Menghargai Sinema Malaysia

14 February, 2018
95 Views

Di Malaysia kita lebih senang membina kompleks membeli-belah daripada membina bangunan-bangunan yang memberikan nilai ilmu dan mendatangkan kecerdikan kepada rakyat. Putrajaya, ibu kota pentadbiran yang cukup gah namun kontang dengan pengisian ilmu. Muzium yang benar-benar muzium langsung tidak ada, kedai buku hanya ada satu atau dua buah sahaja dan toko menjual material filem langsung tidak ada. Ini adalah masalah yang cukup besar sebenarnya. Kita selesa melihat filem sebagai medium hiburan semata-mata. Infrastruktur di negara kita juga tidak membantu masyarakat untuk mendekati tempat-tempat ilmiah. Pengangkutan awam lebih banyak berhenti di kompleks membeli-belah berbanding perpustakaan, muzium atau arkib. (Ya! Kita sudah ada stesen MRT Muzium Negara).

Arkib atau muzium atau pusat Perfileman di negara kita secara umumnya boleh dilihat hanya mencakupi soal penyimpanan dan pemuliharaan bahan-bahan berkaitan filem sahaja. Kita memiliki beberapa Arkib Perfileman yang bersifat fragmen atau terpecah-pecah serta tidak fokus di dalam satu bidang yang nyata. Kita memiliki Arkib Negara yang turut menyimpan koleksi filem, Filem Negara, yang fungsinya semakin kurang jelas; Arkib Perfileman Finas yang lebih memberi perhatian kepada aspek penyimpanan; dan pemuliharaan serta Pusat Sumber Finas yang memiliki koleksi tersendiri.

Malah dalam sesetengah keadaan keadaan muzium di Malaysia juga seperti kurang hidup dan kita melihat muzium sebagai tempat meletakkan barang lama, bukannya untuk menjadi tempat mempelajari sesuatu.

Maklumat berkaitan entiti yang dinyatakan di atas amat sukar untuk ditemui. Kecuali Arkib Negara yang memiliki laman web dan maklumat tentang organisasinya yang agak lengkap dan Pusat Sumber Finas yang memiliki data koleksinya di laman web Finas. Namun maklumat berkaitan Arkib Perfileman Finas dan Filem Negara sukar untuk ditemui dan dibaca secara dalam talian. Ini merupakan kekangan paling besar yang membawa kepada lintasan untuk mewujudkan satu Arkib Perfileman utama dan ulung di Malaysia.

Malaysia merupakan sebuah negara yang sentiasa ingin maju dan dilihat serius untuk membangunkan industri filem. Setiap tahun jumlah filem yang ditayangkan di Malaysia secara relatifnya bertambah dan ini membawa kepada peri pentingnya Malaysia memiliki Arkib Perfilemannya sendiri. Kita sewajarnya memiliki Arkib Perfileman yang bukan sahaja mementingkan soal penyimpanan dan pemuliharaan, tetapi kita perlu memiliki Arkib Perfileman yang mampu menjadi ruang terbesar perbincangan perihal filem secara ilmiah, pusat tayangan filem, pusat sumber dan pusat kajian, pusat terpenting untuk pameran-pameran berkaitan filem, muzium filem, kedai menjual material filem seperti DVD dan buku rujukan serta beberapa lagi perkara yang boleh diteliti dan ditambah. Secara umumnya Arkib Perfileman yang perlu wujud di Malaysia melangkaui peranan sebagai stor semata-mata, tetapi merupakan pusat sehenti yang membuatkan masyarakat Malaysia celik dan berilmu tentang filem.

Sehingga kini, perbincangan mengenai filem secara ilmiah dan bertanggungjawab hanya berlangsung di kampus-kampus universiti dan masyarakat awam tidak terdedah kepada keupayaan filem memberikan nilai ilmu. Ini menyebabkan masyarakat Malaysia memandang filem sebagai bahan hiburan semata-mata sedangkan dalam filem ada nilai seni dan nilai ilmu yang jika digabungkan bakal membentuk pemikiran dan membangunkan idea manusia.

Selain itu, penyelidikan sejarah filem merupakan ruang yang sering dilupakan di Malaysia dan kita melihat pada hari ini kajian sejarah filem atau pun kajian filem sendiri amat jarang diterbitkan dan bahan bacaan berkaitan sinema Malaysia agak terhad dan sukar untuk diperoleh. Keadaan ini berlaku disebabkan ruang penyelidikan yang terbatas dan tidak ada pusat penyelidikan filem untuk khalayak umum di Malaysia. Kita juga berdepan kekurangan untuk mendapatkan bahan material filem seperti DVD.

