Apa Khabar Sinema Malaysia?

12 February, 2018
347 Views

Sepanjang tahun 2017, kira-kira 63 filem tempatan telah menemui penonton di seluruh negara. Prestasi paling cemerlang dari sudut kutipan sudah tentu menjadi milik filem arahan Syafiq Yusof berjudul Abang Long Fadil 2 yang berjaya mencatat jumlah kutipan lebih RM18.15 juta. Kutipan terendah pula dicatatkan oleh filem Spy In Love yang diarahkan oleh Daniel Rifki. Filem ini hanya mampu mengumpul RM4,059 sahaja. Namun begitu, Spy In Love tidak keseorangan apabila filem Mendidih Bro arahan Z.Lokman mencatat kutipan RM4,090, Luqman arahan Mahadi J Murat mendapat RM4,085 manakala sebuah filem Tamil berjudul Thottam mampu mengumpul RM4,089.

Secara keseluruhannya, industri filem tempatan pada tahun 2017 berjaya menjana kutipan hasil berjumlah RM51.4 juta dan ini bukanlah satu angka yang boleh dibanggakan kerana pada tahun 2016 dengan hanya 46 filem ditayangkan, hasil yang berjaya dijanakan mencecah RM80.4 juta. Pada tahun 2016, terdapat tiga filem yang berjaya mencapai kutipan melebihi RM10 juta, filem-filem berkenaan ialah Ola Bola (RM16.6 juta), Munafik (RM17.04 juta) dan Boboiboy The Movie (RM15.7 juta). Namun pada tahun ini hanya Abang Long Fadil 2 yang mampu mencapai kutipan melebihi RM10 juta dan saingan terdekat kepada filem lakonan Zizan Razak ini hanyalah Tombiruo: Penunggu Rimba dengan kutipan RM7.9 juta.

Itu soal kutipan dan wang, bagaimana pula dengan soal kualiti dan hal-hal lain yang melingkari sinema kita? Apakah berlaku pembaharuan? Atau masih terperangkap dengan idea-idea lama yang tidak bergerak? Secara keseluruhannnya kita dapat menonton beberapa buah filem yang berbeza dan sekurang-sekurangnya memberikan kesegaran dan pengalaman menyeronokkan. Bagi saya filem-filem menarik sepanjang 2017 ialah Adiwiraku (Eric Ong), You Mean The World To Me (Saw Teong Hin), Lebuhraya Ke Neraka (Mamat Khalid), Abang Long Fadil 2 (Syafiq Yusof), Mrs K (Ho Yu Hang), Shuttle Life (Tan Seng Kiat), Thottam (Arangkannal Rajoo) dan Jibam (Che Mie).

Pencapaian sinema Malaysia 2017 boleh disifatkan sebagai sederhana dan masalah utama kepada kebanyakan filem tempatan pada tahun ini ialah soal struktur penceritaan dan lakon layar. Ini masalah terpenting yang perlu diatasi dalam kita menghasilkan filem-filem yang berkualiti. Aspek penyelidikan dalam filem juga kadangkala seperti terabai dan tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya. Sesetengah filem kelihatan berpotensi untuk berkembang jauh, namun disebabkan kelemahan kepada strutktur ia menyebabkan filem berkenaan tidak boleh bergerak dengan lancar.

Penghasilan filem memerlukan ketekunan dan minat mendalam bagi memberikan sesuatu yang terbaik untuk ditonton. Membikin filem ialah proses yang panjang dan perlu dilalui dengan teliti dan tidak perlu terburu-buru. Dalam menulis lakon layar misalnya penyelidikan dan pemahaman secara menyeluruh tentang sesuatu subjek yang mahu diterokai harus diperhatikan dengan baik. Ini amat penting bagi membolehkan sesuatu lakon layar yang dihasilkan mempunyai tahap yang berkualiti.

Tahun 2017 kita dapat melihat ada filem dihasilkan menggunakan dana yang disediakan Kerajaan dan kebiasannya filem seperti ini cuba menyemai semangat patriotik dan menyuntik elemen kenegaraan dengan niat untuk membuatkan rakyat lebih mempunyai rasa kasih terhadap negara. Namun masalahnya pada tahun 2017, ada filem yang bercorak kenegaraan ini dihasilkan dengan sambalewa dan kita pun tidak pasti bagaimana dana jutaan ringgit yang diperoleh dari Kerajaan itu dibelanjakan. Ini kerana kualiti filem berkenaan langsung tidak mencerminkan dana yang diperoleh. Masalah utama dalam pembikinan filem kenegaraan, patriotik atau yang seumpama dengannya di Malaysia ialah hal berkaitan penyelidikan fakta, pengarahan dan lakon layar. Hal-hal ini yang tidak diberikan perhatian menyebabkan kita menghasilkan filem tentang wira-wira negara dalam kualiti rendah dan tak terjamin.

Kisah perjuangan pahlawan misalnya tidak perlu mengambil tempoh terlalu jauh sejak dari tokoh atau pahlawan berkenaan lahir, tetapi lebih wajar untuk mengambil peristiwa atau perjuangan penting yang dibawakan tokoh atau pahlawanan berkenaan. Ini lebih bersesuaian dengan kekangan peruntukan yang ada untuk menghasilkan filem yang baik dan berkualiti. Visi pengarah yang jelas amat membantu kepada penghasilan filem yang berkualiti walaupun bajet yang ada rendah.

