Industri Filem Seperti Dalam Layar Lara

Oleh Abror Rivai

21 February, 2018
5589 Views

Berdasarkan satu kiriman di Facebook dan dituruti dengan beberapa perkongsian, Mansor Puteh menulis di ruang status yang aku alihkan ke Bahasa Melayu mengikut tafsiran aku: di antara tahun 1898 ke 2018, bermakna sudah 120 tahun sejak filem yang pertama ditayangkan di Malaysia atau Malaya.

Fakta ini menarik perhatian kerana ia sesuatu yang baru bagi aku. Sebelum ini aku hanya mengetahui kemasukan filem-filem asing terutama filem-filem Barat ke Tanah Melayu hanya bermula sekitar 1930an. Mansor mengemukakan satu fakta yang langka, meskipun tidak disusuli dengan lebih khusus tentang judul dan negara di mana filem itu diterbitkan serta tempat di manakah filem tersebut ditayangkan.

Tawarikh berkenaan dengan fakta tersebut menunjukkan usia kemasukan filem ke Malaysia telah melintasi alaf. Keadaan ini sepatutnya seiring dengan pertumbuhan dan perkembangan sinema serta perusahaannya menjadi salah satu tunjang pembangunan negara. Namun apakah perkara sedemikian sudah menjadi kenyataan atau masih terlalu jauh untuk dicapai, menarik untuk dihantar ke meja pendiskusian atau sembang santai atau lepak maqasid atau apa saja forum-forum diskusi anak muda yang dipancarkan secara langsung atau tidak.

Aku meletakkan bahawa industri filem di Malaysia hari ini berada pada tahap yang paling mundur di sepanjang sejarahnya. Sebagai orang yang terlibat secara langsung dengan kegiatan dan aktiviti perfileman secara independen, aku tidak begitu jelas apakah rupa bentuk industri filem yang kita ada. Berapakah filem yang diterbitkan di Malaysia dalam setahun dan filem yang bagaimanakah yang diberikan perhatian untuk dibicarakan?

Satu pertanyaan, tiba-tiba terbit, mengapakah penerbitan filem di Malaysia seolah-olah dimonopoli oleh produksi dan syarikat-syarikat tertentu dan yang paling mustahak, di manakah filem-filem yang diterbitkan dengan dana kerajaan – apa yang menyebabkan filem-filem tersebut gagal ke peringkat dunia?

Kematangan dan kedewasaan usia pertumbuhan dan perkembangan sinema tempatan seolah-olah tidak memberi apa-apa makna. Berpuluh-puluh tahun kita akan berada pada tahap yang sama bahkan semakin mundur seperti kritikan filem.

Satu perkara yang menjadi amalan dalam industri yang kelihatan sangat aneh ialah tentang  sesi pembentangan atau pitching. Untuk dipanggil ke sesi tersebut, karyawan terlebih dahulu diminta menghantar satu muka surat sinopsis untuk dinilai dan ditapis oleh pihak produksi bagi memilih idea dan cerita yang diperlukan. Jika pihak tersebut berminat, pengkarya akan dipanggil untuk membentangkan ideanya sebelum pemilihan akhir pun diputuskan.

Ini adalah amalan yang salah dan merapik, namun kerana hanya ruang sedemikian yang wujud maka pengkarya mahu tidak mahu terpaksa melakukannya kerana inginkan idea dan ceritanya difilemkan. Apakah kita akan terus membiarkan perkara yang tidak sehat ini terus berlaku atau secara drastik karyawan kembali memperjuangkan haknya untuk dinilai berdasarkan skrip penuh? Pengiriman atau penghantaran skrip penuh adalah amalan universal termasuk di Hollywood. Setiap studio atau syarikat produksi waimma agensi kerajaan sendiri seperti Finas, wajib memperuntukkan paling tidak seorang jururunding dan penganalisa yang boleh menilai sesebuah skrip itu layak atau tidak untuk diterbitkan.

Kerjanya hanya perlu membaca lima ke sepuluh muka surat awal setiap skrip sama ada diterima atau dicampakkan saja ke dalam tong. Mungkin sesetengah skrip sudah diketahui nasibnya sejak muka surat pertama lagi.

Pemilihan pelakon berdasarkan bilangan pengikut di laman sosial seperti Instagram adalah amalan yang paling jahil dan patut dibasmi dari sekarang. Sama seperti amalan pemilihan idea berdasarkan satu muka surat sinopsis, amalan memilih pelakon berdasarkan bilangan pengikut di Instagram ini amat sasau yang tidak tahu dari mana dan bilakah ia mula diajarkan di seminar, bengkel, forum dan sekolah filem. Amalan-amalan ini boleh jadi dirembat dari kaedah atau acuan program-program hiburan dari luar kerana siang-siang telah mengenepikan tanggungjawab budaya dan nilai-nilai umum kemanusiaan yang harus diterapkan sebagai landasan kepada pembikinan sesebuah filem.

Kemunduran industri filem kita hari ini adalah disebabkan kekaburan kalau tidak pun buta sepenuhnya kepada sirah atau riwayat sinema tempatan. Pada banyak keadaan, rujukan kepada sejarah filem dunia lebih terbuka dan jelas berbanding sejarah filem tempatan. Inilah yang menjadi punca kepada segala kebobrokan yang terjadi di dalam industri hingga menjadikan bahan jenaka yang paling seronok ditertawakan. Sewaktu aku di sekolah menengah, ketika membaca mengenai filem yang diterbitkan di institusi pengajian tinggi ia disertai dengan rasa hormat dan kagum. Filem keluaran dari institusi pengajian tinggi menjadi contoh kepada rupa bentuk seni perfileman yang sebenar, yang ingin sekali diketahui dan dipelajari kerana berteraskan tradisi perfileman yang ulung.