Program-program apresiasi filem juga tidak begitu rancak di Malaysia. Bukan sekadar apresiasi filem, tetapi apresiasi tema, genre, pembikin filem dan tokoh-tokoh perfileman kurang diberikan perhatian. Perbincangannya jika pun wujud hanya dihadiri oleh kumpulan sasar tertentu sahaja seperti golongan yang terlibat di dalam industri filem atau mereka yang mempelajari filem secara formal. Ruang untuk masyarakat umum melalui program-program apresiasi filem ini agak sempit dan perkara ini sebenarnya perlu diberikan perhatian. Ramai karyawan-karyawan klasik Malaysia selain P.Ramlee yang juga sewajarnya dihargai dan karya-karya mereka dibedah seperti Hussain Haniff, M.Amin dan Mat Sentol.

Tugas mendidik masyarakat melalui filem datang daripada kewujudan apa yang kita mungkin boleh gelarkan sebagai arkib atau muzium atau pusat perfileman yang dapat menjalankan fungsi secara nyata dan bermanfaat. Terdapat pelbagai model pusat seperti ini yang boleh diikuti untuk membentuk acuan yang sama di Malaysia. Di Perancis misalnya memiliki La Cinémathèque Française. Arkib perfileman ini menyimpan khazanah besar perfileman dari seluruh dunia termasuk40 ribu koleksi filem moden dan klasik, 500 ribu koleksi fotograf, 21,000 buku, 11,300 lukisan, 15,000 rekod arkib, 18,800 kenyataan akhbar, 20,000 poster, 4,000 peralatan perfileman, 2,000 kostum dan kira-kira 3,000 bahan-bahan pameran lain.

Koleksi yang terdapat di muzium dan perpustakaan La Cinémathèque Française juga cukup baik dan memberikan manfaat untuk kita memahami sinema dunia dengan lebih baik. Bahan-bahan karyawan seperti Charlie Chaplin dan Fritz Lang turut dipamerkan di sini. La Cinémathèque Française memainkan peranannya sebagai arkib dan muzium, menganjurkan sesi tayangan filem dan program-program penghargaan terhadap karya, pembikin filem, ahli teknikal, pelakon dan penerbit melalui pameran serta ruang apresiasi yang bersesuaian. Lebih menarik La Cinémathèque Française turut menggerakkan aktiviti galakan budaya filem melalui pendidikan termasuk melibatkan kanak-kanak dan remaja

Malaysia sebenarnya memerlukan arkib atau muzium atau pusat kajian perfileman khusus seperti ini. Ia bukan sekadar bertindak sebagai tempat penyimpanan, tetapi memainkan pelbagai fungsi nyata menghidupkan peranan filem sebagai salah sebuah cabang ilmu penting. Di Malaysia untuk menjadikan hal seperti ini suatu realiti bukanlah satu perkara sukar sebenarnya. Cukup sekadar mempunyai kesungguhan dan kemahuan untuk benar-benar menghargai sinema. Kewujudan pusat seperti ini mampu meningkatkan keupayaan untuk Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang benar-benar menghargai sinemanya sendiri.

Arkib atau muzium atau pusat seperti ini wajar dibuka kepada semua golongan termasuk ahli akademik, pelajar, pembikin filem, pengkritik filem, penonton, kelompok industri dan sebagainya. Malah setiap bulan wajar dianjurkan pelbagai jenis program apresiasi karya atau pembikin filem yang mencakupi pelbagai tema dan genre. Turut perlu diadakan ialah pameran mengenai dunia sinema negara lain bagi membolehkan rakyat memahami dengan lebih baik aspek-aspek pensejarahan dalam sinema.

Bagi menjadikan tempat sebegini dekat dengan golongan muda, setiap hujung minggu arkib atau muzium atau pusat ini wajar diisi dengan aktiviti berkaitan bengkel perfileman dengan mod praktikal kepada golongan berusia seawal tujuh tahun. Penganjuran bengkel ini boleh dikendalikan oleh pembikin filem tempatan berpengalaman dan ini secara tidak langsung memberikan peluang kepada golongan muda untuk menerokai dunia sinema dalam pelbagai bentuk dan kaedah melalui perkongsian pengalaman pembikin filem terlibat. Asas-asas perfileman seperti kerja kamera, suntingan, kawalan bunyi, pencahayaan dan arahan sudah boleh disuntik ke jiwa anak-anak muda ini.

