Babak-babak ini cukup jelas penonjolannya dalam dua makna, satu, rumah tempat semua watak-watak ini tinggal adalah seperti studio yang melihatkan pelbagai filem sedang menjalani penggambaran dan P.Ramlee membawa kita melawat studio-studio yang sedang menjalani penggambaran ini. Keduanya Seniman dilihatkan sebagai golongan yang bertanggungjawab terhadap masyarakat apabila semua insiden-insiden ini memerlukan campurtangan Bujang Lapok yang pada ketika itu menjadi seniman di Malay Film Production.

Lihat bagaimana P.Ramlee menutup filem Seniman Bujang Lapok apabila rumah (studio) tempat Bujang Lapok dan penduduk-penduduk tadi tinggal (fragmen-fragmen filem yang sedang menjalani penggambaran) telah dibakar oleh samseng, gara-gara mereka melawan samseng yang menimbulkan kekacauan ini. Api di babak akhir ini ialah simbol kemarahan dan simbol reaksi terhadap nasib yang menimpa golongan pekerja filem.

Seniman Bujang Lapok memaparkan seniman tinggal di dalam bilik sahaja dan bukannya rumah mewah, seniman hanya menggunakan beca dan basikal bukannya kereta atau motorsikal, seniman terpaksa meminjam duit untuk berkahwin, seniman tiada duit yang cukup untuk makan tengahari dan makan malam dan seniman terpaksa beratur untuk membuang air besar. Inilah realiti kehidupan seniman di dalam Seniman Bujang Lapok. Pemaparan sebegini merupakan kepahitan kehidupan seniman yang dijelmakan kesan daripada pendapatan yang rendah dan hak-hak yang tidak terpelihara dengan baik. Seniman Bujang Lapok ialah protes, mogok dan lawan yang diaturkan untuk melawan penindasan pekerja filem melalui filem.

Isu pergeseran di antara pekerja filem dan pengurusan studio Malay Film Production tidak berakhir di situ malah ketidakpuasan hati itu sentiasa ada dan terus berlarutan. Pada tahun 1963 misalnya, sekumpulan pekerja filem di Malay Film Production menuntut pihak studio memberikan perhatian kepada taraf hidup mereka yang disifatkan tidak berada dalam keadaan baik. Pekerja filem telah mengadakan pertemuan dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja Umum Singapura dan mahukan satu perjanjian diadakan di antara pihak majikan mereka dan Kesatuan. Langkah ini diambil bagi memastikan hak-hak pekerja filem sentiasa terpelihara.

Tahun 1963 juga melihatkan pergeseran pekerja dan majikan kembali hangat dengan insiden ugutan Haji Mahadi bahawa para seniman di Malay Film Production akan mengoyakkan kontrak mereka jika pihak Shaw Brothers masih gagal untuk memelihara hak dan kepentingan seniman. Pergeseran ini juga menyebabkan penggambaran beberapa buah filem terjejas termasuk Darah Muda arahan Jamil Sulong. Namun begitu, pergeseran ini tetap dapat diselesaikan melalui jalan perjanjian.

Walaupun segala-galanya nampak seperti dapat diselesaikan, namun hal-hal berkaitan penindasan ini terus berbangkit sehingga studio Malay Film Production ditutup pada tahun 1967. Soal tuntutan pekerja filem ini dilihat seperti tidak dapat menemui penyelesaian yang jujur, walaupun beberapa siri perjanjian telah dimuktamadkan. Penutupan studio dan kegagalan majikan memenuhi hak serta keperluan pekerja filem merupakan tragedi yang sebenarnya memberikan kesan besar terhadap perkembangan dunia perfileman Melayu.

Mogok dan Seniman Bujang Lapok ialah manifestasi terbaik untuk kita meneliti permasalahan dan isu-isu perfileman yang melingkari pekerja filem dan golongan seniman. Kedua-dua filem ini memiliki keupayaan membentuk pemahaman kita tentang ruang masa ketika itu. Pada waktu emas filem Melayu, sebenarnya wujud kepincangan yang tak diketahui ramai. Pekerja filem dan seniman ini bukan hidup bermewah seperti hari ini. Nasib mereka hanya seperti buruh biasa. Penglibatan kesatuan sekera berjaya mendatangkan kesan positif terhadap nasib dan hak mereka termasuk dari sudut ganjaran gaji dan faedah-faedah seperti cuti dan rawatan kesihatan.

Filem Mogok walaupun tidak memiliki latar mengenai industri perfileman, tetapi ironinya dari sudut lokasi dan mogok sebenar yang berlaku adalah cukup kuat. Kita mungkin kecewa dengan fokus dan momentum filem ini yang dilihat beralih daripada mogok ke tragedi dan kecurangan, namun filem ini tetap memiliki signifikasi yang tersendiri, khususnya dari sudut perkaitan rapat dengan pelaku-pelaku mogok yang memainkan peranan penting di dalam filem berkenaan. Seniman Bujang Lapok pula jelas sebuah filem yang kukuh dari sudut emosi dan rasa geram terhadap penindasan dan seputar hal-hal lain yang berkaitan langsung dengan industri perfileman Melayu. Walaupun hal mogok itu tidak begitu jelas, namun komedi di dalam Seniman Bujang Lapok ialah tragedi yang menimpa seniman dan pekerja filem.

You may be interested

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka
Ulasan Filem
2226 views
Ulasan Filem
2226 views

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka

Kakisinema - 19 March, 2018

Bujang Lapok (1957) muncul pada tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Filem ini merupakan filem yang memaparkan masyarakat moden dengan pekerjaan…

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir
Filem Terkini
426 views
Filem Terkini
426 views

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir

Kakisinema - 18 March, 2018

LANGSUIR menceritakan kisah cinta dua dunia antara Azlan (Syafiq Kyle) dan Suri (Hannah Delisha). Mereka bertemu ketika Azlan dan kawan-kawannya berkunjung…

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu
Ulasan Filem
4509 views
Ulasan Filem
4509 views

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu

Kakisinema - 18 March, 2018

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat melihat wujud satu trend yang tidak sihat pada kutipan filem tempatan di panggung.…