Muzzamer Rahman Dan Hal-Hal Sinema

18 February, 2018
2156 Views

MUZZAMER RAHMAN seorang pembikin filem muda yang perlu diberikan perhatian. Beliau kini sedang menyiapkan feature film pertamanya yang diberi judul Prebet Sapu. Beliau merupakan alumni tahun 2013 untuk program Asian Film Academy di Festival Filem Antarabangsa Busan. Beliau pernah merangkul anugerah Best Young Filmmaker di The Malaysian Digital Film Awards (MDFA) tahun 2015.

Kami di Kakisinema berkesempatan bertanyakan tujuh soalan kepada Muzzamer dan sama-sama kita ikuti segmen temuramah pada minggu ini.

Apakah cabaran yang saudara rasakan paling getir sedang dihadapi oleh pembikin filem muda dan baru di Malaysia?

Selain dana (yang juga dihadapi oleh hampir semua pembikin filem di seluruh dunia), cabaran yang dihadapi adalah keupayaan untuk mengangkat karya itu sesuai di tempatnya. Ada yang ada dana, tapi ideanya tak mampu diangkat, ada yang ada idea, tapi tak ada dana untuk mengangkat. Ada idea dan dana, tapi tak boleh diangkat sebab tak kena dengan agenda pemerintah. Begitulah.

Bagaimanakah saudara melihat kepentingan Sekolah Filem secara formal dapat membentuk pemikiran pembikin filem?

Ya, sekolah penting. Apa-apa sekolah pun penting, bergantung kepada kita melihatnya. Saya belajar filem secara formal di sekolah filem, di mana ilmu filem diinstitusikan. Ada sistem, silibus, ada metodologinya, ada pesyarah di depan, ada kawan sekelas, kena tonton filem yang dikhususkan, kena bikin tugasan, kena bikin projek. Ini buat saya disiplin. Dan sekolah filem saya bukan tentang hal produksi semata, ada pengajian filem (film studies). Saya belajar teori dan sejarah. Di sini, saya bukan sekadar belajar bagaimana bikin filem, tetapi kenapa perlu bikin filem. Di sini, secara jasmani saya dapat tiang asas, saya dapat rekrut pasukan. Secara rohani, buat saya nak gali dalam lagi, sebab saya dah diberikan cangkul.

Apakah kelompongan kreatif paling utama yang saudara rasakan perlu ditampung dengan segera dalam budaya pembikinan filem di negara ini?

Sukar soalan ini. Pada pengamatan saya adalah seni bercerita. Kita ada banyak cerita, dan ramai juga pembikin yang dah juga mengangkat cerita-cerita yang menarik. Tapi masih banyak yang mempunyai masalah untuk bercerita. Orang menonton filem kerana nak menikmati cerita, dan bila kita sebut cerita bukanlah sekadar storyline semata-mata tetapi kamera pun boleh bercerita dan bunyi pun mampu bercerita. Dan untuk menguasai hal ini, adalah benda yang payah, tapi tak mustahil. Ada beberapa pengarah Malaysia dah berupaya menguasai hal ini.

Apakah sistem panggung wayang di Malaysia benar-benar membantu pembikin filem tempatan?

Bergantung kepada apa maksud membantu itu. Kalau pembikin sekadar ingin menayangkan sahaja, tanpa mengharapkan apa-apa, panggung wayang di Malaysia saya kira adalah platform yang baik. Tetapi kalau maksud membantu itu adalah membantu mempromosikan karya tempatan, ia tidak.

Bagaimana saudara menilai tahap apresiasi rakyat Malaysia (termasuk golongan karyawan) terhadap sinema tempatan?

Saya masih ingat waktu kecil, menonton wayang dianggap hal yang lagha, membazir dan bukanlah benda yang kita perlu buat. Menonton wayang adalah kerja untuk bersenang-senang dan menikmati cuti. Hari ini, hal ini tak banyak berubah. Tak menghairankan sangat, lebih-lebih lagi apabila sistem pendidikan kita pun tak menyokong usaha apresiasi seni. Jadi yang menjalankan kerja apresiasi filem ini adalah golongan yang telah mendapat kesedaran – dan jumlahnya sangat sedikit. Dan tentang karyawan (yang benar-benar karyawan), soal apresiasi sinema tempatan tak menjadi masalah. Golongan ini saya lihat sering kritis dan lebih terbuka terhadap karya tempatan. Tapi yang menjadi masalah bagi karyawan ini adalah nak apresiasi karya apa.

Saudara terlibat dalam Komuniti Filem seperti Wayang Budiman dan bagaimanakah Komuniti seperti ini boleh membantu perkembangan sinema negara?

Wayang Budiman merupakan salah satu program dari Pusat Kajian dan Apresiasi Filem atau PKAF. Ia ditubuhkan oleh Azharul Azmir. Wayang Budiman pula digerakkan oleh Dr Norman Yusoff. Idea komuniti ini adalah ingin menjadikan penontonnan itu sebagai budaya. Ia macam satu disiplin, kita akan pilih sebuah filem – atas sebab atau tema tertentu, kemudian kita tayang dan kita adakan sesi diskusi. Melalui acara ini, kita akan belajar menjadi penonton. Bukan sekadar masuk panggung, dan kemudian keluar. Filem akan diperkenalkan dahulu, kemudian pada sesi diskusi kita akan menggali apa yang pembikin ingin sampaikan. Dan bila aktiviti seperti ini merebak – kita akan dapat melahirkan penonton yang lebih berkualiti. Dan ini akan membentuk pembikin filem kita yang lebih serius.

Jika saudara diberikan bajet sebanyak RM50 juta, filem seperti apakah yang saudara akan bikin?

Ini soalan rambang dan tak serius, sebab meletakkan hal wang dahulu ,kemudian barulah idea. Dan jumlahnya pun mustahil untuk diterima. Saya kira soalan yang sesuai adalah – apakah filem yang saudara ingin bikin untuk mengangkat sinema tempatan, misalnya.

You may be interested

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka
Ulasan Filem
2132 views
Ulasan Filem
2132 views

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka

Kakisinema - 19 March, 2018

Bujang Lapok (1957) muncul pada tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Filem ini merupakan filem yang memaparkan masyarakat moden dengan pekerjaan…

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir
Filem Terkini
323 views
Filem Terkini
323 views

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir

Kakisinema - 18 March, 2018

LANGSUIR menceritakan kisah cinta dua dunia antara Azlan (Syafiq Kyle) dan Suri (Hannah Delisha). Mereka bertemu ketika Azlan dan kawan-kawannya berkunjung…

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu
Ulasan Filem
4447 views
Ulasan Filem
4447 views

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu

Kakisinema - 18 March, 2018

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat melihat wujud satu trend yang tidak sihat pada kutipan filem tempatan di panggung.…