Apa yang terjadi pada hari ini adalah sebaliknya. Filem keluaran dari institusi pengajian tinggi tidak lagi dihormati bahkan ditertawakan, malah oleh kanak-kanak sendiri yang menajadi khalayak sasarnya. Bagaimana perkara seperti ini yang terjadi? Tidak cukupkah ruang yang diberikan kepada penerbitan filem-filem populer yang bermatlamat keuntungan maksima dari hiburan totok itu disertai oleh hampir semua produksi dan syarikat penerbitan filem tempatan yang terlibat? Sekarang institusi pengajian tinggi juga ikut tumpang sekaki bagi menambahkan lagi kebusukan yang sudah sedia bernanah pasal apa?

Sedangkan institusi pengajian tinggi berperanan untuk meningkatkan lagi tradisi ilmu dalam pembikinan filem, khususnya pada pengisian dan pemikiran bagi sesebuah filem. Pemisahan ilmu itu dari sejarah telah mengakibatkan tokoh-tokoh sinema tempatan juga dipinggirkan. Tokoh-tokoh ini khususnya mereka yang pernah terlibat sejak era studio sama ada di Jalan Ampas atau East Coast Road seharusnya diberi ruang di institusi-institusi pengajian tinggi sebagai karyawan tamu untuk menyumbang pengalaman dan ilmu kepada generasi baru. Malah ia boleh diteruskan dengan tokoh-tokoh terkemudian ketika era independen bertapak di Kuala Lumpur sejak penghujung tahun 1970an dan seterusnya 1980an. Jika hal ini tidak dimanfaatkan, penyampain sejarah juga akan menjadi sekatan disebabkan sebahagian sejarah masih disampaikan secara lisan dan catatan-catatan peribadi yang belum semuanya menjadi dokumen. Jangan nanti setelah barang itu terlepas baru kita menjadi penyesal yang datang menunjukkan bakti.

Akhir sekali hendaklah berbalik kepada adat dan tradisi jika kita mahu melihat industri ini berubah dan kembali ke landasannya yang betul. Kedua-duanya adalah senjata yang paling ampuh untuk berhadapan dengan Yankees dalam wataknya yang berbagai-bagai wajah. Sejak dahulu industri filem tempatan mendapat akses dan rujukan yang bertaraf dunia bagi meningkatkan mutu dan kualiti pengahasilan karya seni dan filem tempatan. Sewaktu aku bertemu dengan Mat Sentol pada tahun 2007 dalam Program Merakyatkan Filem di panggung Colliseum seusai tayangan Mat Raja Kapor yang merupakan karya kultus dalam sejarah sinema tempatan aku sempat bertanya siapakah watak rujukannya atau seniman yang memberinya inspirasi untuk menjadi seorang komedia, tanpa ragu-ragu, beliau menyebut nama Jerry Lewis. Di dalam Antara Dua Darjat, P. Ramlee menjadikan filem Citizen Kane dan pengarahnya Orson Welles sebagai rujukan untuk mencipta teknik penggambaran filem berfokus dan gaya pengarahan yang sinematik sebagai asasnya berkarya.

Rujukan dan akses kepada karya-karya terbaik dari sejarah filem dunia hari ini lebih terbuka dan mudah dicapai dengan kelajuan internet. Namun rujukan sedemikian adalah untuk membina pembingkaian luaran di mana pengkarya memerlukan pengisian ruhani yang didasarkan kepada adat, agama dan tradisinya sendiri untuk membina dan memimpin paradigmanya kepada hala tuju yang tuntas mewakili suara masyarakatnya. Pengkarya hendaklah kembali kepada kesusasteraan dan seni hiburan tradisi seperti wayang kulit, mak yong, menorah, bangsawan, sandiwara, tarian dan banyak lagi. Tidak terhad kepada seni dan kesusasteraan Melayu sahaja, ia meliputi tradisi kebudayaan setiap bangsa yang ada.

Abror Rivai merupakan seorang pembikin filem dan penulis. Dia adalah pengasas Rumah Karya Ipoh – sebuah ruang baru untuk mempertonton dan berdiskusi apa saja karya seni yang dihasilkan.

You may be interested

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka
Ulasan Filem
2132 views
Ulasan Filem
2132 views

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka

Kakisinema - 19 March, 2018

Bujang Lapok (1957) muncul pada tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Filem ini merupakan filem yang memaparkan masyarakat moden dengan pekerjaan…

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir
Filem Terkini
323 views
Filem Terkini
323 views

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir

Kakisinema - 18 March, 2018

LANGSUIR menceritakan kisah cinta dua dunia antara Azlan (Syafiq Kyle) dan Suri (Hannah Delisha). Mereka bertemu ketika Azlan dan kawan-kawannya berkunjung…

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu
Ulasan Filem
4447 views
Ulasan Filem
4447 views

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu

Kakisinema - 18 March, 2018

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat melihat wujud satu trend yang tidak sihat pada kutipan filem tempatan di panggung.…