Untuk itu, dicadangkan pada tahun 2018 badan-badan Kerajaan yang terlibat sebagai penyalur dana kepada penghasilan filem-filem tempatan, wajar memperkenal kaedah semakan dan penilaian menyeluruh terhadap kualiti sesebuah filem yang dihasilkan dengan dana awam. Malah tidak keterlaluan untuk kaedah pembayaran semula dana yang diterima diperkenalkan kepada pembikin filem yang gagal menghasilkan filem berkualiti menggunakan dana ini.

Malaysia sering terlupa tentang kepentingan filem pendek dan kita selalu bercakap tentang cita-cita untuk menghantar filem bertanding ke Anugerah Akademi, Cannes, Venice, Berlin Sundance dan sebagainya. Sebenarnya, filem pendek ialah medium terbaik yang boleh digunakan untuk Malaysia meletakkan nama di festival-festival besar ini. Kita memiliki banyak filem-filem pendek berkualiti dan ini wajar didedahkan ke peringkat antarabangsa. Orang-orang muda harus diberikan ruang untuk membawa filem-filem pendek mereka ke luar dan ini sebagai satu jalan rintis untuk mereka membikin filem cereka berdurasi panjang yang berkualiti.

Selain itu, tahun 2018 juga harus dijadikan tahun cabaran kepada pembikin filem muda. Mereka ini harus diberikan ruang dan pendedahan sewajarnya untuk menonjolkan idea dan karya mereka ke khalayak lebih luas. Kita memiliki ramai pembikin filem muda yang berpotensi besar misalnya Razaisyam Rashid, Muzammer Rahman, Amanda Nell Eu, Junad M Nor, Syafiq Yusof, Shanjey Kumar Perumal, Aliff Ihsan Rahman dan ramai lagi yang sebenarnya memiliki keupayaan untuk menghasilkan filem-filem berbeza dan positif.

Amanda Nell Eu misalnya berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila filem pendek beliau berjudul Lagi Senang Jaga Sekandang Lembu telah terpilih untuk dipertandingkan di Orizzonti Short Films Competition di Festival Filem Antarabangsa Venice 2017. Razaisyam yang sebelum ini pernah diberikan peluang mengarahkan filem CEO kini sedang hangat dengan siri televisyen beliau berjudul Mandatori yang disifatkan ramai sebagai antara siri televisyen terbaik pernah dihasilkan, malah kualitinya juga setanding dengan siri televisyen antarabangsa. Muzzamer pula dengan semangat yang tinggi dan pelbagai halangan sedang cuba menyiapkan filem cerekanya yang pertama berjudul Prebet Sapu.

Ini ialah nama-nama yang wajar kita bantu dan angkat sepanjang tahun 2018, ini ialah wajah-wajah harapan untuk sinema Malaysia tahun depan. Peluang wajar diberikan dan dana-dana yang ada perlu disalurkan kepada pembikin filem seperti ini yang mempunyai kesungguhan, minat dan ketekunan. Dana yang sampai kepada pembikin muda seperti ini akan membolehkan kita menonton hasil filem yang dibanggakan.

Fakulti filem di Universiti Awam yang mempunyai kapasiti untuk menerbitkan filem juga harus memberikan peluang kepada pelajar-pelajar mereka untuk membikin filem sendiri dan bukan hanya melihat dekan fakulti mereka mengarahkan berpuluh-puluh filem yang tidak melihatkan apa-apa perubahan. Peluang harus dan wajib diberikan kepada anak-anak muda kerana api kesungguhan sedang menyala-nyala di dalam hati mereka.

Aspek penghargaan sinema dan kritikan filem merupakan dua perkara penting yang perlu diterokai dengan lebih serius pada tahun 2018. Penghargaan ini perlu datang dalam pelbagai medium dan ruang sedia ada menerusi Wayang Budiman seperti dikelolakan oleh Pusat Kajian dan Apresiasi Filem (PKAF) perlu diberikan sokongan lebih besar. Usaha seperti ini tidak seharusnya dibiarkan bergerak bersendirian, namun dana mencukupi harus disalurkan bagi pusat seperti ini membesar dan menggerakkan penghargaan sinema secara lebih luas dan menyeluruh.

Perbincangan tentang filem yang luas mampu membentuk masyarakat celik sinema dan membina citarasa penontonan yang lebih baik. Mengenali sinema Malaysia melalui pelbagai pandangan kaca mata mampu membuatkan kita melihat sinema secara lebih kritikal dan melangkaui aspek komersial semata-mata. Pembikin filem bukan sahaja berperanan untuk membikin filem, tetapi mempunyai peranan mencelikkan masyarakat tentang sinema dan isi-isi yang terkandung di dalamnya.

You may be interested

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka
Ulasan Filem
2273 views
Ulasan Filem
2273 views

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka

Kakisinema - 19 March, 2018

Bujang Lapok (1957) muncul pada tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Filem ini merupakan filem yang memaparkan masyarakat moden dengan pekerjaan…

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir
Filem Terkini
451 views
Filem Terkini
451 views

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir

Kakisinema - 18 March, 2018

LANGSUIR menceritakan kisah cinta dua dunia antara Azlan (Syafiq Kyle) dan Suri (Hannah Delisha). Mereka bertemu ketika Azlan dan kawan-kawannya berkunjung…

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu
Ulasan Filem
4534 views
Ulasan Filem
4534 views

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu

Kakisinema - 18 March, 2018

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat melihat wujud satu trend yang tidak sihat pada kutipan filem tempatan di panggung.…