Tarikh Sinema Malaysia Bukak Api

Oleh Abror Rivai

11 February, 2018
519 Views

Di bawah satu kiriman di instagram tentang Pierre Rissient dan Sinema Asia Tenggara yang juga merupakan tulisanku hasil dari sebuah temuramah, aku menitipkan komentar yang berbunyi begini:

Aku telah dibilang tentang filem-filem yang terpileh ke Festival Filem Cannes sejak 14 tahun lalu dari lelaki barat termuda yang menonton filem-filemKenji Mizoguchi dan Akira Kurosawa, dan merupakan orang yang bertanggung jawab membawa filem-filem Asia ke Cannes. Malangnya, sejak dari itupun industri filem Malaysia khususnya perusahaan filem Melayu maseh belum berganjak untuk menempatkan dirinya di pentas atau panggung dunia. Malang sekali lagi kerana hanya dengan menempa nama di festival filem berprestij seperti Cannes, filem-filem dari negara dunia ketiga dan kecil seperti kita akan dikenali, dipandang dan diangkat sebagai antara karya-karya terbaik dunia. Dalam kita meraikan kepopuleran filem-filemtempatan yang bersaing hebat dakam skala dan magnitud box office, kita juga harus memberi sokongan yang padu kepada filem-filem non commercial, yang lebih mendekati persoalan budaya secara jujur dan berseni. Yang sebelum itu, maseh bergelut dengan masalah pembiayaan dan dana yang tidak diberi perhatian pun kerana idea dan kenyataan yang berlaga angin dengan pasaran dan lambakan filem-filem popular semasa.

Aku digentar untuk melanjutkan perbincangan mengenai perkara tersebut kerana aku sedang merasai suatu kepayahan yang amat meresahkan. Aku baru saja terlibat memproduksi sebuah filem layar lebar pertamaku dan ketika pembikinan itu tertunda disebabkan alasan-alasan pasaran semasa yang sama, aku kembali merenung akan masa depan yang serba kabur di mana ketentuan pasaran filem-filem populer tempatan kian menggelapkan. Ketika aku menulis entah catatan atau kupasan ini (entah ia cuma sekadar curahan), filem tempatan berskala besar bertajuk Tombiruo: Penunggu Rimba semakin kukuh mengungguli kedudukan carta box ofiice di pawagam-pawagam utama seluruh negara, yang mengukuhkan lagi monopoli hala tuju pasaran filem tempatan yang sejujurnya pada pengamatan aku sangat-sangat berkiblatkan keuntungan atau dalam kata lain kapitalisme.

Aku bukan bermaksud untuk menyifatkan keadaan yang dialami oleh kepoluleran filem-filem tempatan yang pecah panggung dan kebabom itu sesuatu yang buruk atau songsang, kerana tiap pembikin filem menginginkan perkara yang sama—sama ada yang populer atau tidak. Yang aku alami sekarang ini adalah tanggapan yang bocor bagi sesetengah peneliti (kalaulah dia menelitinya juga dengan mata hati, barangkali aku tidak sesusah ini) yang melihat pengkaryaan sebuah naskhah yang bernafas segar akan dipertikaian dengan berbagai-bagai alasan yang terlalu objektif dan bersifat bombastik. Ironinya ketika filem Kaki Bakar dipileh dan diundang ke Festival Filem Cannes dalam segmen penghargaan kepada pengarah, ia hanya sebuah naskhah yang dibuat untuk tayangan di televisyen sebelum diangkat menjadi sebuah filem yang diraikan serata dunia. Namun upaya itu juga belum cukup untuk mengatakan sinema Malaysia sudah bermula. Keberadaan Malaysia dalam pemetaan dunia sinema antarabangsa barangkali akan berlaku jika filem-filem tanahair akhirnya bukan sekadar diundang, namun layak untuk dipertandingkan dalam salah satu antara tiga festival filem terprestij di dunia iaitu Cannes, Berlin dan Venice. Setakat ini ia belum berlaku kerana kurangnya perhatian terutama dari pihak penerbit untuk membuka ruang yang besar dan kebebasan yang diperlukan untuk tujuan sedemikian benar-benar tercapai. Lagipun, tidak atau belum ada sebarang bukti yang dapat memberi mereka (penerbit) jaminan bahawa matlamat sedemikian juga sesuatu yang realistik dan masuk akal kerana ia tidak pernah berlaku dan belum ada sesiapun yang mencapainya, termasuk produksi Gambar Tanah Licin yang menerbitkan Hanyut, juga dikenali dengan tajuk Gunung Emas Almayer di Indonesia. Tidak seperti cukong-cukong yang lain Gambar Tanah Licin setahu aku hanya menerbitkan filem-filem yang mengangkat tema-tema besar tentang keunggulan budaya dan tradisi kemelayuan yang semakin pudar. Kebiasaannya tema-tema mereka yang diangggap berat akan disisihkan oleh pasaran filem tempatan yang juling (cara bagaimana pasaran itu dikiblatkan—bukan pasaran yang ditentukan oleh penonton kerana kerap kali penonton mendapat gambaran yang salah tentang keunggulan sesebuah filem disebabkan permainan sedemikian), yang menjadi alasan dan sebab utama filem-filem sedemikian tidak wajar diterbitkan dalam arus yang telahpun dipatenkan oleh bayang-bayang dan tangan-tangan hipokrasi. Persoalan seperti ini bukanlah bersifat lokal atau tempatan semata-mata. Ia merupakan persoalan atau dilema sejagat yang merintangi setiap insan yang memperjuangkan kebenaran atau hakikat sinema yang sebenar. Satu ketika Martin Scorsese juga menulis:

‶Melintasi beberapa tahun, saya telah terbiasa untuk melihat sinema disisihkan sebagai satu bentuk seni dengan alasan-alasan yang berbagai-bagai: ia dicemari oleh pertimbangan pasaran; mustahil baginya menjadi satu kesenian kerana ada terlalu banyak orang terlibat dalam pembikinan; ia malu alah kepada bentuk-bentuk seni yang lain sebab ia ‶tidak meninggalkan sesuatu kepada imaginasi″ dan hanya memberikan serapah yang hanya sementara kepada penonton (perkara yang sama tidak pernah dikatakan kepada teater atau tarian atau opera, yang mana setiap satunya memerlukan penonton untuk menikmati karya itu dalam tempoh masa tertentu).″

Hakikat ini sebenarnya akan sentiasa menjadi halangan paling besar bagi seseorang pembikin filem. Kerana sesuatu yang menjadi dinding antara mereka dengan penerbit adalah pengetahuan dan ilmu perfileman yang berbeza melainkan setiap penerbit hendaklah juga lahir dari sekolah pemikiran sinema yang diakui sebagai kelayakan untuk menempatkan diri mereka dalam perusahaan dan industri filem menjadi syarat. Dalam dunia yang serba kecamuk seperti sekarang, tidak ada satu pun syarat boleh diketatkan—apatah lagi atau jauh sekali hendak menjadi peraturan kerana trend dan halatuju ekonomi yang dikuasai oleh kekejungan faktor fizikal seperti wang dan bitcoin. Lantaran itu penolakan atau kadangkala disebut peminggiran sinema sebagai satu bentuk seni mudah berlaku kerana pertukangannya yang berasaskan pelaburan atau pembiayaan wang yang besar, yang sudah barang tentu menuntut pulangan yang sama, malahan berlipat kali ganda.

Harapan terakhir karyawan filem yang sejati hanyalah pada pembiayaan dari individu atau orang perseorangan yang memahaminya dan memiliki perasaan dan penghargaannya yang besar dan penghormatan yang sama terhadap seni, yang mana ia amat sedikit dan kadangkala menjadi harapan yang terlalu ideal tapi bukanlah sesuatu yang mustahil. Apa yang memungkinkah keajaiban ini berlaku adalah pembuktian atau usaha yang berterusan dari karyawan dan pembikin filem itu sendiri dengan tidak jemu-jemu melahirkan karya seni—kerja filem mereka dengan skala yang lebih kecil seperti filem pendek dan penulisan yang berterusan mendidik masyarakat di samping menumbuhkan minat setiap orang terhadap keunggulan sinema yang akan meninggalkan kesan dengan imajan-imajan yang melekat, tidak jemu-jemu dikupas dan dibicarakan. Ia apa yang sebenarnya akan diwarnai dari sebuah pengalaman dan pengertian yang terbit dari keindahan sinema bersama gabungan gambar yang berkata-kata, ambient, penghayatan terhadap bahasa dan warna, pengalaman emosi dalam perjalanan sebuah kehidupan.

Abror Rivai merupakan seorang pembikin filem dan penulis. Dia adalah pengasas Rumah Karya Ipoh – sebuah ruang baru untuk mempertonton dan berdiskusi apa saja karya seni yang dihasilkan.

You may be interested

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka
Ulasan Filem
2226 views
Ulasan Filem
2226 views

Bujang Lapok: Pergelutan Melayu Pasca Merdeka

Kakisinema - 19 March, 2018

Bujang Lapok (1957) muncul pada tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Filem ini merupakan filem yang memaparkan masyarakat moden dengan pekerjaan…

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir
Filem Terkini
427 views
Filem Terkini
427 views

Osman Ali Datang Lagi dengan Langsuir

Kakisinema - 18 March, 2018

LANGSUIR menceritakan kisah cinta dua dunia antara Azlan (Syafiq Kyle) dan Suri (Hannah Delisha). Mereka bertemu ketika Azlan dan kawan-kawannya berkunjung…

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu
Ulasan Filem
4510 views
Ulasan Filem
4510 views

Dana RM1 Juta, Hasilnya Macam RM100 ribu

Kakisinema - 18 March, 2018

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat melihat wujud satu trend yang tidak sihat pada kutipan filem tempatan di panggung.…

Leave a Reply