Ruang pembelajaran tidak formal seperti ini membolehkan kita melahirkan lebih banyak pengkarya yang memiliki asas pengetahuan tentang filem dan membuka mata mereka untuk memahami sinema secara lebih luas. Ia mampu memberikan mereka pengetahuan bahawa sinema itu melangkaui hal-hal hiburan semata-mata.

Bayangkan di Perancis kanak-kanak berusia tiga tahun sudah didedahkan dengan asas perfileman dan ini tidak menjadi satu kejutan kepada Perancis untuk sentiasa menghasilkan filem-filem bermutu dengan pembikin-pembikin yang hebat. Malaysia memerlukan program-program didikan berkala sebegini agar semua golongan mampu merasai pengalaman filem dan menginspirasikan diri untuk menjadi pembikin filem yang menyumbang kepada pembangunan karya sinema di Malaysia.

Bagaimana pandangan ini boleh direalisasikan?

Finas boleh menggunakan bangunan sedia ada yang dinaik taraf seperti Arkib Perfileman Finas atau membuat pelaburan mendapatkan premis baru. Untuk bahan-bahan simpanan pula, kerjasama boleh diperoleh daripada agensi-agensi terlibat seperti Arkib Negara, Arkib Perfileman Finas, Pusat Sumber Finas, Filem Negara, institusi pengajian tinggi, orang perseorangan dan syarikat-syarikat produksi filem.

Kerjasama boleh dijalin dengan mana-mana organisasi besar yang memiliki kemampuan pelaburan seperti syarikat-syarikat gergasi yang ada di Malaysia untuk mendapatkan dana bagi memberi ruang kepada penubuhan Arkib Perfileman ini. Kerjasama erat boleh dijalinkan dengan La Cinémathèque Française untuk mempelajari soal pengurusan arkib atau muzium atau pusat seperti ini agar ia dapat mencapai taraf antarabangsa dan mampu menjadi sumber rujukan utama filem di Asia dan di dunia.

 Organisasi arkib atau muzium atau pusat ini wajar dianggotai oleh individu yang memiliki daya pengetahuan filem dan kekuatan pentadbiran yang baik dan gabungan kelompok industri filem dan kelompok korporat adalah adunan terbaik untuk menguruskan Arkib ini secara berjaya dan teratur.

Dana Kerajaan dan tajaan daripada badan korporat serta kelompok yang terlibat dengan industri merupakan sumber utama untuk memulakan rancangan ini. Bagi memastikan arkib atau muzium atau pusat ini mapan dan berkembang pada masa hadapan sumber pendapatan boleh dijana melalui caj tiket terhadap pameran utama, bayaran yuran terhadap bengkel-bengkel besar yang dijalankan, jualan di premis jualan material dan memperkenalkan kaedah pas bermusim kepada pengunjung untuk mereka mendapat akses menyeluruh melalui yuran tahunan yang minima dan berpatutan.

Ini hanya pandangan kasar daripada seorang peminat dan pencinta filem yang mahu melihat filem itu sebagai sosok ilmu yang menjanjikan penjanaan akal yang lebih cerdas berbanding budaya konsumerisme entah ke mana yang semakin hari semakin bebal bentuknya.

 

You may be interested

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka
Ulasan Filem
2273 views
Ulasan Filem
2273 views

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka

Kakisinema - 19 March, 2018

Bujang Lapok (1957) muncul pada tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Filem ini merupakan filem yang memaparkan masyarakat moden dengan pekerjaan…

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir
Filem Terkini
451 views
Filem Terkini
451 views

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir

Kakisinema - 18 March, 2018

LANGSUIR menceritakan kisah cinta dua dunia antara Azlan (Syafiq Kyle) dan Suri (Hannah Delisha). Mereka bertemu ketika Azlan dan kawan-kawannya berkunjung…

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu
Ulasan Filem
4534 views
Ulasan Filem
4534 views

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu

Kakisinema - 18 March, 2018

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat melihat wujud satu trend yang tidak sihat pada kutipan filem tempatan di panggung.…